Friday, August 11, 2017

ORIENTASI BALIK KAMPUNG


Kami mendapat seorang anak angkat dari Itali. Biodatanya telah kami perolehi sejak bulan Jun lagi, Giulia Ferrari namanya. Melihat namanya mengingatkan  semua orang kepada kereta mewah buatan Italy.  Dia pun ketawa bila kami tanya soalan itu. Kebetulan di Itali banyak lombong besi,  dan besi di sana  dikenali sebagai feros. Jadi orang yang bekerja di lombong besi selalu menggelarkan diri mereka ferrari yang bermaksud pekerja lombong besi. Jadi nama Ferrari memang suatu nama yang biasa di Itali, dan kebetulan pula yang bernama Ferrari juga mengusahakan perusahaan kereta mewah sehingga terkenal di seluruh dunia. Jadi nama Ferrari memang terkenal  dan menggungguli nana-nama lain seantero dunia.

Hari pertama dia bersama kami, Giulia hanya berehat kerana telah melalui satu perjalanan yang panjang dari Rome , singgah di Abu Dhabi, bermalam di Kuala Lumpur, kemudiannya barulah sampai di Alor Setar Kedah, dengan selamatnya pada 29 Julai 2017. Selepas acara penyerahan kepada keluarga angkat, Guilia dibawa pulang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga kecil kami.  Esoknya kami perkenalkan semua yang dikira perlu tentang rumah kami, peraturan dan kebiasaan-kebiasaan kami. Kami minta dia panggil Pak Cik dan Mak Cik, mulanya dia agak kekok sebab tidak biasa. Tetapi dia dengan cepat dapat menyesuaikan diri dengan cara hidup kami.

Hari kedua, selepas minum pagi oleh kerana saya terpaksa balik kampung maka Giulia dibawa ikut balik Kampung di Tunjang. Sepanjang perjalanan dia melihat sawah padi yang sedang menguning, dan ada yang sudah dituai. Saya bercadang untuk  Giulia melihat sawah padi secara dekat bila sampai di kampung, sayangnya padi sudah dituai pula. Yang ada pokok buah-buahan, ada buah sukun, dan ada sedikit lagi buah rambutan di atas pokok yang dapat dipetiknya dan dirasa buahnya buat pertama kali. Dia juga dapat lihat pokok kelapa, sebab di Kuala Lumpur dia telah menikmati air kelapa yang digemari rasanya. Kemudian sebelum balik kami sempat minum air tebu, dia sangat suka rasanya yang manis dan sejuk itu, amat menyenangkan dalam cuaca panas terik yang menyegat. Dapat dirasakan dia agak kurang selesa dengan panas waktu tengah hari yang baru dialaminya.

Sebelum balik kami makan tengah hari di Restoran Tok Keramat Jitra. Giulia pilih menu ayam goreng dan sedikit kuah kari. Cara dia makan nasi dengan tangan menarik ramai mata terhadapnya. Tambah lagi bila dia berbahasa melayu sepatah dua, banyak mata melerek ke arahnya. Ada yang senyum dan ada yang terus bertanya dia datang dari mana. 

Begitulah yang dilalui Giulia, kelihatan dia terkial-kial menyesuaikan diri dengan bahasa Melayu loghat Kedah, cuaca yang panas terik dan makanan yang sama sekali berbeza dari kebiasaanya. Dia kelihatan "letih" dengan semua yang baru dialaminya tapi, ada usaha keras untuk melalui semua itu. Semoga dia diberikan kekuatan untuk mendapat sesuatu yang baik dari pengalaman bersama kami, in sya Allah.

No comments:

Post a Comment