Tuesday, October 9, 2012

APA DAH JADI??????


Pagi kelmarin kami terpaksa redha dengan tindakannya, walaupun sebenarnya kami sangat kecewa. Semua dah kami buat, telefon waris, telefon nombornya, dan akhirnya telefon jiran yang  terdekat. Semunya dengan harapan kami dapat membantu dia menduduki peperiksaan untuk masa depannya, yang barangkali dia masih belum mengerti kepentingannya. Tapi semuanya gagal juga. Dia telah memilih jalannya yang dirasakan terbaik untuknya, jalan tidak hadir untuk menduduki peperiksaan awam yang sangat penting.

Pagi ini tiba-tiba dia muncul dengan muka selamba, tiada sebarang riak sedih, atau kesal, atau rasa segan silu, tiada apa perasaan pun yang tergambar, …. kelihatan kosong dan hambar. Tiada perasaan apa-apa…..  Manusia jenis apakah ini yang begitu kering hatinya dan perasaannya?  Manusia jenis apakah ini yang tidak langsung ada sedikit hati untuk mendengar kata orang?. Manusia jenis apakah yang kelihatan langsung tiada perasaan? Manusia bagaimanakah sehingga tidak langsung tahu dan menghargai kasih sayang dan harapan orang? Di manakha silapnya???

Jika dikatakan kita tidak beri perhatian, kita menghabiskan semua masa dan tenaga untuk memberikan kasih sayang. Jika dikatakan kita tidak penyayang kita telah korbankan jiwa raga untuk memberi yang terbaik untuk masa depannya. Nasihat, tunjuk ajar, tunjuk cara, teguran, bimbingan, belaian, tazkirah, sentuh hati, sentuh rasa……. Pendek kata semua usaha yang terdaya telah kita laksana. Dari segi sistem persekolahan rasanya sudah tiada yang silap. Dari segi pelaksanaan FPK sudah sudah dihayati dan diberi penegasan, serta dilakukan sebaik mungkin.

Malang sungguh, malang sungguh...... Sekolah tidak dapat berdiri sendiri, segala hasrat kerajaan dalam pembentukan modal insan tidak mungkin akan tercapai hanya dengan kerja kuat guru-guru, hanya dengan kesungguhan Pentadbir dan wawasan Menteri. Faktor di atas hanya boleh menjadi pemangkin kepada faktor yang paling amat penting iaitu perhatian, asuhan dan kasih sayang ibu bapa. Jika anak diberi perhatian sewajarnya oleh ibu bapa dengan penuh rasa kasih sayang dan rasa tanggung jawab dan dapat dirasai oleh anak pula, sudah pasti pembentukan modal insan terlaksana dengan mudahnya. Sudah tentu anak akan lebih lembut hatinya, baik perangainya, prihatin, sedar diri, perasa dan pengasih pula. Tapi sekarang dengan arus pemodenan ramai ibu bapa berpecah belah, anaklah mangsanya. Ramai ibu bapa sibuk anak jugalah mangsanya. Ramai ibu bapa hanya mengharapkan anak cemerlang dalam peperiksaan, anak jugalah mangsanya... Barang kali inilah antara sebabnya, ada antara anak-anak  kita yang hatinya menjadi keras dan tidak perasa........


No comments:

Post a Comment