Saturday, April 19, 2014

MENDIDIK JIWA YANG KENTAL


Masih jelas terbayang dalam ingatan antara aktiviti yang pernah diajarkan semasa kecil dulu. Aktiviti ini berkait rapat dengan sosio-ekonomi dan kehidupan masyarakat  kampung pada zaman tahun 70an. Pada zaman di tahun 70an dahulu, boleh dikatakan setiap rumah di kampung ada memelihara ayam, kononnya dapat juga ayam-ayam peliharaan makan nasi yang berbaki setiap hari, supaya tidak terbuang dan membazir, kerana umum percaya kepada semangat padi.  Jadi aku masih sangat ingat terdapat banyak ekor ayam yang dipelihara. Oleh kerana jumlah ayam yang dipelihara banyak juga, maka nasi lebihan, sudah tidak cukup untuk diberi makan.  Maka emak mengajak aku dan adik pergi mengayak sekam padi. 

Barangkali ramai orang tidak tahu, bagaimana aktiviti mengayak sekam ini. Dulu-dulu dekat dengan rumah ada sebuah kilang padi milik seorang cina namanya Tong Seng. Kilang ini akan menyembur keluar sekam atau kulit padi yang dimesin semasa menghasilkan beras. Jadi bersama sekam padi terdapat juga biji-biji beras yang hancur. Maka emak selalu mengajak aku memanjat timbunan sekam seperti bukit, setinggi dua tingkat bangunan itu, untuk mendapatkan beras-beras hancur yang disembur keluar bersama sekam padi dari kilang tersebut.

Aku masih ingat kami akan memanjat bukit sekam di belakang kilang, pada waktu tengah hari sebelum zohor. Aku bawa nyiru yang jarang, guni plastik dan tali rafia. Adik hanya bawa guni, jarum dan tali. Kadang-kadang aku rasa sangat tidak selesa kerana waktu itu cuaca sangat panas. Tapi emak selalu beritahu, 'kalau waktu tengah hari kita tidak perlu mengayak lama-lama, sekejap saja kita sudah dapat seguni beras hancur. Lepas tu kita balik makan dan rehat.' Seperti biasa aku akur dan lama-lama sudah biasa kami pergi mengayak waktu tengah hari. Lama-lama barulah aku sedar, waktu tengah hari waktu rehat, jadi sudah tentulah mesin pengisar padi kurang diawasi. Petugas yang menjaga mesin pengisar padi itu juga 'berehat' barangkali.  Jadi keluarlah banyak beras hancur pada waktu tengah hari yang sungguh panas itu.

Aku masih ingat dengan jelas kadang-kadang nasib kami baik, bila banyak beras hancur dilepaskan kami tak perlu menyayak lagi. Emak akan menyedok beras hancur yang mencurah-curah keluar dari serombong dengan cepat. Aku cuma perlu menahan guni, sekejap saja guni kami penuh berisi beras hancur, dan adik akan menjahit guni dan mengikatnya kejap-kejap. Dan lagi waktu tengah hari tiada orang lain yang sanggup berpanas, jadi tidak perlulah kami bersaing dan berebut-rebut untuk mendapatkan beras hancur  buat makanan ayam.

Bila dikenang semula aktiviti mengayak sekam itu, aku sungguh rasa bersyukur dan berterima kasih kepada emak. Dia telah berjaya mencorakkan jati diri yang kental kepada kami. Dia mendidik kami supaya kuat dan tegar untuk melakukan sesuatu walaupun payah, akhirnya yang payah akan menjadikan kita senang. Paling hebat dia mengajarkan kepada kami, suatu falsafah kehidupan, untuk berjaya kita mesti ada strategi dalam apa jua yang mahu dilakukan dalam kehidupan ini.

Ya Allah ampunilah segala dosa kedua ibu bapaku dan kasihanilah mereka seperti mana mereka mengasihi kami dengan penuh kasih sayang. Amin
   
  

No comments:

Post a Comment