Sunday, December 23, 2012

BOT OH BOT .........



Pulang ke langkawi melawat saudara meninggal hari ini mengimbau sejarah silam. Teringat masa mula berura-ura melawat ke pulau legenda itu, dalam tahun tujuh puluhan, emak sangat risau kerana terpaksa naik bot. Masa itu dari kuala Perlis perjalanan bot makan masa satu jam.  Bot yang dinaiki Pulau Singa. Anggaran muatan lebih kurang 70 orang penumpang sahaja, tapi  pada waktu itu, sudah dirasakan cukup besar.

Kata papa, itu pun sudah sangat baik, kerana dalam tahun 60an, papa naik bot Pulau Pandan, bot ikan 'open air' yang  dijadikan bot penumpang. Menurutnya lagi kerusi duduk penumpang, seperti bangku panjang, dan tempat duduknya dibuat daripada jalinan rotan. Maka penumpang duduk sebaris, di bangku panjang itu. Kalau hujan akan diturunkan kain 'terpan' untuk mengelakkan percikan air hujan, juga percikan air dari ombak setinggi bukit jika dipukul ribut. Jika  panas matahari pun kain 'terpan' amat berguna, dapat melindungi daripada terik panas matahari.

Kata papa lagi, kalau dipukul ombak, boleh nampak alunnya setinggi  bukit, sangat menakutkan. Perjalanan yang  memakan masa dua setengah jam dari Kuala Perlis jadi murung. Semua orang pun sangat risau, tak terkata apa-apa walau sepatah pun.  Kadang-kadang ikan lumba-lumba tersesat melompat ke atas bot. Maka penumpang pun berpesta menangkap ikan yang tersesat itu.

Tapi semua itu cuma cerita dari papa. Semasa baru mendirikan rumah tangga, dan anak masih kecil, sekitar tahun 80an, sudah banyak bot berhawa dingin. Masih ingat lagi ada Ekspres  Bahagia dan banyak lagi. Masa itu penumpang rasa sangat tidak adil. Selalu saja bot tidak tepat masanya, kalau setengah jam lewat itu biasa. Masa itu bot dimonopoli oleh taukeh Kobe. Kadang-kadang 'air-cond' rosak, maka berpanaslah sepanjang perjalanan satu jam itu. Pernah sekali, semua penumpang naik bot, pintu bot ditutup, tapi bot masih belum berjalan. Kononnya enjin bot sedang dibaiki. Jadi kami yang penuh sesak dalam bot, sudah tidak berdaya lagi, hanya mampu menunggu sehinggalah selepas beberapa lama, bot pun berjalanlah dengan sangat perlahan, kerana enjinnya yang rosak itu. Semua penumpang sangat takut, tapi kami hanya mampu berdoa. Sungguh tidak adil, tapi tiada siapa dapat berbuat apa-apa.

Seterusnya dalam tahun90an dan tahun 2000kami rasa sungguh selesa berulang-alik ke Langkawi. Waktu itu monopoli tauke Kobe sudah dipecah dalam perusahaan bot. Dengan bangganya LADA telah mengusahakan bot penumpang. Botnya besar, botnya bersih dan selesa, siap dengan kaunter  jualan makanan kepada penumpang lagi. Masa perjalanan juga tepat, pada setiap masa dan ketika. Alangkah, alangkah terbelannya nasib penumpang yang berulang alik.

Sayangnya nikmat itu tidak lama. Kami menyaksikan keruntuhan perniagaan bot LADA. Pagi Jumaat bot Kobe jalan pukul 7.00 pagi, sarat dengan penumpang, bot LADA jalan pukul 7.30 pagi dengan jumlah penumpang yang tidak seberapa. Sungguh hairan kenapa Jabatan Laut membenarkan jadual perjalanan yang tidak adil sebegitu? Yang lebih menyedihkan lagi, semasa musim cuti sekolah, semasa itulah bot LADA rosak. Rasa macam ada suatu yang tidak kena, tapi apa kan daya. Akhirnya bot lada berkubur.

Kini dalam tahun 2010, bot-bot penumpang banyak yang seperti bot panjang sarawak. Bot lebih kecil, ruang duduk sangat sempit, dan aspek keselamatan dirasakan sangat kurang. Kalau bot yang besar, pintu yang dibukanya satu saja. Bayangkan jika berlaku kecemasan?

Langkawi sudah semakin maju, orang semakin ramai berkunjung, tapi perkhidmatan bot bukan semakin baik. Alangkah baiknya kalau pada waktu ini masih ada bot LADA, besar, bersih, selesa dan tepat. Sudah tentu orang akan lebih ingatkan Langkawi kerana pengalaman menaiki bot yang selesa.



No comments:

Post a Comment