Friday, August 11, 2017

JALAN-JALAN DI PEKAN ALOR STAR


Masa lapang di rumah dipenuhi perbualan untuk mengenali satu sama lain. Terutamanya waktu makan pagi dan makan malam, kerana itu saja waktu terluang yang kami ada. Dia bercerita tentang No 1 Via Victoria, Erbusco, Itali dan kami cerita tentang Alor Setar. Pagi itu Giulia dijamu pulut durian, makanan kegemaran keluarga kami. Dia kurang gemar kerana baunya yang keras, tapi dia cuba sedikit, seulas pun tidak habis dimakan. Dia hanya tersenyum melihat kami makan dengan berselera dan sempat pula bertanya "why do you like this fruit?" Kami beritahu dia buah ini sedap, bila selalu makan akan jadi suka  dan buah ini istimewa, bermusim setahun sekali dan mahal harganya mengikut jenis-jenis yang pelbagai. Lagi pun Tidak semua orang mampu menjamu orang dengan menu ini. Dia dijamu kerana menjadi tetamu istimewa kami.

Oleh kerana Giulia perlu beli baju sekolah jadi kami ke Kamdar, belikan baju sekolah untuknya, sepasang baju kurung dan kain. Kesempatan itu digunakan untuk memperkenalkan Bandaraya Alor Setar. Semua yang penting-penting ditunjukkan kepadanya; Muzeum Negeri, Masjid Zahir, dan Menara Alor Setar. Oleh kerana dia masih baru, jadi semua itu tidak begitu memberi kesan kepadanya. Tapi bila diberitahu tentang KM 0,  kelihatan dia agak tertarik kerana ada kaitan dengan alamat rumah kami iaitu KM 4, yang ukurannya bermula dari KM 0. Kemudian kami ke City Plaza sekadar melihat-liahat, dan kebetualan ada baju kurung yang sesuai, dihadiahkan sepasang baju kurung lagi untuknya.

Esoknya Giulia dibawa ke Giant untuk membeli barangan dapur, dan juga untuk membiasakan dia dengan keadaan sekitar rumah kami. Dia nampak ceria melihat sayur-sayuran. Melihat labu dia dia beritahu dia suka sup labu. Bapanya suka masak kerana sedap dimakan dengan roti dan pasta.  Dia juga suka terung. Mereka bakar dengan keju untuk dimakan dengan roti. Nampaknya nanti bolehlah aku  bertukar resipi yang menjadi kegemaran dia.

Oleh kerana sudah lewat kami makan di Mary Brown, dia pun ikut makan nasi juga. Barangkali untuk membiasakan diri dengan hidangan nasi sewaktu tengah hari. Alhamdulillah dia telah mula biasa makan nasi. Dia pun hairan, pagi dia sudah makan nasi lemak, tengah hari dia boleh lagi makan nasi. Aku senyum melihat dia semakin dapat menyesuaikan diri menjadi orang Kedah, makan nasi pagi, makan nasi tengah hari dan makan nasi malam. Alhamdulillah senanglah bila dia sudah biasa, kita jadi tidak risau nak jamu dia makan.

No comments:

Post a Comment