Monday, October 3, 2016

DAY 4: 18 OGOS 2016 (KHAMIS)(2)




2. BAN SOMDET: 11.30 PAGI (SEBERANG SOMDET) – MASJID NURUL MUBIN

Kami tiba di Ban Somdet, di kawasan letak kereta berhampiran dengan kuburan, disambut oleh imam, seorang wakil tentera, dan beberapa orang wakil masjid Nurul Mubin. Kami berjalan melalui lorong yang di kiri kanannya gerai makanan, lebih kurang 300 meter untuk ke kawasan Masjid Nurul Mubin di Ban Somdet. Menunggu kami di pintu masuk masjid, anak-anak sekolah tadika yang berbaris berselawat bersama Imam dan AJK masjid. Sungguh terharu melihat anak-anak kecil keturunan Melayu berbaju kurung lengkap bertudung, masih mengamalkan ajaran Islam dan berselawat menyambut kami, walaupun sudah tidak boleh berbahasa Melayu, tapi masih merasakan ukhwah persaudaraan sesama Islam. 

Kami terus dibawa ke bilik mesyuarat masjid, untuk taklimat dan sessi dialog, bermula pada jam 12.00 tengah hari. Majlis terus berkisar kepada dialog dengan keturunan Melayu. Ada antara mereka berasal dari Wilayah Selatan iaitu Pattani dan Setul. Dan ada juga yang berasal dari Kedah. Tapi malangnya, kami tidak dapat menemu bual orang yang pasti yang berasal dari Kedah, kerana kunjungan kami diaturkan dalam masa yang singkat, jadi mereka tidak dapat membuat persediaan terlebih dahulu secara khusus. Dalam majlis dialog yang singkat dapat dirasakan seperti ada ikatan persaudaraan seagama dan sebangsa, seolah-olah kami sudah lama kenal. Sambil berdialog kami dihidangkan minuman, kueh dan buah-buahan, sebagai pengalas perut.

Walaupun perbicaraan amat terbatas, dengan penggunaan bahasa Melayu yang minimum dan selebihnya menggunakan bahasa isyarat dan khidmat juru bahasa Tuan Ramli, kami masih boleh berkomunikasi dan berdialog dalam satu majlis yang sempurna.  Suasana pertemuan kelihatan amat segar, santai dan mesra. Dalam ucapan aluan Imam, beliau menyampaikan rasa gembira menyambut kedatangan rombongan kami. Mesjid ini sudah berusia 150 tahun dibangunkan oleh masyarakat Melayu agak ramai yang menduduki daerah itu sejak dahulu. Sekarang kawasan ini merupakan kawasan komuniti Islam terbesar di Bangkok. Menurutnya ada 14 organisasi yang bergabung tenaga dengan masjid itu dan 180 masjid lain di Bangkok, untuk mengadakan sebarang upacara dan keramaian di kalangan masyarakat Melayu Thailand. Walaupun bangsa Melayu merupakan golongan minoriti tapi mereka saling hidup bersefahaman dan tolong menolong dengan orang berbangsa Thai. Kerajaan Thai telah mendirikan Watt-watt budha bersebelahan masjid, bertujuan untuk menggalakkan perhubungan dan kerjasama bagi keharmonian rakyat Thai.

Seterusnya dalam ucapan balas Dr Kasri, beliau menyampaikan rasa seronok dan bersyukur dapat sampai di Ban Somdet, untuk melihat hubungan Kedah Siam yang telah terjalin sejak sekian lama. Di Malaysia tidak banyak catatan yang menceritakan tentang sejarah hubungan kedua negara, dan juga sumber sejarah Kedah didapati kurang liputan tentang tempat-tempat yang berlakunya periswa-peristiwa penting dalam sejarah Kedah-Thai. Jadi kunjungan kaji selidik kami ini, telah dapat mengumpulkan banyak data untuk ditulis bagi menyemarakkan lagi sejarah tentang hubungan Kedah-Siam. Akhir sekali Dr Kasri memperkenalkan ahli rombongan kepada AJK masjid serta semua hadirin yang hadir.

