Monday, December 3, 2012

INSYAA-ALLAH....


Tazkirah pagi 4 Dis 2012, dipetik daripada Muqaddimah TV 9

Kita selalu menyebut perkataan insyaa-Allah dalam kehidupan  seharian. Ungkapan ini membawa maksud 'jika Allah berkehendak' atau jika Allah izin atau dengan izin Allah. Ulamak-ulamak berpendapat, ungkapan inilah yang membezakan seorang mukmin atau pun tidak. Sebagai seorang mukmin kita sentiasa faham, bahawa apa yang kita fikir, apa yang kita mahu, apa yang kita berkehendak, apa yang kita rangcang, dan apa saja yang kita akan lakukan, tidak akan dapat dilaksanakan, kalau tidak dengan izin dari Allah. Segalanya kita sandarkan kepada Allah semata-mata, kerana kita yakin Allah maha mengetahui segala sesuatu, sama ada yang zahir ataupun yang tersembunyi.

Di zaman silam banyak kisah Nabi-nabi seperti Nabi Sulaiman, Nabi Ismail, Nabi Musa dan Nabi Mohamad saw. yang telah menunjukkan kepada kita, tentang kepentingan menyebut ungkapan insyaa-Allah ini. Sebagai salah satu contoh, Nabi Mohamad saw. pernah suatu ketika tidak menyebut ungkapan ini. Baginda pernah berjanji kepada seorang Yahudi, akan menerangkan tentang  kisah pemuda ashabulkahfi, tanpa menyebut insyaa-Allah. Keesokanya Allah tidak turunkan wahyu sehingga beberapa ketika tentang perkara itu. Selepas itu Allah menegur Nabi Mohamad saw. dalam wahyuNya, supaya Nabi menyebut insyaa-Allah dalam sebarang pecakapan Baginda. Begitulah pentingnya ungkapan insyaa-Allah dalam kehidupan kita. 

Tetapi dalam kehidupan masyarakat kita hari ini kadang-kadang ungkapan ini disalahgunakan. Kadang-kadang kita menyebut insya-Allah untuk tidak tepati janji, atau untuk mengelak daripada melakukan sesuatu. Jika kita sudah pasti sesuatu perkara itu tidak dapat kita lakukan, atau tidak dapat kita penuhi, janganlah kita menyebut insyaa-Allah, kerana Allah tidak suka, kalau berjanji kita tidak tepati. Itu bermakna kita tidak menyandarkan percakapan kita kepada Allah, dan bukanlah dengan izin Allah namanya, perbuatan sebegitu.

Jadi kesimpulannya, Nabi mengajar kita  sentiasa menyebut insyaa-Allah, maka marilah kita sebagai bapa, sebagai ibu, sebagai anak dan sebagai siapa saja, sentiasa membasahkan lidah kita dengan ungkapan insyaa-Allah. Marilah kita berazam untuk menyandarkan segala apa yang kita lakukan seharian kepada Allah, dengan sentiasa menyebut  insyaa-Allah. Semoga dengan ini kita dapat amalkan akhlak Rasullullah dalam kehidupan kita. Semoga dengan ini juga, kita akan sentiasa sedar, dan sentiasa yakin, bahawa segala sesuatu dalam kehidupan kita sebenarnya dalam kehendak dan izin Allah.




No comments:

Post a Comment