Tuesday, October 4, 2016

DAY 5: 19 OGOS 2016 (JUMAAT) (2)



2.       FEDERAL ISLAMIC CENTRE OF THAILAND (FICT) : 10.30 PAGI

Bangunan utama FICT
FICT sebenarnya lebih kurang sama fungsi seperti Pusat Islam di Malaysian. Setibanya kami di situ,  kelihatan orang sudah ramai  hadir untuk ke masjid bagi solat Jumaat. Dalam  kawasan FICT terdapat masjid yang besar dan tersergam indah, terdapat sebuah kedai buku yang agak besar, sebuah restoran yang sangat ramai pengunjugnya yang sedang makan, beberapa buah pejabat pelbagai urusan, dan sebuah dewan mesyuarat yang cantik dan luas. Di perkarangan masjid ramai juga fakir miskin yang duduk menunggu rezeki mendapatkan sedekah daripada dermawan-dermawan yang berkunjung ke masjid pada hari Jumaat yang mulia itu. 

Ucapan Dt Wan (atas) Haji Samad Maduri (bawah)
Apabila sampai di Dewan, telah sedia ada di sana menyambut kami Hajah Fatimah, Hajah Habibah, Haji Niti dan dan beberapa orang petugas-petugas FICT yang tidak kami kenali. Peramusaji kelihatan sedang tekun menyiapkan hidangan untuk makan tengah hari, bagi memastikan majlis selesai sebelum solat Jumaat. Majlis kemudiannya dimulakan dengan ucapan Pengarah FICT Haji Samad Maduri (Bekas Wakil Rakyat) yang mengalu-alukan kehadiran kami dan menerangkan secara ringkas peranan FICT di Bangkok. Beliau sangat gembira dapat berjumpa kembali dengan Pak Wan, kerana semasa beliau berkunjung ke Kedah dahulu, beliau masih teringatkan layanan baik Pak Wan kepada ahli rombongan mereka. Menurut beliau kedatangan Pak Wan ke FICT merupakan suatu penghormatan kepada mereka semua. Menurutnya lagi kini ramai saudara muslim dari Pattani dan Kedah yang tinggal di Bangkok. Jadi beliau berharap kunjungan ini akan berulang lagi, dan mereka sangat-sangat mengalu-alukan kehadiran dan berharap sangat akan kedatangan untuk kesekian kalinya nanti.


Berikutnya, diikuti pula ucapan balas Ketua Rombongan iaitu Dato Wan Shamsuddin. Beliau pun menyatakan rasa gembira dapat bertemu semula dengan rakan-rakan dari Bangkok yang telah mengunjungi Kedah sebelum ini. Pak Wan menerangkan bahawa pihak PSMCK banyak membuat lawatan mengkaji hubungan orang-orang Kedah dan orang Siam, contohnya melawat ke Songkhla, Setul, Narathiwat, Phuket, Pulau Pingai hinggalah ke Bangkok. Beliau sangat terhutang budi kerana rakan dari Bangkok sangat berbesar hati menerima kunjungan kami, memberi jamuan makan malam, jamuan tengah hari, memberikan sokongan moral dan mengaturkan pelbagai aktiviti yang ada kaitan dengan hubungan Kedah Siam dan juga yang berkaitan dengan orang Kedah di Bangkok. Atas segala khidmat bakti itu, Allah sajalah yang layak membalasnya.
Ucapan Dr Kasri
Menikmati jamuan
Seterusnya ialah ucapan dari Ketua Biro Kaji selidik Dr Kasri, yang telah memperkenalkan ahli-ahli rombongan dan mengucapkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas layanan yang diberikan kepada pihak kami dari negeri Kedah. Seterusnya Dr Kasri menerangkan hasrat lawatan kami ke Bangkok dan menyatakan rasa terharu dan gembira kerana objektif lawatan telah pun tercapai dan berjaya. Banyak maklumat yang telah diperolehi dan pihak kami akan membuat penulisan bagi melengkapkan maklumat dapatan supaya dapat tercatat sebagai bahan rujukan sejarah yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua pihak di negeri kedah dan juga Thailand.
Cenderamata kepada Pengarah FICT dari PSMCK
Cenderamata kepada En Imran
 
Bergambar Kenangan
Seterusnya kami sama-sama menikmati jamuan tengah hari yang sungguh menyelerakan. Menunya Tomyam, sayur campur, ikan goreng tiga rasa dan buah-buahan.
Acara diteruskan dengan penyampaian cenderamata kepada tuan rumah iaitu kepada Pengarah FICT, dan kepada wakil-wakil FICT yang telah memberikan sumbangan dalam menjayakan lawatan kajiselidik kami. Selesai makan majlis diakhiri dengan sessi bergambar kenangan. Selepas itu Alhamdulillah kami dapat solat Jumaat di masjid FICT. Kami rasa sungguh dihargai kerana selepas solat, Tuan Imam Masjid FICT telah sudi bertanya khabar datang berjumpa Pak Wan. 
 
Selepas itu kami dikejutkan dengan aturcara luar jangka yang sengaja diaturkan untuk kami. Kami diberitahu akan di bawa ke sebuah kampung orang Melayu yang yang berasal dari Kedah. Kami  bertolak ke Kampung Kedah, sebuah kampung contoh yang menjadi kebanggaan masyarakat Melayu di Bangkok dengan kejayaan dan pencapaian mereka dalam pelbagai bidang. Perjalanan memakan masa tiadak begitu lama dalam lebih kurang sejam, kami tiba di situ. 
 
Kami diberitahu masyarakat Melayu di situ, mereka berjaya menguruskan mesjid, sekolah rendah, kilang roti, pusat pelancongan dan menjadi masyarakat contoh di Bangkok dengan pelbagai kejayaan itu. Di kampung itu  dibina sebuah  mesjid yang tersergam indah iaitu Masjid Kamalul Islam. Bukan saja mesjid itu cantik dan bersih tapi pengurusannya juga cemerlang, sehingga dapat memajukan masayarakat Melayu Islam di Bangkok menjadi maju dan disegani dalam pelbagai bidang iaitu perniagaan, pendidikan, kemasyarakatan dan pelancongan. Kunjungan yang mengejut itu,  dicadangkan oleh Haji Niti, kerana beliau ingin membuat kejutan kepada kami ahli rombongan. Memang kami sungguh merasa terkejut dengan kewujudan masyaraka Melayu di tengah-tengah masyarakat Thai di Bangkok.

No comments:

Post a Comment