Di samping itu, Dato Wan juga menyampaikan rasa gembiranya dengan sambutan yang diberikan kepada semua anggota rombongan. Beliau juga ingin berkongsi rasa gembira kerana telah dapat berdialog dengan keluarga Luang Kuchaa pada hari kelmarin. Melalui majlis kemarin juga pihak kami telah dapat menambah maklumat tentang Luang Kuchaa yang dikatatakan mempunyai 16 orang anak. Melalui sessi dialog yang diadakan didapati bukan sahaja dapat menambahkan maklumat tetapi juga dapat mengeratkan hubungan dua hala antara masyarakat Melayu Kedah dan masyarakat Melayu Thai.

Seterusnya dalam sessi dialog, Dr Ibrahim telah mengemukakan  soalan-soalan seperti berikut:


1.       Adakah tempat ini, Ban Somdet tempat yang Sultan selalu datang?  Jawapannya: Mereka kurang pasti. Tetapi ada maklumat yang biasa didengari, semasa pemerintahan King Mongkut, telah diarahkan Keluarga Bonnag untuk ke Tanah Melayu hingga ke Singapura. Dalam perjalanan pulang Bonnag singgah di Pattani, beliau berkenan dengan keindahan masjid Pattani, kemudian beliau membawa tukang buat masjid ke Bangkok dan membawa Imam sekali. Sehingga kini ada kubur Imam Tua di Ban Somdet. Selain itu ada juga cerita tentang tawanan perang yang dibawa ke Bangkok dan mereka dikerah tenaga untuk mengorek sungai, sehingga sekarang menjadi sejarah sungai korek yang terpanjang terdapat di Bangkok.

2.       Adakah tempat ini milik Somdet?  J: Tempat ini sejak dahulu didiami oleh keturunan orang Melayu iaitu tukang-tukang yang dibawa dari Pattani dan orang-orang alim dari Pattani. Sehingga sekarang Imam yang ke-7 berasal dari keturunan Melayu Pattani yang berhijrah ke Bangkok.

3.       Adakah mereka tahu cerita Somdet kahwinkan Wan Jah anak pembesar Pattani dengan Sultan Kedah di sini?  J: Mereka tidak pernah mendengar cerita itu.

Rumusan Dr Kasri 

1.       Sultan masuk ke Teluk Siam dan mendarat di Klong Din.  Kemudian Sultan disambut oleh Luang Kuchaa Itsahak dan dibawa menginap di rumahnya.

2.       Kawasan Rumah Luang Kuchaa dulunya sudah membangun kerana dekat dengan istana. Anggota rombongan Sultan dibawa tinggal di Rumah Luang Kuchaa kerana lebih selesa disebabkan bahasa yang sama, cara hidup dan makanan yang lebih kurang sama.

3.       Satu cara untuk melihat penempatan masyarakat Melayu ialah melalui penelitian geran tanah tahun1900, yang pada masa itu pemilikan tanah ialah untuk orang-orang kaya dan tanah yang dimiliki pula luas bagi setiap pemilik.

4.       Kami telah lama mencari maklumat tentang Luang Kucha dan Somdet. Hari ini terasa agak berjaya kerana bukan sahaja dapat bertemu keluarga Luang Kuchaa tapi juga dapat melihat bagaimana pergerakan Sultan Kedah apabila sampai di Bangkok.

Selepas minum, sebelum beredar meninggalkan masyarakat Melayu di Ban Somdet di sekitar kawasan masjid Nurul Mubin, kami sempat ziarah jenazah dan membacakan doa di perkarangan masjid. Akhir sekali kami sempat bergambar kenangan dengan orang Melayu di situ, kemudian pada jam 1.30 tengah hari kami bergegas meneruskan perjalanan ke Masjid Tongson pula.

No comments:

Post a Comment