Tuesday, October 4, 2016

DAY 5: 19 OGOS 2016 (JUMAAT) (3)



3.       KAMPUNG ORANG KEDAH (KAMPUNG PASIR ATAS TANAH) – MASJID   KAMALUL ISLAM : 1.30 TENGAH HARI


Lebih kurang sejam perjalanan kami tiba di Masjid Kamalul Islam Kampung Kedah. Jam menunjukkan  lebih kurang pukul 1.30 tengah hari, dan kami disambut oleh Imam Haji Marwan Samaun, bersama pegawai-pegawai masjid lain. Kami melihat-lihat kawasan sekitar masjid yang menjadi masjid contoh kerana pengurusannya yang cemerlang mendapat Anugerah Masjid Contoh di Bangkok. Di hadapan masjid terdapat sebatang sungai yang dahulunya dikorek oleh tawanan perang orang Melayu dari negeri Kedah. Di sungai itu banyak dipelihara ikan patin, dan kerajaan Thai tidak membenarkan aktiviti menangkap ikan atau mengail ikan sekitar 2 kilometer. Jadi sungai di hadapan Masjid Kamalul juga termasuk dalam kawasan larangan menangkap ikan. Ikan-ikan di situ seolah-olah dipelihara, kerana untuk setiap pengunjung ke masjid, digalakkan membeli roti yang dibuat oleh kilang yang diusahakan oleh masjid. 

Pelantar untuk tetamu memberi makan ikan patin
Kolam renang dalam sungai
Kemudian kami dianjurkan untuk memberi  makan ikan itu. Jadi dapat dilihat di situ ikan patin yang besar dan sihat-sihat. Di situ juga dibuat kolam renang untuk budak-budak berlatih berenang dan menikmati suasana mandi sungai dalam keadaan yang selamat kerana dibina sebuah kolam renang di sungai itu. Kolam itu dibina untuk pelajar-pelajar sekolah  yang ditadbirkan oleh Masjid Kamalul Islam juga.



Taklimat Masjid
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan pengerusi majlis yang memperkenalkan Tuan Iman dan AJK Masjid semuamya, serta mengalu-alukan kehadiran kami ke situ. Acara kedua ialah Pengenalan masjid yang disampaikan oleh Guru Besar Sekolah Rendah Kamalul Islam Puan Sofiah. Menurutnya pada masa pemerintahan King Rama III, tawanan perang berjumlah lebih kurang 6000, orang telah dibawa ke Bangkok dan ditempatkan di kawasan  ini, dan mereka membuka ladang sawah padi untuk menyara kehidupan mereka. Suatu hari Raja naik perahu di Sungai San Sep itu, dia singgah di situ sebab perahunya rosak. Dia nampak timbunan pasir atas tanah, dan baginda diberitahu pasir itu bertujuan untuk dibina masjid. Kemudian dia telah menghantar tenteranya untuk membina masjid di situ.

Selepas itu setiap tahun Puteri Raja datang melawat masjid yang dibina Raja sebagai acara tahunan. Oleh sebab itu semua Jabatan Kerajaan telah turun padang untuk membersihkan sungai sebelum kedatangan Puteri. Jadi oleh kerana kawasan itu telah dibersihkan, selepas kepulangan Puteri, pihak masjid mengambil inisiatif untuk menjaganya pada setiap masa supaya cantik, bersih dan mesra alam, sehingga menjadi masjid contoh yang mendapat Anugerah.
Empat responden keturunan Melayu berasal dari Kedah
Empat orang penduduk di situ mengaku mereka adalah keturunan dari Kedah iaitu, Tok Imam Haji Marwan, Puan Sofiah, Haji Hashim, dan Hajah Habibah. Dapatan daripada  sessi dialog ialah seperti berikut:

1.       Di kampong mereka ada terdapat tok haji dan ada juga orang yang digelar tok keramat yang pernah didengar oleh mereka daripada orang tua-tua mereka.

2.       Mereka tahu mereka berketurunan Kedah daripada bapa saudara mereka, yang memberitahu  bahawa datuk mereka berasal dari Kedah. Ada saudara mereka yang datang dari Alor Setar Kedah  sudah datang berkunjung melawat mereka di sini. Mereka telah mengadakan hari keluarga di sini yang dihadiri oleh kaum keluarga dari Kedah dan Thailand. (Tok Imam/Puan Sofiah)

3.       Ada yang datuk mereka ditawan di Kedah dibawa datang tinggal di Bangkok ini selepas perang. Nenek mereka pernah menjadi ketua di sini dan dia melatih anaknya untuk jadi penghulu. (Hajah Habibah)

4.       Orang tua mereka bercakap Melayu, dan ada saudara mara mereka yang datang dari Kedah memberikan gambar moyang mereka di Kedah.

5.       Masa kecil dulu lagu yang selalu didendangkan untuk anak kecil ialah “laaila haillallah, Mohammadar rasulullah,  tok lebai sampai haji, sampai Mekah dan Madinah”

Cenderamata kenangan kepada Tuan Imam dari PSMCK
Bergambar kenangan: berbeza bangsa tapi dari rumpun yang sama
Selesai sessi dialog majlis diteruskan dengan ucapan penutup, pertukaran cenderamata, dan sessi bergambar. Kemudian kami disajikan juadah makan malam, nasi beriyani ikan yang menjadi kebanggaan penduduk di situ. Hari hampir senja, kami telah meninggalkan Kampung Kedah itu dalam kegelapan malam menuju ke hotel penginapan di tengah kota Bangkok (Hotel Atlas) dengan penuh kenangan yang amat mengesankan. Kami tiba di hotel dan dapat berehat melepaskan lelah lebih kurang jam 9.00 malam.




No comments:

Post a Comment