Saturday, April 12, 2014

JALAN-JALAN KE DIERA, DAN PALM JUMEIRA


19 Januari 2014 - Ahad

Hari Ahad di Dubai hari cuti umum. Jadi Alfian dan Hayati membawa kami ke Diera. Opah suka shopping choklat dan kekacang untuk rakan-rakannya, kalau tiba di Dubai jadi kami pun ikut sama. Lama juga kami di kedai Choc and Nuts, yang sudah biasa dengan Hayati. Opah pelanggan tetapnya barangkali.  Kami dilayan mesra, dijamu dengan pelbagai jenis kekacang, choklat dan minuman lagi. Budak-budak yang dua orang tu memang sunguh gembiralah mereka. Hayyan terkinja-kinja berlari-lari di kedai yang tidak berapa besar itu, sambil menikmati choklat yang diberikan oleh pembantu kedai yang separuh umur, tapi kelihatan sungguh mesra melayan karenah budak-budak.

Selepas itu kami menjamu mata dan melihat-lihat di Day to Day Super Market. Ramai sungguh orang berebut-rebut membeli barangan. Ia seperti pasaraya Giant di Malaysia. Pelawat dan pelancong dari pelbagai bangsa boleh dilihat membeli belah di sini. Kalau mencari cenderamata untuk saudara mara dan rakan taulan di sinilah tempatnya. Pelbagai jenis cenderamata Dubai dapat dipilih di sini sesuai untuk dihadiahkan kepada siapa saja, remaja, orang muda, ataupun tua. Pendek kata semua orang yang berkunjung ke situ akan berakhir dengan membeli pelbagai barangan pilihan hati. Semua orang pun akan membawa raga penuh dengan barangan souvinir untuk dibayar di kaunter. Sederetan kaunter, semuanya dikerumuni deretan pembeli yang menunggu giliran untuk membuat bayaran.

Tidak lama di situ kemudian kami ke Naif Souq sekali lagi. Mulanya Alfian mencadangkan kami naik bot seberang sungai untuk  ke situ. Tapi memandangkan orang agak ramai, kami naik kereta terus ke Naif. Opah nak tambah membeli jubah, dan angah juga. Kami melihat-lihat sambil mengasuh cucu-cucu yang lincah dan gembira saja. Kelihatan ramai juga orang Malaysia yang berputar-putar membeli belah pada hari itu, yang menambah ramaikan lagi souq atau bazar yang sibuk dan penuh dengan pengunjung. Akhirnya tengah hari itu opah dan dedi belanja makan di Visitor's Restaurant. Sekali lagi, nasi briyani ayam panggang menjadi pilihan kami. 

Petangnya pula selepas asar Alfian membawa kami menimati suasana dingin waktu petang di Palm Jumairah. Kawasan ini ditambak lautnya menjadi bentuk pokok kurma kalau dilihat dari udara. Di kawasan ini semua kemudahan lengkap dan termoden, ada stesen kereta laju dari bandar Dubai ke kawasan perumahan mewah di Palm Jumairah ini.Terdapat juga hotel-hotel mewah seperti Hotel Atlantis yang gah dan segak lagi berprestige. Waktu petang begini kelihatan ramai pelancong menikmati angin laut yang nyaman sambil bergambar di tepi pantai dengan pemandangannya yang indah, unik dan moden lagi untuk menjadi kenang-kenangan bila pulang nanti. 

Kami terhibur dengan keletah Hayyan. Setibanya di tepi laut dia terus meluru ke pantai untuk bermain pasir. Mainan lori pasir tak lepas di tangan. Tapi malangnya kami hanya boleh singgah sebentar saja kerana ingin berkunjung ke beberapa tempat lain. Apa lagi Hayyan meraung-raung tidak mahu berganjak dari tepi pantai yang putih bersih. Tapi selepas dibawa meronda seluruh pekan Dubai, Kami bergerak pulang apabila matahari hampir terbenam. Walaupun masa yang dilalui terlalu singkat, kami dapat melihat-lihat kota Dubai dalam perjalanan pulang.



Haidar Najiyah Ibrahim

No comments:

Post a Comment