Thursday, February 24, 2011

PERASAAN 2


Kadang-kadang aku rasa sangat seronok. Kadang-kadang aku rasa sangat puas hati, Kadang-kadang aku rasa entah apa perasaan, aku pun tidak faham dan tidak pasti. Terutamanya setelah sekian lama dalam menjalankan tugas-tugas harian, tugas-tugas yang semakin lama, menjadi semakin rutin, yang barangkali menyebabkan ia semakin menjemukan.

Kadang-kadang aku rasa sangat letih, barangkali kerana aku sudah semakin tua pada usia. Kadang-kadang aku rasa sangat tidak bermaya, kerana mungkin semakin banyak tugas yang berjaya dilaksanakan, semakin banyak pula cabaran yang datang. Kadang-kadang, dek kerana terlalu tinggi cabaran, aku jadi tiada perasaan. Banyak yang menggembirakan, banyak kejayaan dan pencapaian, tapi aku sudah hilang perasaan. Aku sudah tidak dapat merasakan nikmat kejayaan, dan nikmat kegembiraan atau nikmat kepuasan bekerja lagi, kerana barangkali terlalu banyak penanggungan, barangkali terlalu besar cabaran, barangkali juga terasa seperti tak tertanggung lagi di pundak yang kerdil dan semakin berumur ini.

Kadang-kadang aku rasa sangat kecewa, entah kenapa? Semakin hari semakin banyak yang perlu diuruskan. Lepas satu, satu, - ia datang, dan pergi tidak henti-henti, bagai air laut - memukul pantai kemudian surut ke laut, kemudian berkunjung lagi ke pantai dan surut lagi dan lagi, dan lagi......... entah sampai bila? Sementara guru pula merasa ini sebagai bebanan, ini sebagai satu yang merimaskan. Guru tidak sepakat melihat pembentukan kejayaan pelajar sebagai satu amanat pembentukan bangsa berjaya. Guru mahu melihat anak mereka berjaya dalam akademik, memang sangat mudah. Tapi menjadikan semua pelajar berjaya dalam akadamik di sekolah tidak semudah itu, kerana memerlukan satu pakej kerja, yang perlu kepada mesyuarat, perlu kepada perancangan yang perlu paper work, perlu kepada kerja waktu petang dan hari cuti, atau pun waktu malam. Sepintas lalu nampak sangat membebankan, tapi itulah yang boleh membantu membentuk bangsa berjaya.

Itulah yang membuat aku letih. Aku terasa tersangat letih, sungguh tersangat letih, kerana memahamkan kepada guru perkara itu, bukanlah suatu yang mudah. Ramai yang bercanggah pendapat, dan ada yang menetang dan menjadi virus dalam melaksanakan tanggung jawab berat itu. Cuba lihat bagaimana guru di sekolah cina mengajar pelajar darjah enam sepanjang cuti sekolah bulan disember? Untuk kemajuan anak bangsa, mereka tidak pernah tidak engkar. Cuba bilang berapa buah sekolah rendah dan menengah kebangsaan buat begitu? Jadi siapakah yang salah kalau anak melayu hanya sedikit yang menjadi pelajar terbaik?

Memikul tanggung jawab inilah, Setiap hari dilalui, bagai jarum jam, tidak pernah berhenti, dan tidak berupaya untuk berhenti. Setiap hari penuh dengan harapan bahawa hari ini barangkali jarum jam yang berputar terus itu, dapat diperlahankan sedikit. Tapi ternyata bukan boleh diperlahankan lagi, tapi dengan sendirinya ia berputar semakin pantas dan pantas. Aku jadi lelah, aku jadi letih dan tidak bermaya.

Bagaimana dapat aku katakan supaya semua orang tahu bahawa menjadi guru bukan sekadar mengajar, bukan sekadar masuk kelas keluar kelas, tapi yang lebih jauh ialah melaksakan FPK melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi JERI dan sosial. Semua ini menuntut kerja keras, komitmen, kefahaman, kesabaran dan pengorbanan masa tenaga dan kadang-kadang wang ringgit. Bukan sekadar gaji yang diterima saja. Kalau sekadar mengajar, maka guru tuisyen namanya. Kalau tiada tugas khas, guru kontrak saja. Kalau guru sejati, guru yang tidak pernah kenal erti jemu, guru yang tidak berkir-kira beban tugas guru. Yang dikira ialah pembentukan jati diri, membina anak bangsa sendiri yang semakin tidak tahu dan tidak sedar diri. Kita sedang menuju kemusnahan bangsa sendiri kerana guru semakin lebih mementingkan keselesaan diri.

Aku semakin letih dan tidak berdaya melawan arus ini ......

No comments:

Post a Comment