Tuesday, May 6, 2014

AKTIVITI HUJUNG MINGGU


Setiap hujung minggu hari Jumaat, masa anak-anak masih di sekolah rendah, dipenuhi dengan aktiviti keluarga. Selalunya pagi Jumaat kami makan-makan di luar - roti canai, atau nasi lemak. Masih segar dalam ingatan, along kalau roti canai mesti dua biji, kalau tidak semua termasuk angah dan alang, akan minta roti canai telur. Selepas itu setiba di rumah bermulalah tugas rutin setiap hujung minggu.

Mula-mula semua akan rendam baju putih. Kemudian mereka beruslah kolar baju putih masing-masing, dan lepas itu mereka berus stokin putih pula, sebelum dimasukkan ke mesin. Seperti biasa naluri anak-anak akan bermain-main air sambil buat kerja. Tapi kerja tetap siap. Akhir sekali basuh kasut sekolah dan letak kapur kasut, supaya putih bersih. Siap tugas hujung minggu hari Jumaat.

Rutin ini kadang kala kurang disenangi anak-anak. Apatah lagi apabila mereka membandingkannya dengan rakan mereka di sebelah rumah. Dia tidak pernah sekalipun kelihatan menguruskan dan membersihkan baju sendiri. Aku selalu beritahu mereka, 'tak apa nanti bila besar, bila hidup sendiri jauh dari mama, mesti semua anak mama sudah biasa mengurus diri'. Masa itu mesti dirasakan mudahnya semua kerja yang pernah dibuat, dan sudah tentu tidak akan menimbulkan stress, dan susah bila sudah biasa buat kerja sendiri. Selalu juga aku ingatkan 'orang perempuan kerja apa pun akan jadi isteri dan tidak boleh lari dari mengurus rumah, dan salah satunya mengurus baju-baju yang dipakai setiap hari', kalau sudah biasa mesti nanti tak jadi masalah'.

Hari Sabtu juga hari cuti hujung minggu. Selalunya anak-anak akan membantu membersih bilik air. Ada yang berus lantai, berus dinding, bersih sink dan mangkok tandas, semuanya dibuat bersama, dan sekejap saja bilik air sudah bersih berseri. Kemudian mereka akan bermain dalam 'bath tub'  sehingga puas. Aktiviti ini dirasakan amat penting sebagai sebahagian daripada sosialisasi pembentukan sifat dan sikap anak-anak. Sebenarnya membiasakan anak-anak menjaga kebersihan bilik air memang amat penting dalam pemupukan sifat pentingkan kebersihan. Bukan itu saja, melaksanakan tugas bersama-sama menggalakkan toleransi dan sifat kasih sayang yang berpanjangan antara anak-anak insyaa Allah.

Begitulah yang pernah dibuat bersama anak-anak semasa mereka masih kecil dan awal  remaja. Dan bila mereka sudah dewasa dapat dilihat perkara yang dipupuk sejak kecil, menjadi amalan dalam kehidupan seharian mereka. Alhamdulillah......




No comments:

Post a Comment