Thursday, February 3, 2011

SEKOLAH ELOK ANAK PANDAI 2


Zaman dahulu (sekitar tahun80an) ibu bapa boleh memilih sekolah, sebagai usaha untuk menjadikan anak mereka pandai. Bagi sekolah yang menjadi pilihan ibu bapa, maka ramailah ibu bapa pergi mendaftar. Contohnya di AS SR Convent menjadi rebutan para waris. Maka ramailah waris yang sudah mula beratur sejak petang dan awal malam bagi memastikan anak mereka mendapat tempat di sekolah itu. Bagi ibu bapa yang mampu, mereka mengupah orang beratur sepanjang malam. Esoknya mereka datang awal pagi, untuk mendaftar anak mereka dengan senang hati, kerana sudah berada di barisan hadapan. Siapa cepat dia dapat, kerana tempat amat terhad. Ramai jugalah waris yang kecewa anak mereka tak mendapat tempat di sekolah itu, kerana tiada kekosongan tempat lagi.

Sekarang sudah berbeza, kerana telah ditetapkan penempatan anak sekolah dibuat berdasarkan kawasan tempat tinggal. Jadi anak-anak akan bersekolah di sekolah berhampiran rumah mereka, banyak masalah dapat diselesaikan dan sangat memudahkan semua pihak, terutamanya pelajar. Namun masih ramai waris dengan apa cara pun memilih sekolah untuk anak mereka. Kononnya sekolah elok anak pandai. Ini terjadi kepada waris di pinggir bandar AS, contohnya mereka yang tinggal di Gunung, Tandop, Tajar, Langgar, Kepala Batas dan Anak Bukit. Waris terlibat akan banyak mencari jalan untuk memastikan anak mereka dapat masuk ke Taman Uda dan Taman Rakyat kerana sekolah-sekolah tersebut dikatakan sebagai sekolah ternama yang boleh menjadikan anak mereka mencapai kejayaan mendapat 5A.

Mereka sanggup meminjam alamat rakan, atau alamat orang yang tinggal sekitar sekolah itu, untuk memenuhi hasrat murni mereka. Ada waris yang dimakbul permintaan mereka, anak mereka memang berjaya. Tapi ada waris yang sebaliknya, anak tidak dapat menyesuaikan diri dengan rakan yang berbeza sosiobudaya dan sosioekonomi. Anak-anak sekitar Taman Uda, rata-rata sudah pandai membaca apabila masuk ke darjah satu, selalu berhadapan dengan buku dan sudah ada budaya membaca dalam rumah mereka. Jadi perkembangan dan proses pembelajaran mereka tidak menghadapi sebarang masalah.

Berbeza dengan rakan yang datang dari pinggir bandar yang baru belajar bertatih membaca, tiada budaya membaca di rumah, dan ibu bapa mengharapkan seratus peratus proses pembelajaran di sekolah tanpa bantuan, maka anak-anak yang berlainan sosiobudaya ini mula merasakan sosial konflik. Hal ini kemudiannya menjadi lebih teruk apabila anak-anak ini mula merasa tidak mampu mengikut rakan mereka yang lebih dikatakan laju dan pandai. Maka mereka semakin ketinggalan dan terhakis harga diri. Mereka meletakkan mereka sebagai orang tidak pandai, ketinggalan, dan akhirnya mereka kecundang, menjadi pelajar yang tidak bermaya untuk belajar dan cuba mencari perhatian melalui cara lain, dengan melakukan sesuatu yang menarik perhatian, contohnya tidak membuat kerja sekolah dan lain-lain yang menyebabkan orang marah dan terpaksa memberi perhatian kepada mereka bagi menyelesaikan masalah. Semua itu berlaku kerana mereka terpaksa mencari alabi terhadap kekurangan mereka dan kelemahan mereka, berbanding rakan mereka yang lebih laju, supaya mereka tidk disalahkan.

Inilah fenomenon yang kurang difahami oleh ibu bapa. Sekiranya mereka ditempatkan di kalangan rakan mereka yang sama sosiobudaya, maka mereka akan dapat bersaing dan bergerak seiring, sama-sama dengan rakan yang pencapaian mereka lebih kurang sama saja. Guru mereka pun dapat memberikan tumpuan kerana pencapaian mereka setara dan tidak jauh berbeza. Malang sungguh mereka, menjadi mangsa kerana cita-cita besar ibu bapa. Mereka tidak ditempatkan di tempat yang sesuai dengan pencapaian mereka. Ibarat anak ikan kecil dimasukkan ke dalam akuarium yang terdapat ikan haruan, sudah pastilah anak ikan kecil dengan mudah dimakan haruan yang tangkas. Kasihan siikan kecil. Kalaulah semua waris dapat menyedari hakikat ini, maka generasi akan datang akan lebih baik jati diri dan harga diri - akan kuranglah masalah di kalangan pelajar yang sebenarnya memerlukan kefahaman dan simpati kita yang bergelar ibu bapa. Janganlah kita memilih sekolah tapi pilihlah anak kita, untuk kita berikan persekitaran yang dapat memupuk harga diri yang sewajarnya, barulah kejayaan dan kecemerlangan dapat dinikmati tanpa rasa tertekan di kalangan anak-anak yang tidak berdosa dan memerlukan kasih sayang kita.

No comments:

Post a Comment