Friday, February 4, 2011

KENDURI KAHWIN


Menghadiri majlis kahwin anak seorang sahabat, amat dirasakan kemeriahannya. Kelihatangnya sungguh sempurna; persandingan yang berwarna warni, khemah yang hebat, pelbagai jenis makanan yang disajikan, sambutan rombongan pengantin, jamuan kedua mempelai beserta VIPnya MB pula tu, dan tetamu orang besar-besar, semuanya amat dirasakan meriah dan tiada cacat celanya lagi.

Makan kenduri kahwin sekarang, sudah jadi satu aktiviti rutin yang monotenous. Hadir di majlis, makan-makan, jumpa tuan rumah, tengok-tengok pengantin, lepas tu balik - kadang sempat cakap dengan tuan rumah, kadang-kadang, jumpa tuan rumah pun tidak kerana pelbagai keperluan yang tidak mengizinkan. Semuanya serba pantas, kerana masing-masing mengejar masa.

Mengimbau zaman aku kanak-kanak dahulu, selalu juga hadir ke majlis perkahwinan sanak saudara terdekat, dibawa oleh emak. Zaman dahulu kenduri kahwin dibuat masa musim cuti sekolah, tertamanya selepas musim menuai padi. Berkumpul di rumah kenduri, paling tidak seminggu, siang dan malam. Jadi dapatlah sanak saudara berkumpul merapatkan silaturrahim, di samping turut sama terlibat, dalam pelbagai persediaan untuk kenduri - diri balai tempat menghidangkan makanan, tampi beras, kopek kelapa, sedia kerisik, buat kueh mueh, buat bunga telur, bunga pelamin, jahit langsir dan segala macam kerja yang dibuat sama-sama untuk memeriahkan majlis kenduri kahwin keluarga.

Kalau boleh semua kerja nak ditolong, dan dibuat bersama-sama. Masa itulah adik beradik berkenalan dan bermesra antara satu dengan yang lain. Yang remaja berkumpul sama-sama remaja membuat tugasan yang diarahkan oleh yang dewasa. Yang dewasa ambil peluang bertemu muka sambil-sambil membuat pelbagai kerja. Begitulah zaman dahulu bila buat kenduri, semua ahli keluarga dapat sama-sama membantu, sama-sama menyumbang tenaga, dan masa, kerana dahulu yang sangat penting bukanlah wang ringgit tetapi kesepakatan dan kebersamaan - bergotong royong, muafakat, dan berderau untuk menjayakan majlis kenduri kahwin keluarga. Amat berbeza dengan sekarang, kenduri kahwin ramai yang hadir tapi, tak sempat langsung bermesraan antara sahabat handai mahupun kaum keluarga, kerana zaman sudah berubah, masing-masing sibuk dan mengejar masa.

No comments:

Post a Comment