Sunday, June 1, 2014

ISRAK MIKRAJ




Setiap kali bulan Rejab tiba, maka kita akan diingatkan tentang kisah perjalanan Nabi Mohamad, agar dapat kita menghayati peristiwa israk mikraj, yang Allah telah taqdirkan kepada baginda Nabi saw. Saya amat tertarik dengan ceramah Israk mikraj yang disampaikan oleh Dr Mohamad Akil yang membawa kita meneliti kisah itu, dengan menghayati maksud ayat dalam Surrah Israk, ayat yang pertama (1).

Dalam ayat ini, Allah memulakannya dengan perkataan 'subhaana'  maksudnya maha suci Allah. Ayat ini tidak lain bertujuan  untuk menepis segala tohmahan yang timbul selepas Nabi saw menceritakan kisah baginda yang telah mengalami peristiwa israk mikraj, yang menakjubkan itu. Allah sendiri yang meletakkan perkataan yang bermaksud maha suci. Jadi bagi orang yang benar-benar beriman dengan Nabi pada waktu itu, peristiwa ini tidak akan disangsikan lagi, walaupun kelihatan seperti suatu yang kurang masuk akal. Tapi bagi orang kafir sudah tentulah peristiwa  besar ini menjadi bual bicara orang kufur, untuk menghalang kaum mereka daripada turut beriman dengan Nabi saw.

Di samping itu, Allah menyebut beberapa perkataan lain di dalam ayat ini:
Asra  -  maknanya berjalan malam. Ada hikmahnya Allah menetapkan Nabi berjalan pada waktu malam, kerana peristiwa yang berlaku pada waktu malam, yang keadaanyan gelap gulita, boleh menimbulkan tanda tanya tentang kesahihannya. Sudah tentulah peristiwa ini  bertujuan  menguji  keimanan manusia kepada Allah, iaitu pada zaman Nabi baru mengembangkan syiar Islam. Bagi pengikut-pengikut yang sudah memeluk Islam, peristiwa ini sudah tentulah dapat  meningkatkan lagi keyakinan mereka tentang kebesaran Allah, dan Nabi Mohamad sebagai pesuruh Allah dalam menyampaikan syiar Islam. Dan lagi Allah memilih waktu malam hari, kerana melakukan sesuatu pada malam hari adalah lebih selesa berbanding waktu siang hari. Sudah tentulah Allah mahukan yang terbaik untuk Nabi saw sebagai kekasihNya.

Bi'abdihi  -  bermaksud semulia-mulia manusia. Dalam al-Quran Nabi selalunya disebut sebagai Rasul dan Nabi, tetapi dalam ayat ini Allah menyebut Nabi sebagai semulia-mulia manusia, yang  mengabdikan diri kepada Allah yang maha berkuasa. Jadi ini menjadi contoh agar manusia mengambil iktibar, supaya mengikut sifat mulia Nabi  yang  menunjukkan sifat keabdian atau ubudiah makhluk kepada penciptaNya, Allah yang maha agong.

Min Masjidil Haram  -  bermaksud dari Masjidil Haram, yang diberi pelbagai tafsiran iaitu boleh jadi Masjidil Haram iaitu Kaabah, atau Tanah Haram.  Perkataan ini disebut berkali-kali dalam Quran,  membawa maksud berbagai-bagai seperti yang tersebut. Dalam konteks israk mikraj ahli tafsir mengatakan Nabi bermula daripada rumah Ummu Hani, kakak Saidina Ali, iaitu sepupu Nabi Mohamad saw.

Masjidil Aqsa - 'aqsa dari sudut bahasa bermakna satu tempat yang jauh, di situ telah dibina sebuah masjid oleh Nabi Ishak ibn Yaakob selepas Nabi Ibrahim membina Masjidil Haram.

Jadi selepas meneliti beberapa perkataan dan maksud ayat tersebut di atas, maka kita boleh mengambil iktibar daripada peristiwa yang berlaku kepada Nabi besar junjungan kita. Dalam peristiwa itu terdapat  lima (5) komponen yang jelas, iaitu pelakon utama (Nabi Mohamad saw), sahabat yang menemani Nabi (malaikat Jibril), kenderaan yang dinaiki iaitu burak, tempat bermula (Masjidil Haram) dan tempat tujuan (MasjidilAqsa).  Keadaan ini boleh diterjemahkan dalam kehidupan kita sebagai manusia yang menjalani kehidupan di dunia yang sementara ini.

