Sunday, November 17, 2019

MAHKAMAH


18 NOV 2019, Jam 8.00 pagi:
"Anda diminta hadir sendiri atau wakil di Mahkamah Mejistret Jitra, atas kesalahan memandu, tiada cukai jalan, mati pada bulan Julai 2019."

Aku hadir tepat pada hari dan waktunya, malah setengah jam lebih awal, sudah terpacak di depan pintu mahkamah, yang masih belum dibuka. Orang pertama hadir, dapatlah akau menikmati suasana pagi yang bening itu. Seorang demi seorang datang dengan wajah berkecamuk. Mula seorang wanita cina cacat kaki tangan ditemani saudaranya. Maha suci Engkau Ya Allah, Engkau jadikan kami pelbagai rupa bentuk, ada yang sempurna dan ada yang cacat. Syukur pada Mu ya Allah,  Engkau takdirkan aku sihat sempurna, nikmat apa lagi yang aku dustakan, Ya Allah kerana sungguhnya anugerahMu melimpah ruah kepadaku, cuma aku saja yang kurang bersyukur.

Kemudian datang pula seorang anak muda belasan tahun berpakaian sekolah lengkap ditemani ibunya, dengan wajah suram tak bermaya. Barangkali sudah ditegur atau dimarahi ibunya sejak awal pagi. Barangkali telah melanggar perintah atau tidak patuh arahan ibunya, maka ditahan polis atau JPJ atas kesalahan trafik. Alhamdulillah syukur ya Allah anak-anak aku semasa remaja, mereka tidak pernah menyusahkan aku dengan kesalahan trafik sehingga aku mesti hadir ke mahkamah. Nikmat apa lagi yang aku dustakan ya Allah, kerana Engkau kurniakan nikmat anak-anak yang mendengar cakap dan baik-baik belaka. Anak-anak yang sentiasa menyenangkan dan membahagiakan ibu bapa, cuma aku saja yang kurang bersyukur, ampuni aku ya Allah sesunguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim.

Seterusnya datang dua orang remaja perempuan awal 20-an dan 30-an, kesalahan sama denganku, melihatkan kertas notis yang dibawanya. Termenung jauh aku melihatkan remaja seawal itu sudah di panggil ke mahkamah untuk kesalahan yang dibuatnya. Ya Allah Engkau maha pengasih, umur seawal itu tidak pernah aku dipanggil ke mahkamah. Tidak pernah semasa umur itu aku melakukan kesalahan yang memanggilku ke mahkamah. Nikmat apa lagi yang aku dustakan, Ya Allah, Engkau takdirkan aku terlindung daripada sebarang musibah sehingga dibawa ke mahkamah sewaktu usia semuda itu. Maha suci Allah, subhanallah, alhamdulillah.

Akhirnya, tepat jam 8.00 pagi, kami dipanggil masuk ke dalam mahkamah. Surat notis dipungut seorang demi seorang. Kemudian kami pun tunggu dan tunggu. Terbayang bagaimana nanti kita menunggu untuk dibicarakan di depan mahkamah Allah yang agong nantinya. Ya Allah di dunia pun aku sudah cukup takut, bagaimanalah  nanti? Sudah tentu kita cukup takut, tak berani panggung kepala seperti yang Allah sebut dalam Al-Quran. Bantulah aku Ya Allah supaya nanti aku tidak takut semasa mengadapMu. Bantulah aku Ya Allah supaya aku dibantu semasa mengadapMu. Sesungguhnya aku tidak mampu berbuat kebaikan melainkan dengan keizinanMu, dan sesungguhnya aku tidak mampu untuk mengelakkan keburukan melainkan dengan keizinanMu. 

Sesungguhnya apa saja yang ditakdirkan berlaku di dunia, kalau kita insafi, akan membawa kita lebih dekat denganMu Ya Allah. Ya Allah Ya Rahman, Ya Rahiim, Ya Aziz, Ya Zaljala liwalikraam. Bantu kami Ya Allah sesunguhnya kami amat takut Engkau tidak redha atas kami. Kami pohon keredhaanMu Ya Allah, redhalah ke atas kami Ya Allah. Aaamiinn Ya Robbalaalamiin.

No comments:

Post a Comment