Friday, August 18, 2017

MAKAN BERSAMA KAMI


Sejak hari pertama Giulia dan rakan-rakannya menjejak kaki  ke negeri Kedah Jelapang padi,  mereka diraikan dengan jamuan makan nasi tengah hari - nasi tomato, ayam masak merah dan dalca ayam. Kelihatan Emily dan Steffany sudah mula makan nasi dengan tangan, tapi Giulia pilih untuk makan dengan sudu dan garpu. Malamnya dia dijamu nasi lagi dengan lauk kari ikan, sayur dan ikan goreng. Sangat kekok dia mula belajar makan  nasi dengan tangan. Dia makan lauk duhulu, akhir sekali barulah makan nasi putih. Sudah tentulah nasi putih itu tidak berselera dimakan kerana rasanya yang tawar dan hambar. Habis juga nasi sepinggan yang diberikan kepadanya, walaupun kelihatan dicuba  dengan susah payah. 

Esok paginya kami belikan nasi lemak bilis telur sebagai sarapan, habis sebungkus dimakan. Dia rasa macam tak mampu nak habiskan, dia pun terkejut dia boleh makan sehinga selesai sebungkus pagi itu. Menurutnya di Itali mereka makan nasi berperisa seperti keju, tomato dan daging  dengan pasta, sebagai makan malam. Tengah hari dan pagi tidak pernah mereka makan nasi macam di Malaysia. Dalam berjenaka kami bagi tu dia sepanjang setahun nanti dia tak akan berhenti makan nasi berlauk dengan kami.

Dalam seminggu dua ini nampaknya Giulia semakin serasi menjamu selera dengan nasi. Balik sekolah terus buka tudung cari nasi. Malam turut sama-sama menghidangkan nasi dan lauk pauknya. Antara menu yang kami makan bersama ialah kari ikan dengan rebung. Dia kurang suka kerana terkena rebung yang keras. Kami berikan peribahasa: melentur buluh biar masa rebungnya. Dia kelihatan truja dengan peribahasa itu. Di samping itu kami masak kari ayam, sup ekor, kurma, ayam masak merah, sambal udang dan sateh serta pelbagai jenis sayuran seperti terung, labu, sawi, kacang bendi dan salad segar. Nampaknya dia suka semua jenis lauk yang dihidangkan. Dia bagi tahu kami di Itali dia tidak suka makan bawang, tapi bawang di sini manis dan sedap rasanya. Dalam ketawa dia bagi tau bapanya mesti suka nanti, kerana dia sudah boleh makan bawang.

Suatu pagi kami sarapan pulut durian kegemaran kami. Kami bagikan Giulia sedikit pulut bersama santan dan seulas buah durian. Dia tidak begitu suka durian kerana baunya yang keras yang dirasakan kurang disenanginya. Dia makan pulut dan menjamah sedikit saja isi durian. Giulia tidak tahu durian yang kami beli salah satu species yang baik dan mahal. Kami bagi tau Giulia bukan semua orang mampu makan durian, terutamanya yang mahal seperti kami belikan untuk dirasainya. Dia patut bersyukur dibelikan durian yang istimewa, dan dia patut rasa diberi layanan VIP kerana dibelikan raja buah itu sebagai menu pilihan. 

Oleh kerana dia kurang suka durian, jadi ketika kami membelikan  buah cempedak yang ditempah khas, kami suruh dia jamah sedikit saja isinya yang tebal dan manis. Jika dia tidak suka jangan dibuang dan membazir seperti dia membuang buah durian yang disajikan kepadanya tempoh hari. Aku rasa dia tidak wajar, jadi awal-awal lagi dia telah diberikan pilihan. Tapi berbeza pula dengan buah cempedak, katanya dia suka buah ini, kerana rasanya seperti puding triffle. Esoknya aku buat cucur cempedak, Giulia makan sungguh, dia kata dia suka cempedak, alhamdulillah. Baru dia tahu penangan buah tempatan, buah cempedak. Kemudian aku buat cucur cempedak. Katanya dia suka sungguh-sungguh. Dia akan merinduinya bila dia balik Itali nanti. Aku ajarkan serangkap pantun tentang buah cempedak, dia senyum saja, kemudian mencatatnya dalam buku nota;

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar, 
Kalau salah tolong tunjukkan

Pada hari itu juga telah dibelikan goreng pisang, sebagai menu minum petang. Dia juga suka cucuk pisang yang kami beli itu.  Hari-hari lain menu minum petang, kami sediakan goreng sukun, cucuk kodok, cucuk udang, bihun soto, mee goreng, dan kuehteow goreng. Sebagai tambahan kami beri dia rasa air kelapa muda,  dia memang suka, kerana di Itali tiada pokok kelapa dan dia tidak pernah lihat kepala muda yang hijau kulitnya. Alhamdulillah minggu kedua berjalan lancar, nampak Giulia semakin rasa selesa dan semakin biasa dengan kami. Ya beri hidayah kepadanya. Semoga apa yang kami buat akan memberi kebaikan kepada agamaMu Ya Allah yang maha mengetahui.

No comments:

Post a Comment