Friday, February 4, 2011

LENGGANG PERUT


Balik kampung menjenguk emak pada hari ini penuh dengan cerita-cerita yang pelbagai; menyentuh peristiwa, atau menyentuh sanak saudara dan rakan taulan di kampung. Seperti biasa emak akan bercerita tentang macam-macam hal untuk menghidupkan suasana, kerana dia rasa sangat gembira dan bertenaga bila kami balik menjenguknya.

Aku sangat teruja dengan cerita seorang saudara nak buat kenduri untuk upacara lenggang perut anaknya yang mengandung tujuh bulan. Teringat masa aku mengandung sulung dulu, emak pun, seperti orang-orang tua lain, buat kenduri lenggang perut untuk aku. Tapi oleh kerana kami tak begitu berminat sangat dengan upacara itu, kami kurang memberikan perhatian.

Tapi pada hari ini, teringat balik amalan-amalan budaya lama yang pernah menjadi amalan masyarakat dulu-dulu. Zaman aku masih kanak-kanak dulu, amalan melenggang perut memang suatu yang mesti, bila mengandung tujuh bulan anak pertama. Selalunya kenduri kesyukuran akan mengiringi upacara lenggang perut. Barang-barang yang disediakan untuk upacara tersebut, seperti buah kelapa tiga biji dikupas dan dilicinkan kulitnya, diletakkan ke dalam dulang besar, kain batik baru tidak berjahit tiga helai, tepung dadar bersama bertih dan kelapa parut bergaul garam dan sedikit gula dalam satu bekas yang lain pula. Di samping itu pulut kuning dan kari ayam juga disediakan.

Upacara ini akan disempurnakan oleh mak bidan. Perempuan mengandung akan baring di atas tilam. Dimulakan dengan meletakkan kain batik batik 3 helai di bawah pinggangnya, kemudian akan ditarik sehelai demi sehelai. Selepas itu mak bidan akan mengurut dan 'menetapkan' kedudukan perut, supaya nanti mudah bersalin dan tiada masalah berbangkit. Selesai itu, mak bidan akan menggulingkan kelapa licin di atas perut sebji demi sebiji sehingga selesai tiga biji yang disediakan dan diletakkan di hujung kaki wanita bersalin. Kelapa itu kemudiannya dibelah oleh mak bidan. Jika bahagian kepala kelapa lebih besar, maka itu tandanya akan dapat anak lelaki dan jika bahagian kepala lebih kecil, maka dijangkakan akan mendapat anak perempuan pula. Dan amat aneh juga, selalunya ramalan ini kebanyakannya tepat.

Kelapa tiga biji yang telah dibelah, akan diparut dan ditanak minyak bersama ibu kunyit untuk kegunaan semasa berada dalam pantang kelak - sama ada untuk mengurut atau untuk kesegaran badan. Kain batik dihadiahkan kepada mak bidan sebagai hadiah melaksanakan upacara tersebut. Dadar tepung akan dipotong-potong dadu digaulkan dengan kelapa dan disajikan kepada tetamu yang hadir sebagai pemanis atau pencuci mulut. Begitu juga pulut kuning akan dinikmati bersama oleh tetamu dan sanak saudara yang turut meraikan kegembiraan, untuk menyambut cucu sulung dalam keluarga.

Begitulah masa berlalu, amalan budaya ini tidak lagi diamalkan dalam masyarakat hari ini yang dikatakan moden. Kita sudah tidak merasakan kepentingan unsur budaya yang diamalkan zaman berzaman. Kita juga tidak lagi menurunkan unsur budaya itu kepada generasi muda. Maka hilanglah suatu unsur budaya yang telah mendarah daging dalam kehidupan kita, kerana kita tidak begitu ambil peduli. Jika nanti ada orang luar yang menulis untuk mengingatkan kita, barangkali waktu itu, barulah kita akan terasa kepentingan untuk mengingat semula khazanah budaya bangsa kita, yang telah terabai.


No comments:

Post a Comment