Saturday, April 12, 2014

MENGINTAI DOLFIN

18 Januari 2014 - Sabtu


Seawal jam 7.00 pagi, kami sudah boleh bersarapan disediakan petugas Hotel Khasab. Banyak juga jenis makanan yang  disajikan untuk kami, ada bijirin, roti dan lain-lain, tapi yang berlainan sedikit, buah-buahan seperti pisang yang besar dihidangkan sebiji-sebiji. Selepas berkemas, kami berkumpul di lobi hotel. Tepat jam 9.00 pagi bas membawa kami ke pelabuhan. Hari ini kami akan menaiki bot atau dikenali sebagai dhow untuk bermain dengan dolfin di laut. Insyaa Allah itulah harapan kami.

Setibanya di pelabuhan Khasab, dhow sudah sedia menunggu. Pagi itu banyak juga bot (dhow) yang di sewa untuk melihat-melihat dolfin di tengah laut yang biru dan tenang kerana di kelilingi pulau-pulau. Tapi nampaknya kami amat bersyukur, alhamdulillah, kerana bot sewaan kamilah yang paling besar dan sungguh selesa. Kami disambut oleh Abdullah pemandu dhow dan abangnya Kassim dengan mesra.  Bot yang disewa lantainya dipenuhi permaidani dan di lengkapi dengan bantal kusyen menggantikan sofa untuk bersandar di sekelilingnya. Jika dibilang bantal sofa itu, maka muatan bot boleh menjangkau 70 orang sekali belayar. Di tengah bot lantainya agak tinggi sedikit untuk penumpang duduk supaya dapat melihat laut dengan jelas. Kami disajikan  minuman teh panas dan pisang segar buat alas perut sepanjang perjalanan ke laut itu. Kami akan menghabiskan masa setengah hari di laut, menikmati pemandangan indah, sambil berehat-rehat dan berdoa agar kami dapat melihat dolfin yang dikatakan suka berlumba dan bermain-main dengan air ombak  di tepi bot.

Abdullah memberi taklimat perjalanan
Berada di dalam dhow pagi itu, semua orang sungguh 'exited'. Opah kelihatan senyum lebar berseri-seri, barangkali  sungguh bahagia dapat bersama anak cucu yang tinggal jauh di perantauan tapi sungguh dekat di hati. Anakanda Alfian dan Yati  serta anak-anaknya,  memang sungguh gembira dapat cuti bersama-sama  di hujung minggu. Anakanda Hasrul dan Haidar juga apa kurangnya, tapi kelihatan agak keletihan kerana Hannah cirit birit dan muntah-muntah lagi. Jadi Hannah hanya mampu tidur di ribaan mami kerana keletihan. Hayyan pula sejak semalam asyik menyebut-nyebut ingin naik bot. Tapi ternyata dia memang selalu takut dan ragu-ragu dengan sesuatu pengalaman yang baru. Tok wan asyik ketawa melihat reaksi Hayyan Mula-mula berada dalam bot seolah-olah  terbeliak biji matanya, barangkali terasa gementar dengan pengalaman yang baru itu. Dia duduk diam tidak berganjak dari sisi opah, dan sekejap-sekejap bertukar ke sisi dedi, mami, ayah long, dan umi. Tapi bila sudah agak jauh ke tengah lautan, dia sudah mula bergerak dengan bebasnya. Sekejap bermain dengan kakak dan sekejap pula bermain dengan adik atau kadang-kadang berlari-lari mendapatkan tok pula. Dia sungguh ceria berlari ke sana sini, ke depan dan ke belakang bot, dengan harapan yang sungguh tinggi untuk melihat dolfin, suatu pengalaman yang belum pernah dirasakan lagi.

Lebih kurang sejam perjalanan, dalam suasana pagi yang sejuk lagi nyaman, kami sudah tiba ke kawasan dolfin. Abdullah memberi isyarat sudah ada dolfin kelihatan dari kejauhan. Dia bertepuk tangan, sambil bersiul, kami juga ikut bertepuk tangan untuk menarik perhatian dolfin. Abdullah bermain-main dengan enjin bot, dan bot dilajukan supaya ombak membuaka-buak di tepi bot untuk memberi peluang dolfin bermain ombak dan berlumba-lumba di tepi bot. Memang betul tiba-tiba beberapa ekor dolfin muncul di tepi bot. Mereka meluncur dengan lajunya, kadang-kadang pula mereka melompat dengan anggunnya mempamerkan aksi permainan mereka. Kadang-kadang juga kelihatan mereka berenang seperti mengiring mempamerkan badannya yang besar lebar itu.

