Sunday, December 16, 2012

UPACARA BERTUNANG


Sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan, akan diadakan dahulu majlis pertunangan. Majlis ini dengan rasminya merupakan  pertemuan keluarga pengantin lelaki dengan keluarga pengantin perempuan, sebagai tanda persetujuan kedua belah pihak. Zaman dulu-dulu, dalam tahun-tahun enam puluhan majlis pertungangan sangat ringkas. Selalunya ibu bapa lelaki akan berkunjung pada waktu malam selepas Isyak, untuk tujuan tersebut, ditemani orang-orang tua yang dihormati.

Kemudian dalam tahun-tahun tujuh puluhan pula, majlis pertunangan juga masih sangat ringkas. Keluarga pihak lelaki akan berkunjung ke rumah keluarga pihak perempuan, sekadar lima enam  orang. Selalunya ibu bapa sebelah lelaki akan mewakilkan kepada keluarga terdekat untuk mengepalai majlis pertunangan itu. Majlis serba ringkas itu hanya akan dihadiri oleh sanak saudara dan jiran-jiran tetangga..  

Pelbagai hadiah hantaran yang indah
Tapi dalam abad kedua puluh satu, majlis pertunangan sudah semakin meriah dan berwarna warni. Kalau dulu yang datang bertandang cuma membawa sekadar buah tangan seperti buah-buahan dan makanan saja. Sekarang datang bertunang diserikan dengan bekas hantaran pertunangan yang indah-indah. Dulu datang bertunang mesti lengkap dengan tepak sirihnya, kini cuma sebagai hiasan cuma.

Pelamin bertunang
Kalau dulu selepas perbincangan kedua belah pihak lelaki dan perempuan, maka akan disarungkan cincin pertunangan seadanya. Kini upacara menyarung cincin siap dengan pelaminnya pula. Kini bukan saja kaum keluarga turut hadir menyerikan majlis, tapi sahabat handai juga turut serta meramaikan. Begitulah masa telah berubah, budaya juga turut sama berubah.

No comments:

Post a Comment