Tuesday, October 30, 2012

BILA TIDAK SIHAT


Barang kali orang jarang mensyukuri nikmat sihat. Bukan kerana tidak mahu tetapi bila sihat kita terlupa bagaimana rasa sakit. Barangkali juga bila sihat, kita  terlalu sibuk dengan aktiviti menjalani kehidupan sehingga tidak sempat mengingat sakit. Barangkali juga bila sihat, kita sibuk melaksanakan tanggung jawab di rumah dan di tempat kerja yang memang memenuhi masa sehari suntuk sehingga tidak sempat mengingat sakit.

Berada di rumah hari ini kerana tidak sihat, membuatkan aku teringat usia yang sudah lanjut,dan perkhidmatan yang sudah terlalu lama, melebihi tiga puluh tahun. Selama berkhidmat, jarang sangat aku sakit, yang memerlukan aku mengambil cuti sakit. Seingat aku sudah bertahun-tahun aku tidak pernah mengambil cuti sakit.Sekali sekala memang aku sakit juga, tapi demam dan selsema  saja. Kadang-kadang memang tidak terdaya melangkah ke tempat kerja kerana demam yang amat sangat, tapi tak boleh berbuat begitu kerana majlis besar sekolah yang telah diatur dan disusun rapi. Maka pergilah aku juga ke sekolah selepas makan ubat, selepas memaniskan muka yang dipaksakan, untuk tidak merosakkan majlis rasmi atau majlis tahunan yang memerlukan aku berada di sekolah, kerana kehadiran tetamu utama yang telah dijemput dengan rasminya. 

Bagaimana mungkin aku tidak hadir ke sekolah apabila Hari Anugerah Cemerlang, DYMM Tuanku Sultan dan Tuanku Sultanah yang berangkat bercemar duli? Bagaimana boleh aku tidak hadir jika Hari Anugerah Tokoh Bitara Tuan Timbalan Pengarah yang menjadi VIPnya? Begitu juga jika Hari Graduasi, Ketua Sektor yang bersetuju menghadirinya? Hari Kejohanan Olahraga PPD yang dijemput hadir merasmikannya? Atau Hari   Mesyuarat Agong PIBG seorang tokoh terkemuka akan bertandang, bolehkah aku tidak hadir bila diserang demam atau selsema?

Begitulah bertahun-tahun menerajui sekolah, yang berkaitan dengan JPN, PPD, sekolah, guru, pelajar, dan ibu bapa, semuanya nombor satu, membelakangi diri sendiri dan keluarga. Semuanya mesti diberi keutamaan, mesti diberi perhatian supaya semuanya berada dalam kawalaan. Semuanya kerana integriti dan tanggung jawab yang diamanahkan. Begitulah menjadi orang nombor satu seperti menjadi ibu atau bapa, semuanya mesti diaturkan supaya berjalan lancar walau apa pun situasinya. Biar rebah, patah kaki bertongkatkan paruh sekalipun, akan bangun dan terus bangun menjalankan amanah dan tanggung jawab yang dipikulkan. Subha nallah, Allah huakbar, Allah maha mengetahui, mudah-mudahan semuanya dalam ilmu dan pengetahuanMu Allah yang maha pengasih lagi mah penyayang.....

No comments:

Post a Comment