Wednesday, April 16, 2014

SELAMAT TINGGAL DUBAI


21 Januari 2014 - Selasa

Hari terakhir di Dubai kami di rumah saja. Semua siap 'packing' untuk terbang pulang ke tanah air setelah sekian lama  bercuti. Kami menikmati jamuan sarapam pagi dan makan tengah hari, Hayati yang masak, dia memang rajin di dapur. Mudah-mudah semakin bertambah murahlah rezekinya anak beranak, dan semakin bahagialah hendaknya. Kami ajak Hasrul ke Mirdif City Centre pagi itu, untuk membeli beberapa barangan yang dihajati tapi tak sempat dibeli sebelum ini.

Waktu zohor Alfian ajak papa ke mesjid. Hasrul juga dengan pantas turut serta, tapi belum sempat keluar rumah, Hayati suruh Hasrul tukar kain pelikat kerana orang Arab tak benar lelaki masuk mesjid pakai kain pelikat untuk sembahyang. Kami semua ketawa mendengar cerita lucu itu. Tapi memang itulah kenyataanya kerana Faizal pernah dilarang bersolat jemaah di mesjid semasa kunjungannya dulu.

Kami makan tengahari buat hari terakhir di Dubai bersama keluarga Alfian. Sedih juga nak meninggalkan keluarga yang melayan kami dengan penuh ramah mesranya. Sudah tentu juga akan kekal dalam ingatan, Alfian dan Hayati yang sungguh baik. Tidak di lupakan juga anak-anaknya yang comel, kakak dan adik yang sentiasa ditinggalkan semasa kami berjalan sana sini, kerana masih bersekolah pada setiap hari. Tapi rasa tak sabar pula untuk pulang ke rumah setelah sekian lama bercuti meninggalkan kampung halaman.

Melambai Yati sebelum naik bas
 Jam 4.00 petang Hasrul anak beranak serta opah di hantar ke airport untuk terbang pulang. Lepas maghrib kami pula dihantar ke Etihad Travel Mall Dubai, untuk urusan check-in dan baggage trasfer. Sedang menunggu bas ke Abu Dhabi papa sempat berbual-bual sekejap, dengan seorang teman diperkenalkan oleh Alfian, Suhail namanya. Tepat jam 10.00 malam dalam cuaca yang semakin dingin, kami naik bas. Selamat tinggal Alfian, selamat tinggal Hayati, panjang umur kita berjumpa lagi insyaaAllah.

22 Januari - Rabu

Kami tiba di Abu Dhabi hampir jam 12.00 tengah malam. Kami mepunyai banyak masa kerana flight kamiakan berlepas jam 2.00 pagi. Sementara menunggu itu, kami jalan-jalan, dan makan-makan untuk memenuhi masa yang terluang. Begitulah juga penumpang lain, waktu dini hari bagai tidak terasakan, semuanya kelihatan masih segar dengan aktiviti masing-masing sementara menunggu masa untuk terbang. Akhirnya kami dijemput menaiki pesawat menuju ke Kuala Lumpur. Selepas 8 jam di awan kami selamat tiba di KLIA pagi itu. Alhamdulillah 'trip to Dubai' sungguh amat sempurna dan amat bermakna. Terima kasih opah, terima kasih Alfian, Hayati dan anak-anak, terima kasih Hasrul dan Haidar yang mewarnai perjalanan dan percutian kali ini. Syukur padaMu ya Allah menemankan kami dengan Hayyan dan Hannah yang turut menceriakan suasana sepanjang perjalanan selama sepuluh hari itu. Semuanya memang sungguh mengesankan, dan amat membahagiakan kami.

Rasanya inilah percutian terbaik kami. Syukur alhamdulillah....






No comments:

Post a Comment