Saturday, March 13, 2021

BERTUAHLAH

Menguruskan mak bukan mudah, perlu sabar, perlu tenaga dan sedikit ilmu.  Untuk bagi dia minum susu mudah, cukup masa berikan saja, dia akan terasa tidak lapar lagi. Tapi perlu ilmu menguruskan supaya dia lancar buang air besar. Dua hari beri susu protimex dan sehari lagi bagi dia susu pentasure, esoknya emak akan buang air besar. Jika silap emak akan cirit atau tidak buang air besar langsung. Jadi tidak boleh sebarangan sesuka hati beri emak minum susu, mesti ikut jadual, in sya Allah semua akan lancar. Emak bertuahlah makanannya berkhasiat walaupun cuma susu, mak tidak pernah lapar seperti orang lain yang tidak boleh makan macam biasa. Badannya masih segar bugar, dan wajahnya masih berseri walaupun sudah hampir 5 tahun terlantar di katilnya.

Di samping minum susu mak perlu diberi anti depressant. Dua hari sekali kami berikan mak ubat itu supaya emak sentiasa tenang walaupun dia sakit yang dikatergorikan sebagai teruk kerana tidak dapat menguruskan diri sendiri. Jadi emak dapat tenang dan dapat lena malam seperti orang biasa. Sesekali kalau terlupa, emak jadi ghoflah, banyak cakap perkara-perkara lama dan tidak lena malamnya. Kami pun turut tidak nyenyak tidur mengawasi perlakuan mak takut berlarutan. Esoknya kami terpaksa tambah dos ubat supaya emak kembali tenang semula. Begitulah   adanya setiap hari. Emak bertuah kerana papa sentiasa membantu mengawasi kesihatan emak. Bertuahlah dia alhamdulillah.

Sesekali kulit mak di bahagian belakang punggungnya melecet kerana kulitnya yang nipis dan kurang pergerakan. Sepanjang hari duduk dan tidur. Pagi dimiringkan supaya kurang tekanan pada bahagian belakangnya itu. Tapi sesekali melecet juga, jadi perlu diletakkan ubat dan dibantu dengan bantal donut supaya bahagian luka tidak tertindih, dan luka cepat kering dan sembuh. Bertuahlah mak dapat menantu yang membatu menguruskan ubat-ubatan dan membantu membimbing teknik penjagaan yang terbaik untuk mak,  jadi kalaupun belakang mak luka pun, dia cepat sembuh dan tidak melarat. Alhamdulillah.

Satu hari sedang aku bagi mak susu, mak tengok aku, dia kata, 'bertuahlah.' Lepas tu dia diam tak sambung lagi. Aku tak tau apa sebenarnya yang mak nak bagi tau, mak diam terus, dan aku juga terdiam memikirkan segala nikmat dan anugerah yang Allah kurniakan untuk aku dan keluaragku termasuklah mak.  'Alhamdulillah, kita semua bertuah, penuh dengan rahmat Allah.' Tersentuh hati kecilku, memang mak sungguh bertuah. Begitu juga aku, sungguh amat bertuah, alhamdulillah. Apa lagi yang dapat dikatakan, alhamdulillah sukur padaMu ya Allah atas segala-galanya.


No comments:

Post a Comment