Lama juga kumpulan-kumpulan dolfin berlegar-legar dan berlumba-lumba di tepi bot kami. Kami pula sekejap berlari ke kiri sekejap berlari ke kanan mengikut pergerakan dolfin yang seolah-olah cuba menghiburkan kami. Penat berlumba dengan bot mereka berenang ke bawah bot atau melencong ke arah lain, barangkali untuk mengumpul tenaga. Hayyan pula tak henti-henti bertepuk tangan dan menjerit-jerit memanggil dolfin. Suaranya yang nyaring barangkali menarik perhatian dolfin juga. Sebab itulah kami amat bersyukur dapat melihat pertunjukan dolfin yang berbagai-bagai diri beberapa kumpulan dengan agak lama juga. Satu kumpulan ada yang empat atau ada yang lima ekor, berenang berbondong-bondong dengan laju dan segaknya. Dhow pun berlegar-legar di kawasan dolfin sehinggalah tiada lagi dolfin yang kelihatan. Barangkali sudah beberapa lama bermain mereka keletihan dan mereka berhenti berehat untuk mengumpul tenaga supaya nanti dapat bermain semula bila suka.
Mami, dedi dan Hannah menikmati keindahan alam di Telegraf Island
Bila dolfin menyembunyikan diri, barulah kami meneruskan perjalanan. Kami singgah di Telegraf Island, sebuah pulau kecil yang menempatkan pencawang untuk perhubungan di daerah itu. Semua dhow yang belayar berhenti di sini, lautnya biru, bersih dan cantik. Kami lihat pelancong mat saleh membawa kelengkapan snorkling semasa naik ke pulau, barangkali untuk menikmati keindahan laut di sebelah pulau itu. Sedang angah, Alfian dan adik terjun snorkling selepas turun dari pulau yang indah mata memandang. Hayyan terdiam, dan terpaku, entah takut, atau entah risau melihat maminya dengan pakaian snorkling. Tapi selepas mami naik dia terus mencuba alat pernafasan, barangkali teringin tapi takut agaknya. Semua kami ketawa melihat gelagat Hayyan yang lucu itu.

Akhirnya setelah setengah hari, berada di lautan, dhow membawa kami kembali ke pelabuhan. Dalam perjalanan pulang kami ditunjukkan sebuah pulau kecil di tengah lautan, yang didiami lebih kurang seratus keluarga. Mengikut Abdullah, mereka cuma diberikan bekalan air bersih dan elektrik oleh kerajaan, yang lain mereka hidup tanpa ada perhubungan dengan masyarakat luar. Sungguhlah kata orang, ulat dalam batu pun boleh hidup, jadi mereka hidup di pulau batu pun menikmati kehidupan seperti manusia biasa yang lain, maha suci Allah yang yang maha besar lagi maha mengetahui .....

Sementara menghabiskan masa di dalam dhow, suasana menjadi riuh dan ceria apabila papa meminta Abdullah mengajarnya memakai serban ala orang Oman. Abdullah senyum hingga ke telinga, barangkali tidak pernah diberi penghormatan menjadi guru mengajarkan cara memakai serban. Barangkali baginya ia suatu perkara paling senang, tapi ternyata ada orang yang menaruh minat, maka jadilah dia guru mendemokannya. Selesai tunjuk cara pakai serban dengan kemasnya lagi cepat pula, kami semua beri tepukan gemuruh kepadanya. Semua orang pun suka melihatnya, dan kami juga terhibur walaupun sudah terasa agak keletihan sepanjang setengah hari di lautan. Syukur padaMu ya Allah cuaca sangat baik, nyaman dan indah. Lautan sangat tenang dan tiada sebarang kesukaran. Tekong bot pun memberi layanan mesra dan baik. Barangkali inilah ketentuan yang telah ditakdirkan, dalam lindungan dan hidayah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kami selamat belayar pergi, dapat bermain dolfin, menikmati pemandangan indah di pulau telegfraf dan selamat kembali ke pelabuhan semula. Setibanya di pelabuhan, kami dijemput bas yang sudah sedia menunggun dengan setianya.  Kemudian dihantar pulang ke hotel dengan selamatnya.


