Saturday, April 19, 2014

UBAH NAMA


Zaman dulu-dulu ramai orang dipanggil namanya dengan nama timang-timangan. Selalunya nama ini diberikan kerana keistimewaan atau kekurangan seseorang anak itu. Ada kawan yang dipanggil Teh kerana kulitnya yang putih gebu waktu kecilnya, atau sebaliknya jika berkulit hitam dipanggil juga Tam. Tapi yang lebih menarik ialah apabila seorang anak ditukar namanya kerana kononnya dikatakan tidak serasi. 

Banyak faktor yang jika diteliti menyebabkan perkara ini berlaku. Kadang-kadang bila seorang anak kecil menangis tidak henti-henti selepas lahirnya, maka ramailah yang berpendapat namanya yang telah diberikan tidak serasi dengannya. Maka ditukarlah nama asal kepada nama panggilan yang baru. Yang menariknya bila bertukar nama anak itu kurang menangis berbanding dulu. Sebab itulah jika seorang anak kecil menangis namanya akan diubah menjadi nama panggilan yang kekal menggantikan nama yang didaftarkan kepadanya. 

Sebab lain barangkali sesesorang anak itu selalu saja diserang pelbagai penyakit tidak henti-henti, sehingga menimbulkan kesukaran kepada keluarganya. Maka ditukarlah dengan nama yang baru dan secara kebetulan pula berkurangan penyakit yang menyerangnya itu. Jadi kaum keluarga sangat yakinlah nama itu tidak sesuai dengan bayi yang baru dilahirkan. Atau barangkali seorang anak kecil susah lena waktu malam, yang menjadikan ibu bapanya mengalami kesukaran dek tidak dapat tidur waktu malamnya. Makanya nama pun ditukar dan masalah itu sedikit reda kepada keluarga yang menanggungnya.

Fenomenon ubah nama anak ini memang banyak berlaku dalam masyarakat Melayu. Sebenarnya ada upacara yang dibuat untuk ubah nama pada zaman dahulu. Selalunya bomohlah yang melakukannya bila diminta berbuat demikian. Papa pernah bercerita dia pernah melihat sendiri, Tok bomoh akan memasukkan biji beras sebiji-sebiji ke dalam gelas berisi air, sambil kaum keluarga yang hadir diminta menyebut nama yang disukai dan dikehendaki. Selagi biji beras tenggelam apabila disebut sesuatu nama, selagi itulah dia terus memasukkan beras sebiji-sebiji ke dalam gelas. Bila nama disebut dan beras tidak tenggelam, maka nama itulah yang diberikan kepada seorang anak yang nak diubah namanya. Nama yang diberikan itu, akan kekal digunakan sehinggalah seorang itu menjadi dewasa dan tua.

Begitulah suatu unsur budaya yang hampir dilupakan dan tidak diamalkan lagi sekarang. Unsur ini dikatakan kolot dan tambahan lagi tok bomoh yang dikatakan mahir dengan ilmu firasat seperti itu sudah berkurangan dalam masyarakat sekarang ini. Jadi ia sudah semakin hilang ditelan zaman. 

No comments:

Post a Comment