Sunday, December 2, 2012

MATI SEBELUM AJAL


Tazkirah pagi 3 Dis 2012, disampaikan oleh Yunizah Muda, dipetik daripada majalah Anis.

Menurut Imam Ghazali, “Jika didapati  hati yang hilang, apabila ia hilang, maka carilah hati itu di tiga tempat; iaitu apabila bangun pagi bacalah quran, atau apabila bangun pagi kerjakan solat, jika tidak, cari hati dengan duduk tafakur dan mengingat mati. Jika tidak ditemui juga, berdoalah kepada Allah minta hati yang baru, minta dihidupkan hati kita semula,  kerana hati kita telah pun mati.”

Marilah kita semak semula adakah  hati kita hidup, dengan merenung tujuh tanda hati yang hidup?
  1. Lapang hati menerima ilmu atau berada di majlis ilmu. Nabi saw. bersabda, “Apabila cahaya masuk ke dalam hati seseorang itu, maka ia rasa lapang hatinya, orang-orang itu ialah mereka yang beramal untuk kembali ke akhirat, jauh daripada fitnah dunia dan bersedia untuk mati.”
  2. Hati sentiasa berzikir dan mengingat Allah. Nabi saw. pernah bersabda kepada puteri baginda Fatimah, “Mahukah engkau aku berikan pembantu, pada setiap masa, yang boleh membantu melapangkan kamu? Jika mahu bacalah ’subhanallah, walhamdulillah, walaailaa, haillallah, allahuakbar’ pada setiap masa. Kamu pasti akan merasa sangat lapang.”
  3. Hati khusyuk yang sentiasa mengingat Tuhan, dan hati yang sentiasa suka untuk berbuat kebaikan.
  4. Hati yang merasa kemanisan iman, iaitu apa yang dibuat  demi kerana Allah terasa amat manis, hati yang redha kepada Allah sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya, dan Nabi saw. Sebagai Rasulnya. Hati ini akan sentiasa terdorong untuk melakukan ibadat kepada Allah semata-mata.
  5. Hati yang sentiasa menerima nasihat dengan rendah hati dan lapang  dada.
  6. Hati yang berasa sangat dekat dengan Tuhan – buat apa saja, susah atau senang akan sentiasa mengingat Allah. Kalau ditakdirkan senang maka bersyukur kepada Allah, dan jika ditakdirkan susah maka bersabarlah dengan ujian yang ditakdirkan kepada kita.
  7. Hati sentiasa kembali kepada Allah, berserah kepada Allah dalam apa saja keadaan, lapang, sempit, disanjung, dihina dan apa saja yang terjadi kepada kita dan diberikan kepada kita, kita tidak pernah lupa bahawa semuanya datang dari Allah jua, dan dengan izinNya jua.

Semoga dengan mengetahui tentang tanda-tanda hati yang hidup, kita akan dapat memujuk, membelai dan menjadikan hati kita sentiasa hidup, untuk memperbaiki kehidupan kita, sebelum kita dijemput mengadapNya nanti.

No comments:

Post a Comment