Friday, June 24, 2011

Day 2 - 15 Mac 09 – BERKELAH DI TAKESHIMA CHO, GAMAGOURI (1)





Di hadapan Erume Hall sedia untuk berpariwisata


Subuh hari pertama di Erume Hall masuk pukul 4.45 pagi. Matahari terbit jam 6.00 pagi di negara matahari terbit itu. Suasana pagi yang sejuk dan nyaman (12 degrees Celcius) menjadikan kami sangat lapar. Jadi lemang masakan angah dan rendang yang dibuatnya memang sangat sedap. Memang ada art of cooking anak dara ni, mungkin warisan neneknya yang memang selalu menjadi tekong masak di kampungnya sejak sekian lama. Tambahan lagi, bau aroma nescafe memang sangat menyegarkan pagi, kami menikmati hidangan sarapan selepas 7 bulan tidak sarapan bersama-sama, dengan penuh perasaan gembira.

Selepas sarapan, sementara menunggu angah dan adik siap, kami menghirup udara bersih, menikmati suasana pagi yang sangat dingin di sekitar apartmen. Erume Hall terletak di Sanbongi Cho, sebuah kawasan penempatan seperti kampung, sangat padat tapi sangat moden dan bersih. Rumah banglow yang dibina sehingga habis tanah yang ada, menampakkannya seperti kawasan perumahan link-house di Malaysia. Ada satu kawasan kebun sayur di situ. Pelbagai tanaman sayuran nampak sangat segar. Kelihatan dua tiga orang separuh umur, sedang tekun berkebun – sedang meletakkan baja pokok, mencabut pokok yang sudah tua dan mengutip bunga kobis untuk di bawa pulang bagi sajian hari itu.

Kebun sayur di kawasan perumahan moden

Jam 11.00 pagi, Selepas semua bersedia kami meninggalkan rumah menuju ke Takeshima Cho, Gamagouri. Makanan bekal yang dibawa ialah sanwic dan biskut kerana memang susah untuk mendapatkan makanan halal di Jepun selain sushi dan vegetarian food, dan lagi di Takeshima memang tidak ada tempat untuk makan, kerana ia seperti theme park di tepi pantai. Sepanjang perjalanan ke sana yang makan masa 1 jam setengah, nampak jelas musim suasana musim luruh, di sepanjang jalan pohon-pohon semuanya kelihatan tidak berdaun. Sesekali kelihatan beberapa pokok yang baru berbunga lebat, ini satu pemandangan ke arah permulaan musim bunga yang sudah hampir tiba.


Jalan masuk ke tempat parking Yamaha Marina dan Lagunasia


Hadapan Lagunasia yang indah


Yamaha Marina yang indah

Deretan kapal layar mewah

Sejam perjalanan, kami singgah di kawasan Lagunasia Theme park danbersebelahannya terletak di tepi laut, satu kawasan rehat bermaklumat milik Yamaha. Selepas masuk kawasan parking dengan harga (RM 24), kami bersiar-siar ke tepi laut di Yamaha Marina – tempat simpan perahu layar persendirian antara bangsa yang mewah. Tanah kawasan milik Yamaha ini pernah menjadi tempat perlawanan perahu layar pada tahun 2004 dahulu dan Jepun pernah menduduki tempat keempat dalam pertandingan yang berprestij itu. Inilah hebatnya Jepun semuanya diabadikan dalam bentuk pameran di sini, sehingga saya yang berkunjung ke sini tahun 2009 dapat mengikuti sejarah yang telah berlaku 5 tahun lalu dalam bentuk yang sangat simple, cantik, berinformasi dan everlasting terjaga rapi dengan cantik dan bersihnya. Terdapat juga sedikit maklumat tentang bagaimana strategi Jepun membuat penyelidikan, mencipta bentuk dan membina perahu layar yang hebat untuk memenangi perlawan, sehingga dapat menduduki tempat keempat dunia dalam perlawanan itu.


Maklumat sejarah Pertandingan Perahu Layar Antarabangsa


Pembinaa Perahu Layar


Sedang kami bersiar lalu seorang lelaki tua baru balik mencari kepah di tepi pantai – dengan bangganya menunjukkan kepah itu kepada kami. Adik sangat teruja melihat kepah yang sama dengan kepah di Malaysia – tapi oleh kerana tidak pernah terjumpa – nampaklah sangat ketara ketidaktahuannya tentang kepah itu.


Memenuhi masa lapang dengan berfaedah


Di satu sudut lain diletakkan maklumat tentang awan, arah angin, dan tekanan udara dengan cara yang sangat mudah boleh menentukan cuaca. Begitu juga dengan jenis awan dapat menentukan cuaca pada hari itu – semua info itu dipamerkan seperti hiasan taman yang cantik, dengan tujuan memberi maklumat kepada pengunjung, kerana di tepi laut memang mudah dapat mengesan arah angin dan sebagainya lagi.


Keterangan jenis-jenis awan

Semua maklumat disampaikan dengan ringkas, mudah, padat dan menarik serta berkesan memberikan ingatan kepada sesiapa yang berkunjung di tempat itu. Agaknya kemajuan Jepun tidak lain kerana rakyatnya berilmu dan kerajaan berusaha keras dengan bersungguh-sungguh menyebarkan ilmu kepada rakyatnya, walau di mana saja, dalam bentuk yang sangat mudah dan santai serta membentuk sebahagian daripada hiasan taman yang mengasyikkan.

No comments:

Post a Comment