Monday, October 3, 2016

DAY 4: 18 OGOS 2016 (KHAMIS) (3)




3.       MASJID TONGSON: 2.00 PETANG

Selepas mengharungi kesesakan lalulintas yang teramat sangat, kami tiba di Masjid Tongson lebih kurang jam 2 petang. Masjid ini terletak di sebelah kuburan yang agak luas, yang dijaga rapi dan kelihatan bersih dan cantik. Sekilas pandang kuburan itu kelihatan seperti kebun atau dusun yang pokok-pokoknya segar dan rimbun. Tapi bila diteliti kelihatan batu-batu nesan tersusun rapi di situ.

Oleh kerana lawatan kami menggunakan saluran melalui Kementerian Dalam Negeri, maka kami sekali lagi disambut oleh Tuan Imam Mohamad Fauzan, bapanya Sheikh Fesol dan beberapa orang wakil tentera Thai. Sebenarnya Tuan Imam adalah waris keturunan Abdullah Lang Puteh seorang penulis dan pembesar Melayu di Setul suatu masa dahulu. Kami pernah mengunjungi ibu saudaranya Datin Noraini di Setul semasa kaji selidik 1 bulan Januari 2016 yang lalu.   Selepas melawat sekitar dewan masjid yang kelihatan gah dan mewah itu, kami menikmati minuman ringan dan sedikit juadah kueh seperti kueh jala sebagai alas perut. 

Seterusnya, sebelum memulakan taklimat, Tuan Imam telah memohon berbanyak-banyak maaf, kerana berlaku silap faham, beliau tidak menyediakan makan tengah hari kepada kami.  Taklimat berkisar tentang masyarakat Melayu di Bangkok, dan perkembangan dakwah Islam di Bangkok, diterjemahkan oleh Tuan Ramli kerana Tuan Imam kurang fasih berbahasa Melayu. Antara perkara yang disentuh oleh Imam ialah:


1.       Beliau rasa gembira menyambut kedatangan rombongan kami, seperti menyambut keluarga sendiri.

2.       Dimaklumkan beliau adalah Imam ke-17, dia adalah wakil raja kepada masyarakat Melayu, dan menjadi guru kepada Puteri Raja selama 27 tahun. Beliau juga mengajar anak-anak raja dan anak-anak pembesar di Sekolah Cik Lada, dalam subjek Pengetahuan Agama Islam supaya mereka lebih tahu tentang Islam dan memahami Islam.

3.       Sekolah tersebut mempunyai 400 orang pelajar yang berumur antara 8 tahun hingga 84 tahun yang belajar secara percuma. Ada antara mereka yang meneruskan pelajaran mereka ke Kaherah dan Makkah.

4.       Raja memberi peruntukan dana untuk terjemah al-Quran ke bahasa Thai dan memberi sokongan bantuan kewangan, sehingga menjadikan bangsa Melayu Thai bangga dan cinta kepada tanah air.

5.       Raja Thai baik hubungannya dengan Sultan Ismail Kelantan, dan pernah menghantar Imam menziarahi Sultan Ismail semasa gering. Hal ini amat membanggakan Sultan Ismail.

6.       Mesjid Tongson berusia lebih 400 tahun, dan menjadi lambang kebesaran dan syiar Islam dan  juga kebebasan beragama. Tetapi semasa pemerintahan PM Apachit dan Ying Luk, kebebasan Islam agak terjejas.

7.       Shekhul Islam ialah jawatan tertinggi agama Islam di Thailand seperti Mufti di Malaysia. Jawatan ini dikenali sebagai Chola, yang diambil daripada perkataan syura. Chola 1  bernama Mohamad Maksum semasa pemerintahan King Rama. Chola menjadi penasihat kepada Raja untuk 5 jabatan penting: Hal Ehwal Luar Negeri, Perbendaharaan Negara, Perdagangan,  Keselamatan Dalam Negeri dan Pertahanan.

8.       Selain Chola, orang Islam lain yang terkenal dan berjasa di Thailand ialah Ketua Tentera Laut, 300 tahun yang lampau. Ibu King Rama III adalah anak Ketua Tentera Laut, dan ibu Rama V juga beragama Islam.

9.       Orang Islam di Thailand dan orang Islam di Kedah adalah bersaudara, kerana berasal dari rumpun yang sama, contohnya datuk Tuan Imam Abdullah Lang Puteh, adalah asal melayu Setul semasa pemerintahan Kedah.


10.   Menjawab soalan Dr Kasri:  Adakah orang Kedah yang tinggal di Bangkok? Tuan Imam menerangkan di Thailand, Kedah dikenali sebagai Saiburi, dan ada orang Saiburi yang berkebolehan berbahasa Thai dan Melayu, dijemput ke Bangkok menjadi penterjemah Raja. Di samping itu ramai juga orang Melayu Islam di sekitar Bangkok, tinggal di beberapa Kampung dan masih mengamalkan budaya Melayu dan beragama Islam. Selalunya di kawasan orang Melayu tinggal, akan didirikan masjid, contohnya seperti Masjid Kamalul Islam dan Hawatul Islam, dan ada juga tanah perkuburan. Orang Melayu yang berasal dari Kedah selalunya ada yang mengunakan nama keluarga Hongkamrang.


Kesimpulan Dr Kasri ialah golongan petani Melayu di Bangkok adalah tawanan perang. Bagi golongan yang berkemahiran seperti tukang emas, tukang perak dan pandai bahasa, mereka dijemput oleh Raja untuk keperluan Raja. Dr Kasri menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak Tuan Imam yang menjemput ahli rombongan agar datang lagi berkunjung ke Bangkok, ke Masjid Tongsan.

Setelah selesai taklimat, bertukar cenderamata dan bergambar kenangan, kami solat jamak asar dan dzohor di masjid itu, kerana perjalanan kami masih belum selesai. Lebih kurang jam 4.30 kami meninggalkan masjid Tongson menuju ke destinasi seterusnya. Kami menuju ke Menam Chao Phraya untuk untuk melihat tempat Raja-Raja Melayu berlabuh suatu masa dahulu.

No comments:

Post a Comment