Thursday, April 17, 2014

GURU MUDA


Bertugas menjadi guru di pedalaman waktu itu (1981) memanglah mengalami suatu kejutan yang amat sangat. Pertama-tama kurang kemudahan asas seperti rumah sewa, dan kenderaan awam. Aku tinggal di rumah sewa sebuah rumah kampung yang sangat dhaif kelihatannya. Pagi aku ke sekolah menumpang seorang teman, tuan rumah sewa yang juga jiran sebelah rumah. Tapi masalahnya aku terpaksa ke sekolah waktu petang untuk latihan rumah sukan dan latihan pasukan bola jaring sekolah. Mula-mula bolehlah tumpang rakan tapi bila tiba musim pelawanan bola jaring, terpaksa pula hari-hari bersama pelajar, keadaan sudah jadi kecoh. Akhirnya aku buat keputusan untuk mengayuh basikal ke sekolah waktu petang, untuk apa-apa saja aktiviti luar dan kokurikulum.

Sesungguhnya memang amat mudah mempunyai kenderaan sendiri walaupun sebuah basikal. Pergerakan menjadi senang dan tidak terbatas pula. Dan yang lebih penting aku tidak terikat masa dengan orang lain untuk sebarang aktiviti yang dilakukan. Mula-mula mengayuh basikal ke sekolah ramailah pelajar tegur, ada yang berjenaka, dan ada pula yang terpinga-pinga tidak menyangka, seolah-olah tidak percaya pula. Ada juga dengan tidak sengaja tertanya 'cik gu pandai naik basikal?' Kadang-kadang terperasan, ada juga pelajar yang tidak tergamak memotong dan sanggup mengayuh perlahan dari belakang, kerana takut atau barangkali juga malu. Atau barangkali juga ada perasaan tidak mahu cik gu merasa malu kononnya. Kadang-kadang terasa lucu juga melihatnya gelagat murid-murid sulung aku itu. Tapi apabila sudah lama berbasikal, mereka sudah dapat menerima guru mereka naik basikal, sama saja, tiada apa yang luar biasa. Bagus juga berbasikal, sekurang-kurangnya pelajar yang berbasikal tidak rasa rendah diri dan paling penting mereka boleh bersyukur kerana selalu aku tegaskan kebaikan berbasikal, badan jadi sihat dan cergas, juga syukurlah ada juga basikal, berbanding yang tiada apa. Meraka kelihatan tersenyum lega mendengarnya, barangkali setuju agaknya. Mereka sangat bangga pula dapat menyamai guru mereka, sama-sama naik basikal ke sekolah. Alangkah sukanya hati sekurang-kurangnya dapat memberikan pendidikan walaupun sedikit jua.

Akhirnya aku sudah jadi biasa dengan basikal. Pergi sekolah, pergi pasar, dan jalan-jalan ke kampung semuanya naik basikal beramai-ramai dengan teman serumah. Memang sangat puas hati dan terasa amat bersyukur Allah menghantar aku ke bandar L. Di situ aku sebenarnya masuk lagi satu 'universiti' yang banyak mengajar aku tentang kehidupan sebenar.  Aku sungguh berterima kasih kepada Nor, Yong dan Beah, teman serumah yang sungguh setia. Merekalah yang menjadikan hidup di perantauan penuh bermakna. Aku juga bersyukur dipertemukan dengan pelajar-pelajar yang banyak menyedarkan aku tentang kehidupan. Aku sungguh terharu dan bersyukur adanya.

 

No comments:

Post a Comment