Friday, February 25, 2011

BACK TO THE OLD DAYS


Sudah lama tak jalan-jalan dengan anak-anak. Sejak along ke England, angah ke Jepun, dan alang masuk universiti di KL, tinggallah kami bertiga di rumah. Kasihan sungguh pada adik. Papa selalu pesan pada adik, freekan hari Jumaat untuk hari keluarga seperti dulu-dulu, semasa anak-anak masih kecil, dan semua ada di rumah. Tapi memang adik seorang anak yang sangat serius, tahu hala tuju dan sangat bimbang pada setiap masa dan ketika, takut dia tidak cemerlang kalau tidak berusaha keras. Jadi dia memang sudah aturkan tuisyennya hampir setiap hari, termasuklah hari Jumaat. Jadilah kehidupan rutin kami bertiga selama bertahun-tahun sepanjang masa remaja adik, penuh dengan jadual tuisyen yang sangat padat. Maka tiadalah aktiviti riadhah keluarga buat sekian lama. Sejak adik di tingkatan tiga hingga ke tingkatan 5, jadilah kami penunggu rumah yang setia, driver yang padat schedulenya, suri rumah yang anggun, pelajar yang tekun, bersemangat, penuh komitmen, penuh perancangan, sehinggalah tamat tahun 2011 dengan jayanya.

Kelmarin rutin itu dengan rasminya berakhir. Bermula dengan perjalanan ke Kampung Gading Jeniang - suasana pagi itu sungguh indah, seperti dulu-dulu, walaupun kurang dua orang, campur dua lagi, walaupun jauh di sudut hati teringat angah dan along di KL, dan dua ahli keluarga lagi, tapi sebagai permulaan sudah boleh aku bersyukur dan bersenang hati.

Kelmarin kami menjejaki buyung emas kata papa. Sampai di kampung itu, tak nampak pun buyung seperti emas, rupanya di situ, tempat yang terdapat dapur melebur besi, atau relau berbentuk buyung, ada tujuh biji semuanya. Kami semua ketawa atas kebodohan dan juga bayangan kami yang salah.

Kemudian kami ke Sungai Batu pula. Papa sudah pun ikut rombongan PSMCK ke situ ,meninjau aktiviti arkeologi USM yang menjumpai satu jumpaan besar, yang boleh mengubah sejarah tanah air nanti. Kononnya mengikut kajian di Sungai Batu itu, sudah wujud satu penempatan besar sekitar tahun-tahun 110 masihi lagi. Banyak yang ditemui - tempat ibadat, pelantar, tempat melebur besi, artifak-artifak dan macam-macam yang tidak kami fahami. Tapi semuanya membanyangkan bahawa suatu ketika dahulu, Sungai Batu adalah satu kawasan atau satu kompleks yang luas, yang mempunyai satu masyarakat yang sudah pun mempunyai teknologi tinggi dalam kehidupan. Kawasan ladang kelapa sawit yang luas itu, telah dibeli oleh kerajaan Persekutuan dan sekarang kerja-kerja mengorek dan mengesan bahan sejarah giat dijalankan oleh Fakulti Arkeologi USM.

Setelah penat berjalan-jalan, papa teruskan perjalanan membawa kami jalan-jalan ke Penang. Seperti biasa kami shoping di Gurney Plaza, sambil jamu mata dan window shopping juga. Tapi kami tak mampu berjalan lama-lama, sebab terlalu letih meninjau tapak arkeologi di Sungai Batu. Akhirnya kami ke Padang Kota - makan pasembur yang digemari, makan mee goreng dan char koeteow, kerana tersangatlah laparnya setelah sehari suntuk berjalan-jalan.

Jalan-jalan hari ini mengembalikan nostalgia silam bersama anak-anak. Jalan-jalan hari ini menjadikan perasaan menjadi lebih muda seperti mereka kecil dahulu. Nostalgia ini sangat mengesankan. Mudah-mudahan nanti akan ada harinya semua dapat meluangkan sedikit masa untuk dapat kembali bersama menjalani cuti-cuti seperti dulu. Cuti-cuti nanti akan lebih gembira, akan lebih bermakna kerana, kerana kini kami telah bertambah menjadi 8 orang semuanya. Sudah tentu dengan kehadiran menantu dan cucu baru, akan meriahlah lagi the good old days.


No comments:

Post a Comment