Sunday, April 13, 2014

BURJ KHALIFA TOWER


20 Januari 2014 - Isnin

Cuaca di Dubai pagi itu sungguh cerah tapi seperti biasa masih dingin dan segar. Kami amat bersyukur kerana telah lama dinantikan hari ini. Sudah sekian lama kami semua telah membeli tiket dari atas talian untuk melawat dan merasai pengalaman berada di atas bangunan paling tinggi di Dubai, iaitu Burj Khalifa Tower yang gah dan terkenal di seluruh dunia. Membeli tiket cara ini sebenarnya lebih murah berbanding belian terus, tapi amat berisiko kerana bergantung kepada nasib dan ketentuan yang Maha Esa lagi Maha Pengasih. Jika untung sabut, cuaca baik dan kita akan dapat menikmati pemandangan dari udara dengan jelasnya. Jika sebaliknya cuaca mendung atau hujan, kita dapat ke atas tapi pemandangan dari atas sudah pasti tidak jelas dan kadang-kadang tidak kelihatan lansung.

Selepas sarapan nasi kerabu yang sedap buatan Hayati, kami keluar awal dari rumah. Harapan kami dengan sedikit masa yang ada bolehlah kami window shopping di Dubai Mall bersebelahan Burj Tower. Seperti biasalah Hayyan dan Hannah cerdas berlari-lari di Mall itu, seolah-olah taman permainan adanya. Mami dan dedi nak tengok barang pun susah. Stroller yang dibawa menjadi barang mainan mereka berdua, yang ditolak ke sana sini.

Dubai Mall
Kami jalan-jalan di Dubai Mall sementara menunggu waktu zohor. Mendengar azan zohor berkumandang di Dubai Mall, hati sungguh terharu. Alangkah syahdunya, alangkah bahagianya, dalam keseronokan berjalan-jalan kita diingatkan akan agar menunaikan tuntutan Yang Maha Pencipta dengan segera. Bilik solat di situ sungguh luas dan amat selesa serta cantik pula. Bukan itu saja malah lengkap dengan children's room buat menunggu sambil mereka boleh bermain dengan selesanya, tanpa mengganggu ayah ibu bersolat, Masya Allah, subhanallah, maha suci Allah, kami terkedu.

Selepas zohor kami terpaksa berjalan pantas mencari pintu masuk Burj Tower, kerana tiket yang kami beli untuk jam 2.00 petang. Kami agak panik, dan bimbang juga takut tidak dibenarkan masuk kerana sampai di entrance sudah lebih jam 2.00 petang. Tapi rupanya kami disambut dengan senyuman yang sangat melegakan kami. Semua barangan yang dibawa mesti disimpan di loker, cuma seorang satu bag sahaja boleh di bawa naik ke atas tower, securitynya sungguh ketat. Sungguh ramai pengunjung tower yang walk-in pada hari ini kerana cuaca sungguh cantik dan cerah. Di ruang legar pula penuh dengan pelancong berbangsa India, berpusu-pusu beratur  bersama kami.

Dari 'entrance' kami berjalan di laluan yang mempamerkan maklumat penting tentang 'tower' untuk maklumat pengunjung. Ada gambar, ada poster dan ada gambar berbentuk tayangan slaid sepanjang-panjang laluan itu. Tiba di hadapan pintu lif kami disambut dengan mesra, dan sempat bercerita lagi. Katanya bandar Dubai sungguh luas, dan jika kita berkereta akan mamakan masa yang agak lama untuk dapat melawat ke semua tempat di bandaraya moden dan cantik itu. Jadi menaiki Burj Tower ini amat menjimatkan masa bagi menikmati keindahan bandar dalam masa yang singkat. Dalam beberapa minit anda akan dibawa tiba di atas, nikmatilah pemandangan di sana.

'Welcom to the top of the world'. Begitulah mesra dan ghairahnya sambutan sebaik saja pintu lif terbuka. Kami bersorak gembira. Tak henti-henti kami mengucapkan syukur. Kami menikmati pemandangan bandar Dubai yang sungguh indah kerana cuaca sungguh cerah, alhamdulillah.

No comments:

Post a Comment