Tuesday, June 21, 2011

DARI NAGOYA KE TOYOHASHI – 14 MAC 09




Nagoya Airport

Sampai di Nagoya pukul 8.00 pagi waktu Jepun, selep
as 6 jam berada di awan biru. Kelihatan dari jendela pesawat Singapore Airlines yang kami naiki, hujan lebat, dan air membasahi landasan. Dari kapal terbang yang bergerak lembut, jelas dapat dilihat, pemandangan sepanjang landasan berada bersebelahan laut yang biru, nampak sangat cantik. Landasan yang basah, laut yang membiru, deretan kapal terbang yang sedia mendarat di terminal, dan kerinduan yang sarat, menjadikan suasana pada pagi yang dingin itu, sungguh indah dan bahagia.

Sungguh amat terharu, sungguh amat bersyukur, dengan izin Allah yang memberikan rezeki, yang menyediakan kelapangan masa, juga yang memberikan kesihatan segala, membolehkan serta mengizinkan kami bertiga, dapat sampai ke negeri matahari terbit ini, dengan selamatnya. Dalam kedinginan pagi, kami berjalan mengikut arahan papan tanda di Nagoya Airport, untuk mengecop passport. Kami beratur menunggu giliran, dalam barisan yang tidak begitu panjang kerana amat sedikit pelancong asing yang masuk ke Jepun pada waktu itu. Jika dihitung-hitung kelihatan lima orang sahaja orang Melayu berkulit sawo matang termasuk kami, yang lainya ada sebilangan kecil orang China, tapi mereka tak jauh beza dengan orang Jepun – berkulit putih dan bermata sedikit sepet. Tidak lama beratur menunggu giliran, kami dipanggil ke kaunter untuk diberi kebenaran masuk, dengan menyemak passport.


Urusan imigresen agak lama dan makan masa dengan pelbagai soalan – nampak sangat ketat untuk orang luar masuk ke Jepun, tambahan pula pelawat dari negara dunia ketiga. Sudahlah untuk mendapatkan visa pelancong juga amat cerewet, untuk masuk di kaunter imigresen pun juga susah. Antara soalan, kalau mahu melawat anak, berapa tarikh lahir anak yang akan dilawati. Suami saya yang terkadang lupa birthday anaknya, menjawab nakal. Sudah diberitahu dalam permohonan visa dulu, kenapa ditanya lagi. Si pegawai tadi menjawab selamba, memang sengaja ditanya untuk kepastian. Akhirnya dia mengucapkan selamat datang dan selamat melancong ke Jepun. Semoga bergembira dan selamat bertemu anak yang dikunjungi. Lega rasanya selepas passport kami dikembalikan dengan tunduk sopan serta senyuman.


Selesai urusan imigresen, keluar saja dari arrival hall, kami sudah nampak angah tersenyum lebar menunggu di ruang legar. Lega rasa hati dan sangat gembira, kerana perasaan kami sangat sarat dengan rasa rindu, lantaran sudah setahun tidak berjumpa. Kami minum kopi di Starbuck airport dan makan bihun yang angah masak – sedap juga, sebab semasa dalam flight, muslim food yang disajikan langsung tidak menyelerakan dan kami tidak berselera nak jamah pun – bihun goreng kuah kacang yang sangat pelik rasanya.


Naik keretapi ke Takashi

Menunggu tren ke Toyohashi


Lepas minum kami beredar naik train, kemudian tiba di Takashi, lebih kurang setengah perjalanan, dalam masa 45 minit, kami menukar keretapi ke Toyohashi pula. Sampai di Toyohashi hujan agak lebat dan angin sangat kuat. Tak terdaya untuk kami keluar dari stesen. Angin yang mencuri-curi masuk ke dalam stesen, terasa sangat sejuk hingga ke tulang, walaupun kami sudah berbaju tebal. Akhirnya kami meredah hujan dan angin yang kuat itu, menuju ke kereta. Nasib baik dalam kereta dipasangkan heater, kuranglah sedikit kesejukan yang dialami.


Stesen Toyohashi

Kesejukan menunggu kereta

Tiba di Erumi Hall


Kami naik kereta lebih kurang 10 minit, kemudian sampailah ke rumah angah – Erume Hall, Daerah Sanbongi Cho, Bandar Toyohashi, dalam negeri Aichi. Ada dua bangunan di situ, masing-masing terdiri daripada 8 unit apartmen yang semuanya disewa. Ia siap dilengkapi parking lot untuk semua penghuni bagi setiap unit. Rumah angah, salah sebuah apartmen di bangunan dua tingkat. Apartmen angah terletak di tingkat bawah, ada tiga bilik yang dikongsi bertiga dengan rakan-rakannya. Kebetulan mereka berdua balik bercuti, maka kami anak beranak rasa seperti berada di rumah sendiri pula. Meninjau di luar rumah bahagian belakang kelihatan kebun kobes, dan sayuran lain, ditanam berbaris-baris, kelihatan sungguh segar. Ada juga pokok limau sunkis yang lebat buahnya menghiasi halaman apartment jiran terdekat. Menurut angah setiap satu kawasan perumahan akan disediakan satu tapak kebun untuk bercucuk tanam. Dan sayuran yang ditanam pula dapat dijual di kedai selain untuk dimakan sendiri.


No comments:

Post a Comment