18 Januari - Sabtu petang
SELAMAT TINGGAL OMAN

Selepas belayar melihat-lihat dolfin, balik ke Hotel Khasab, kami sembayang jamak zohor asar. Kemudian kami makan tengah hari ala kadarnya makanan yang dibawa dari Dubai. Setelah semua siap sedia kami chek-out dan mula bergerak untuk pulang ke Dubai semula selepas asar. Kami amat bersyukur perjalanan kami di Oman berjalan lancar, tiada sebarang masalah dan sungguh amat bermakna. Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada Alfian dan Hayati sekeluarga. Dengan izin Allah mereka telah mengaturkan suatu impian menjadi kenyataan, alhamdulillah. Terima kasih juga buat opah yang mengajak kami bersama, merelakan kami turut serta berkunjung ke rumah anakandanya yang tercinta, syukur padaMu ya Allah.....

Keluar dari Hotel Khasab, kami bercadang untuk singgah sebentar di kedai. Papa bercadang untuk membeli kopiah ketayap Oman yang unik dan cantik. Tapi nampaknya tiada rezeki pula. Rupanya di Oman selepas waktu asar semua aktiviti jualan dan lain-lainnya ditutup. Jadi kami meneruskan perjalanan pulang, tanpa mempunyai kesempatan singgah di mana-mana kedai pun. Kami meninggalkan bandar Khasab Oman, bandar pertahanan, yang lengang dan mati selepas asar itu. Selamat tinggal Oman ada umur berjumpa lagi insyaa Allah.

 Perjalanan pulang ke Dubai, diserikan dengan satu lagi aktiviti 'off-road' mendaki gunung Khor al Nejd, untuk meninjau pemandangan indah, dan mengalami dan merasai pengalaman berkereta di bukit curam yang sungguh mencabar. Jalan ke puncak gunung tidak berturap, cuma jalan batu yang ditarah di lereng bukit. Ada di tempat- tempat tertentu, kereta pacuan empat roda tidak boleh berselisih. Ada juga tempat kereta kami melalui jalan yang sempit, betul-betul di tepi gunung. Bila dilihat ke bawah terasa sungguh menggerunkan. Anakanda Hasrul memang boleh dipuji kerana dapat memandu dengan cermat dan selamat walaupun pertama kali memandu kereta 'lefhand drive'. Walaupun memandu di jalan yang kadang-kadang sungguh curam lagi licin. Alhamdulillah kami selamat sampai ke atas.
Pemandangan yang sungguh menakjubkan - Atas gambar di ambil lima tahun lalu

 Di puncaknya, setibanya kami menjejakkan kaki di puncak Khor al Nejd itu, tiada perkataan yang dapat digambarkan. Subhanallah, Allahuakbar, Allah sajalah yang maha mengetahui betapa besarnya dan indahnya ciptaan Tuhan untuk dinikmati. Dari situ kami dapat melihat jalan berliku-liku menuju ke bawah gunung untuk sampai ke tepi laut yang sungguh kelihatan cantik bagai lukisan adanya. Oleh kerana sudah agak lewat jadi kami tidak turun ke sebelah gunung itu. Sebaliknya kami buat keputusan untuk berpatah balik dan terus pulang ke Dubai.

Perjalanan pulang terasa begitu pantas, tanpa disedari kami sudah sampai ke Tibat sempadan Oman. Kemudian melalui sempadan Dubai Al Dhara, dan urusan imegresen juga pantas dan lacar. Kami berhenti sekejap di Ras al Khaima, kemudian terus ke Dubai makan malam di Restoran Thai, kerana terlalulah laparnya. Kebetulan nasi lauknya juga sedap, syukur Alhamdulillah kami dapat menikmati makan malam dengan sungguh nikmatnya. Nasi panas, lauk yang sedap, dan dengan udara yang nyaman, memang menjadikan kita dapat makan dengan sungguh berselera.

Di restoran itu, kebetulan kami terjumpa dengan rakan Hayati. Mendengar kami baru balik dari Musandam, dia pun memberitahu kami, dia rasa agak terkilan kerana tidak dapat melihat dolfin semasa membawa keluarganya dari Singapura. Dia tumpang gembira mendengar cerita kami ditakdirkan dapat melihat-lihat dolfin. Dalam diam kami amat bersyukur kami dipertemukan dengan dolfin-dolfin yang sangat diidamkan semua orang yang melawat Musandam. Barangkali ini taqdir yang ditentukan Allah kepada kami kerana susah payah membawa kanak-kanak agaknya.

Demikianlah diaturkan Allah kami sampai juga ke Oman, kami dapat juga melihat-lihat dolfin, dan selamat pula dalam perjalanan pergi dan balik dengan senang dan gembiranya, alhamdulillah syukur padaMu ya Allah. "Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak kamu dustakan (wahai manusia dan jin?)" Al Rahman Ayat 13. Kami amat terharu mengenangkannya.

No comments:

Post a Comment