Thursday, March 4, 2021

RUTIN BARU

Aku bersaksi, tiada Tuhan yang aku sembah melainkan Allah yang satu, dan Nabi Mohammad pesuruhNya. Dengan iktikad itu aku terus dapat bertahan walaupun kudrat aku dah kurang. Pinggang aku macam biasa sudah lama terasakan kesakitannya, Allah saja yang tahu. Dengan sedikit kekuatan, aku sangat berharap Allah bantu aku untuk terus menabur bakti menjaga emak yang semakin uzur, in sya Allah. Allah tidak akan memberikan sesuatu, melainkan kepada orang yang mampu menanggungnya. Begitulah jua dengan permasalah diri ku, sudah tentu Allah sudah aturkan yang terbaik untuk ku. 

Ya Allah kalau dengan penyakit dan kesakitan emak ku, Engkau janjikan syurga, maka redhalah ke atas aku. Aku redha dengan ketentuan yang telah ditakdirkan. Aku sanggup dengan rela hati menerimanya. Aku hanya mengharapkan syurgaMu. Aku merindukan syurgaMu, terimalah khidmatku yang sedikit ini. Aku tidak mampu membayar segala penat lelah emak kepada ku. Aku tak terdaya memelihara dan berkorban kepada emak sebagaimana dia berkorban membesarkan aku, sejak dari dalam perut hingga aku dewasa,  boleh menikmati hidup dan berjaya menjadi manusia. Apa yang aku buat ini tidak mungkin akan  setanding dengan segala kasih sayang dan pengorbanan yang dicurahkan emak kepada ku.

Pagi jam 7 pagi, kakak akan bantu menukar pampers emak, dak mengelap seluruh badan. Emak dipakaikan losyen dibadannya supaya kulit tidak kering. Kemudian emak diberi minum susu melalui tiub dan terus rehat selepas itu sambil menonton tv. Penat  dengan tv dia akan disajikan alunan bacaan AlQuran, supaya dapat mengingatkan dia, dan supaya dia dapat mengikut bacaan yang didengari.  Jam 10, jam 1 tengah hari, jam 6 petang dan jam 10 malam mak akan diberi susu lagi sebagai ganti nasi dan makanan lain kerana mak tidak berupaya menelan lagi. Dua hari minum protimex dan hari ke-3 minum susu pentasure supaya emak akan buang air besar dengan elok. 

Seminggu sekali aku syampu rambut emak biar lebih segar dan sentiasa harum. Tapi bukanlah mudah kerana emak tak mau duduk lama dia minta disandarkan  ke katil, sebab dia selalu kata dia lenguh. Jadi masa syampu rambut adalah masa yang perlu sabar mendengar leteran emak. Macam-macam mak membebel, dengarkan saja dan terus cepat-cepat siapkan basuhan rambutnya, dia akan diam bila semuanya selesai. Berkali-kali aku cium mak yang wangi lepas syampu rambut. Emak senyum saja, kelihatan segak dan tenang. Jenuh jugalah bersagang dengan emak yang nak bersandar tak mau duduk tegak, kerana dia sudah kurang kekuatan untuk duduk. Pinggangnya sudah tidak kuat lagi, aku terpaksa terima kudrat mak dah semakin kurang adanya. 

Bila rambut emak panjang aku potong biar pendek. Aku tak biasa potong rambut tapi sekarang bila dah selalu potong rambut emak dipotong kemas dan kelihatan cantik. Dulu emak marah-marah bila aku potong rambunya jadi pendek. Dalam mimpi dia marah-marah aku, dia bebel rambut pendek tak elok macam nyonya siam. Apakan daya untuk keselesaan, kekemasan dan kebersihan emak, terpaksalah dipotong juga, walaupun dimarah-marah. Akhirnya sekarang mak dah boleh terima dan tak marah-marah lagi. Tapi mesti di potong pantas sebab mak tak tahan duduk lama.

Seterusnya seminggu sekali kuku yang panjang dipotong walaupun dengan sangat sukar kerana emak selalu kata sakit masa potong kuku jadi, puaslah dipujuk-pujuk hingga selesai semua kuku tanga dan kaki di potong. Emak selalu kata nanti mati potonglah bagi elok-elok, sekarang  tak payah potong buat sakit saja. Dia kata masa dia mandi mayat dulu-dulu, dia potong kuku mayat. Jadi bila dia mati nanti potonglah kuku, tak payah susah-susah potong sekarang. Aku jadi sedih tak terkata, tapi aku diam saja. Aku cepat-cepat potong seadanya mana yang patut, bila selesai emaka akan diam berehat.

No comments:

Post a Comment