Tuesday, August 15, 2017

HARI PERTAMA KE SEKOLAH


Seperti yang dijadualkan Giulia dibawa ke sekolah pada 6 Ogos 2017. Kami disambut Guru Kaunselor Puan Zawiyah dengan senyuman penuh mesra. Di bilik Gerakan semua pengurusan sekolah telah sedia menunggu. Terasa sungguh dihargai dan majlis dimulakan dengan bacaan doa. Kemudiannya, kami diberikan penerangan sepintas lalu tentang sekolah oleh Puan Pengetua Puan Hajah Zaini Kamaruddin. Diikuti pula selepas itu, taklimat guru kelas Puan Wan Farahuna tentang mata pelajaran, kelas tambahan, dan aktiviti ko-kurikulum. Giulia ditempatkan di kelas 4 Sains 1, manakala Steffany di 4 Sains 2.

Selepas acara penyerahan Giulia dan Steffany kepada sekolah, keluarga angkat menikmati jamuan ringan. Manakala Giulia dan rakannya dibawa melawat ke kelas masing-masing. Mereka diperkenalkan kepada rakan sekelas yang sangat teruja menanti ketibaan sahabat baru. Selepas selesai berkenalan dengan guru-guru kelas,  kami dibenarkan pulang.   

Turun dari pejabat, tanpa disangkakan ramai pelajar menunggu di Anjung. Mereka mengalu-alukan kedua pelajar baru sekolah mereka, dengan sorakan dan lambaian mesra.  Tidak ketinggalan juga ada yang ambil kesempatan bergambar. Sudah tentulah pengalaman pertama itu menyeronokkan Giulia dan Steffany. Kami pulang dengan penuh rasa syukur kerana telah ditakdirkan, dapat memberikan pengalaman indah buat hari pertama menjejakkan kaki ke sekolah yang jauh beribu batu dari kampung halaman dan tanah air mereka Italy dan USA. Ya Allah semoga dipermudahkan segala urusan mereka di sini dengan taufik dan hidayahMu, aamiin.
 

No comments:

Post a Comment