Friday, August 11, 2017

BALIK LANGKAWI


Tanggal 3 Ogos, kami terpaksa balik Langkawi untuk urusan penting memantau Belukar Lodges, bilik sewaan kami. Giulia mesti dibawa bersama sebab kami bermalam di sana. Kebetulan cuaca hari ini mendung dan hujan jadi suhu agak dingin. Dia kelihatan suka dan senang sekali, alhamdulillah. Kami singgah sebentar di Dataran Lang bersebelahan Jeti Kuah. Nampaknya dia suka laut sebab Erbusco jauh dari laut iaitu di Venice. Kelihatan banyak juga gambar yang dirakamnya di situ. 

Selepas itu,  kami membasahkan tekak di Restoran 1 Malaysia dengan air tembikai. Kemudian kami singgah sebentar di kedai membeli ikan bilis. Menurut Giulia dia tidak pernah lihat kedai ikan kering di Itali. Ini suatu pengalaman baru baginya. Dia nampak teruja bila diberitahu dia sudah makan ikan bilis dalam nasi lemak yang telah dimakannya. Sedap katanya. Kemudian kami ambil kesempatan membawa dia melawat pantai Tanjung Rhu yang cantik, tapi hujan membataskan pergerakan dia  menikmati keindahan pantai yang putih bersih itu. Selepas melihat-lihat sekejap dalam hujan renyai kami meninggalkan pantai itu. Kemudian sampai di Belukar Lodges, dia berjalan-jalan melihat dusun dan kebun di kawasan dekat dengan rumah kami petang itu. Pokok di sini tak sama dengan pokok di Itali.

Malam di Belukar Lodges, dia dengar azan dengan lantang kerana berdepan dengan masjid. Katanya, dia mula dengar azan di Kuala Lumpur, dan kemudian di rumah kami di Alor Setar. Mudah-mudahan azan itu memberi ketenangan kepadanya. Dia diberitahu azan itu memanggil orang sembahyang 5 kali sehari. Dia bagi tau kami, dulu-dulu orang kristian di tempatnya, sembahyang pagi, tapi sekarang tidak lagi.  Barangkali dia terfikir kami masih lagi sembahyang. Semoga dia jadi senang melihat kami sembahyang dan mudah-mudahan terbuka hatinya ke arah kebaikan in sya Allah.

Selepas sembahyang Isyak, malamnya Giulia makan nasi lauk kari kepala ikan, ikan goreng, sambal belacan, dan sateh. Adik beradik di Langkawi yang belanja kami makan, suka tengok dia makan nasi dengan tangan, dan boleh menyebut dua tiga patah perkataan Melayu.  

Esoknya kami balik awal ke Alor Setar, Giulia kata perjalanan kami yang singkat agak memenatkan. Kami bagitau dia, ini baru permulaan, dia akan selalu ke Langkawi ikut kami balik, jadi banyak lagi aktiviti yang boleh dirasai nanti in syaa Allah.

No comments:

Post a Comment