Tuesday, October 4, 2016

DAY 6 : 20 OGOS 2016 (SABTU)


PERJALANAN PULANG KE TANAH AIR DARI BANGKOK

Rumah Luang Kucha Itsahak yang didiami oleh cucunya kini
Bersama responden kaum keluarga keturunan Luang Kuchaa
Pengkalan Luang Kuchaa, di Menam Chao Phraya bersetentang dengan istana

Pagi ini kumpulan kami berpecah kepada dua kumpulan. Satu kumpulan diketuai oleh Tuan Ramli bersama Dr Ibrahim, Zulkhiberi, dan Hairol. Sejak  awal pagi lagi, mereka telah pergi menjejaki rumah Luang Kucha Itsahak yang tidak sempat kami kunjungi pada hari itu. Banyak perkara yang masih tertunggak yang memerlukan penjelasan dan pencerahan. Kumpulan kami juga perlu melihat rumah dan perkampungan Luang Kuchaa untuk melengkapkan kajian lapangan. Mereka akan membuat pemetaan dan menangkap sebanyak mungkin gambar untuk melengkapkan dapatan dan laporan. Jadi jam 8.00 pagi mereka sudah bergerak ke destinasi, dan akan berjumpa semula di tempat makan tengah hari nanti.
Sedia berkumpul untuk 'chekout'
Sementara yang lain pula, semuanya membuat persiapan terakhir, untuk check-out dari hotel bagi perjalanan pulang. Jam 9.00 pagi kami berjalan ke sebuah Restoren Arab tidak jauh dari hotel, untuk sarapan. Menu kami pagi ini ialah  capati panas, dan kuah dal bersama kopi panas.  Dalam cuaca yang baik dan kota Bangkok masih sunyi, kami menikmati juadah dengan sungguh berselera sekali. Mula-mula kami nampak capati yang dihidangkan seperti agak besar, dan seolah-olah mungkin kami tidak mampu menghabiskannya, tapi dek rasanya yang sungguh sedap, capati di pinggan masing-masing semuanya habis licin. 


Selepas selesai sarapan kami menyerahkan kunci bilik masing-masing. Van kami yang padat mula bergerak ke pusat membeli belah MBK. Kami diberikan masa dua jam bermula jam 11.00 pagi hingga pukul 1.00 tengah hari untuk acara  membeli belah dan makan tengah hari. Kami beli apa yang patut dengan pantas kemudian makan nasi ayam di gerai halal dengan menggunakan kupon. Kami juga siap belikan bekal untuk lapik perut semasa dalam perjalanan. Tepat jam 1.30 tengah hari kami semua berkumpul menaiki van dan terus ke lapangan terbang Bangkok.


Seterusnya perjalanan kami ke airport lancar, dan dalam pukul 3 petang,  kami sudah tiba di sana. Selesai urusan bagasi, kami buat upacara perpisahan dan pemberian cenderamata di situ. Perasaan sayu terasa juga untuk berpisah dengan Tuan Ramli dan En Farid di saat akhir itu. Pada pukul 4.30 petang kami sudah berada di balai berlepas. Kemudian kami terbang ke Hatyai jam 5.00 petang  menaiki pesawat Nok Air. Kami sampai di Hatyai Airport jam 6.10 petang. Kemudian kami naik van, dan sekitar jam 7.00 petang kami sampai ke Bukit kayu Hitam. Selesai urusan imigresen kami singgah makan nasi kandar di Changlun dan akhirnya sampai di rumah lebih kurang jam 10.00 malam dengan selamatnya. Alhamdulillah selamatlah segala perjalanan menelusuri keturunan Melayu di Bangkok, yang menimbulkan pelbagai kesan dan pengalaman.  


No comments:

Post a Comment