Tuesday, December 18, 2012

DAH LAMA CARI


Balik dari kerja, adik ajak ke kedai buku. Kami ke Union Book Store untuk mencari  buku yang tidak sempat dibeli di kedai buku kolejnya, kerana stok belum sampai. Adik sudah berlari-lari ke tingkat atas mencari buku-bukunya. Sedang aku menaiki tangga dengan hati-hati. Tiba-tiba aku disapa seorang pemuda segak dan tegap orangnya. Seperti biasa aku akan bertanyakan dia dari sekolah mana dahulunya, Darulaman atau Kolej? Seingat aku kalau pelajar India sudah tentu dari dua sekolah itu saja.

Dengan bangganya dia beritahu,
"Saya di Darulaman dulu teacher. Ingat tak, saya dulu pengawas."
Merenung wajahnya betul-betul, barulah aku ingat kembali raut mukanya yang dulu, susuk tubuhnya masa sekolah dan beberapa peristiwa yang pernah dilalui waktu itu.

"Teacher kat mana sekarang? Saya lama dah, dok tanya kawan-kawan, teacher kat mana. Saya sangat ingat, teacher selalu kata, work hard, and dont give up. One day you'll be successfull. Sekarang saya buat Medic kat AIMST. Tahun tiga dah."

Masya Allah, maha suci Allah yang maha mengetahui. Tidak pernah aku duga waktu itu, akan ada pelajar dari Darulaman  menjadi Doktor. Mereka pelajar dari keluarga susah dan sederhana. Pencapaian mereka tidak seberapa. Tiada saingan hebat antara mereka.  Pada waktu itu, aku masih ingat dengan jelas,  aku setiap hari memberi perangsang kepada pelajar-pelajar kelas Lima Sains. Setiap masa dan ketika, mereka akan diberi semangat, perangsang dan dorongan, agar mereka terus belajar dan bekerja keras, supaya dapat berjaya. Waktu itu aku sangat yakin mereka ada potensi untuk berjaya.

Dan pada hari ini Allah pertemukan aku dengan seorang pelajar yang suatu waktu dahulu, aku yakin mereka boleh berjaya. Dan memang ternyata mereka telah berjaya. Syukurlah, ternyata biar sekolah tidak ternama, tapi berkat usaha, berkat kesungguhan, semangat dan sokongan padu semua pihak, pasti kejayaan akan dapat dikecapi jua akhirnya.
.

No comments:

Post a Comment