Saturday, February 5, 2011

UPACARA BERSANDING


Musim cuti perayaan hari raya cina, ramai orang ambil kesempatan buat kenduri kahwin. Dulu-dulu tahun 60an, orang tunggu musim menuai, kemudian tahun-tahun 70, orang tunggu musim cuti sekolah panjang, bulan Jun atau Disember, tahun 80an pula, mana-mana cuti sekolah, kemudian terakhir mana-mana cuti umum sudah memadai untuk mengatur majlis. Sekarang orang buat kenduri tidak kira masa, asal ada cuti, dirancangkan kenduri kahwin, waima cuti hujung minggu hari Ahad dan Sabtu pun, dilangsungkan kenduri kahwin. Maka jadilah longgokan kenduri, satu hari lebih daripada satu kenduri. Maka berkejar-kejarlah kita yang mendapat jemputan lebih dari satu, ke majlis kenduri. Kalau sudah dua tiga kenduri, sudah tentulah tak termakan hidangan yang disajikan. Makan nasi di rumah pertama, makan bubur di rumah kedua, makan rojak buah di rumah ketiga, minum air di rumah keempat dan akhirnya makan malam di rumah kelima.

Kalau kenduri kahwin, sudah tentulah ada upacara bersanding. Kalau tak bersanding rasa tak sempurna pula majlis yang diaturkan, rasa kurang meriah dan kurang berseri. Sekarang upacara bersanding diaturkan supaya kedua mempelai didudukan di atas pelamin yang disewa khas daripada butik pengantin. Diikuti dengan upacara merenjis kedua pengantin, upacara bergambar, potong kek, dan makan pengantin, maka sempurnalah majlis persandingan pengantin.

Masih jelas dalam ingatanku upacara bersanding pada masa aku masih remaja sekitar tahun-tahun akhir 70an di kampung. Waktu itu orang bersanding malam, ketika sanak saudara dan jiran terdekat masih berkumpul selepas hari kenduri pada siangnya. Sebelum itu lagi, sekitar awal 70an, masa aku masih kanak-kanak, pernah sekali aku hadir di rumah kenduri seorang saudara terdekat. Aku masih ingat selepas siangnya makan kenduri, malamnya kami kanak-kanak disuruh tidur awal kerana nanti nak bangun semula untuk melihat pengantin bersanding. Maka kami pun tidurlah beramai-ramai. Sedang kami nyenyak tidur kami dikejutkan supaya bangun kerana pengantin dah sedia untuk bersanding. Masa tu jam lebih kurang pukul tiga pagi. Aneh sungguh semua kanak-kanak yang berhimpun di rumah kenduri bangun terpinga-pinga, duduk di depan pelamin, dan menyaksikan persandingan waktu dini hari. Semua sanak saudara dan jiran tetangga pun turut serta. Satu kampung meraikan persandingan itu walaupun jam sekitar 3 pagi, tiada siapa yang peduli atau mengelakkan diri untuk hadir. Upacara bersanding itu sungguh meriah, berlangsung hinggalah ayam berkokok hari nak siang.

Sekarang tiada lagi upacara bersanding pada waktu malam selepas kenduri pada waktu siangnya. Apatah lagi bersanding pukul tiga pagi waktu dini hari sudah tidak pernah didengar lagi. Selesai bersanding semua sembahyang subuh dan kemudiannya sarapan pagi beramai-ramai. Paginya selesai bersarapan, beramai-ramai pula bergotong royong menyimpan dan mengemaskan rumah kenduri semula, sebelum sanak saudara berangkat pulang ke rumah masing-masing.



No comments:

Post a Comment