Seperti peristiwa israk mikraj, kehidupan kita manusia juga ibarat suatu perjalanan jauh yang dilalui dalam masa yang singkat. Di dunia ini kitalah pelakon utamanya.  Jika Nabi disebutkan sebagi semulia-mulia manusia yang mengabdikan diri kepada Allah dalam israk mikraj, maka yang patut kita contohi ialah kita mestilah berusaha menjadi sebaik-baik hamba di dunia ini. Kita mesti mengabdikan diri, dan menjadi orang baik-baik iaitu beriman dengan bersungguh-sungguh kepada Allah dan Rasul, untuk mendapat keredaan Allah. Bukanlah suatu yang mudah menjadi orang beriman, kerana banyak cubaan dan dugaan yang menimpa kita, Tapi itulah yang perlu kita tempuhi, semata-mata kerana keyakinan kita, semata-mata  mengharapkan balasan dan rahmat Allah, kerana Allah telah mengajarkan kepada kita supaya melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran di muka bumi ini, sebagai bekalan bila tamat perjalanan kehidupan dunia.

Perkara kedua, dalam menjalani kehidupan kita memerlukan sahabat. Jika Nabi diiring oleh Jibril sepanjang perjalanan  ke langit, maka iktibarnya dalam kehidupan kita di dunia juga, kita perlukan sahabat. Allah dengan segala kebesaranNya, telah memilih Jibril menjadi pengiring Nabi, dan menjadi sahabat yang memainkan peranan sebaiknya,  sehingga israk dan mikraj menjadi amat bermakna kepada Nabi. Iktibarnya, dalam menjalani kehidupan kita, maka pilihlah sahabat yang baik. Pilihlah sahabat yang boleh membantu kita menjadi semakin kuat iman dan amal. Pilihlah sahabat yang boleh membimbing kita supaya kita berupaya mendapat redha Allah, menjadi orang yang baik hati budi, dan menjadi lebih  dekat dengan Allah, bukan sebaliknya. Pilihlah orang baik-baik sebagai jiran kita, orang baik-baik di tempat kerja kita dan orang baik-baik di mana jua supaya dapat membantu kita menjadi orang yang mengabdikan diri semata-mata kepada Allah. Dan jika orang di sekililing kita baik-baik maka kitapun patutlah menjadi orang baik-baik. Jika sebaliknya orang tidak berlaku baik kepada kita pun eloklah kita berlaku baik kepada orang supaya menjadi contoh dan diteladani kebaikan kita kepada orang. 

Seterusnya, dalam kehidupan, kita amat memerlukan kenderaan. Allah telah menyediakan burak sebagai kenderaan untuk Nabi mengadap Allah di langit. Telah dikatakan perjalanan Nabi amat pantas. Jadi iktibarnya kita juga amat memerlukan kenderaan yang boleh memudahkan kita bergerak ke tempat kerja, yang tidak membebankan kita, yang  boleh dibawa untuk beribadat, atau untuk apa saja aktiviti harian yang sebenarnya adalah amalan yang menjadi ibadat, jika dilaksanakan semata-semata untuk mendapat keredhaan Allah. Jadi kenderaan kita mestilah sesuai dengan kemampuan kita, jika kita inginkan ia menjadi suatu ibadat, kerana jika tidak, kenderaan kita hanya menjadi suatu bebanan yang tidak mampu untuk menggalakkan kita membuat amal kebajikan yang dituntutkan.

Akhir sekali, kehidupan kita di dunia, adalah permulaan kehidupan, dalam menuju suatu kehidupan di dunia yang kekal abadi nanti. Inilah permulaan, tempat kita hidup, tempat kita menjalani kehidupan, mencari rezeki,  berkeluarga, bekerja dan beramal. Semuanya tidak lain, bertujuan untuk  menuju pengabdian kepada Allah, Tuhan maha pencipta. Semuanya dengan harapan menjadi hala tuju kita, tidak lain menuju ubudiah atau pengabdian kepada Allah semata-mata.

Marilah kita sama-sama mengambil iktibar daripada kisah perjalanan Nabi saw yang sering kita dengar setiap tahun apabila datangnya bulan Rejab. Insyaa Allah mudah-mudahan dengan menghayati kisah israk mikraj, akan semakin terbukalah pintu hati kita untuk terus mengabdikan diri kepada Allah. Mudah-mudahan perjalanan kita nanti mendapat redha Allah dan dimasukkan kita ke dalam golongan orang-orang yang soleh. Amin ya Allah

No comments:

Post a Comment