Wednesday, June 18, 2014

HARGA SEBUAH KEHIDUPAN


SYARAHAN USTAZ ABDUL WAHID - ALKAHFI AYAT 45
SURAU DARISYFAK – 9 APRIL 201

Allah menunjukkan misalan contoh atau perbadingan yang ada dalam ayat ini.  Allah umpamakan hidup manusia  seperti air hujan yang Allah turunkan dari langit, kemudian becampur dengan tanah, maka tumbuhlah pokok, berbunga, kemudian jadi buah, akhirnya habis kering; samalah dengan kehidupan  kita manusia di dunia ini, bermula di alam janin, dilahirkan, membesar, tua dan akhirnya mati. Jika dilihat air hujan yang banyak membawa kepada banjir, tetapi selepas banjir, tidak tau ke mana hilangnya air yang banyak itu, kadang-kadang surut dengan sekejap saja. Begitulah kehidupan manusia pun lazimnya dalam sekitar 60 tahun, selepas itu hilanglah dan lenyaplah kehidupan yang dirasai, dinikmati  dan dikagumi di bumi ini, bagaikan sekelip mata jua adanya.

Allah umpamakan kehidupan dengan air hujan atau banjir,  kerana air bukanlah dari  jenis yang tetap, malah adanya atau kewujudanya hanya untuk  sekejap saja. Begitulah jua manusia tidak  akan kekal di dunia ini. Dengan keyakinan  bahawa kehidupan yang dilalui amat singkat ini, maka manusia mesti berusaha melakukan amalan soleh dan beramal untuk mengharungi masa yang sangat pantas adanya.

Manusia takut dengan  keadaan air yang  banyak, kerana air yang banyak pada bila-bila masa pun akan dan telah memudaratkan kehidupan manusia, dan merosakkan harta benda yang ada. Malah tumat-umat terdahulu yang kufur dan lupa diri tidak mengingat Allah, kebanyaknanya mengalami kemusnahan dengan air. Lihatlah kaum Nabi Noh, dimusnahkan dengan banjir besar yang Allah turunkan. Lihatlah Firaun ditenggelami air laut yang ditimpakan kepadanya beserta kaumnya yang gilakan dunia semata-mata. Begitulah juga  hidup kita di dunia, kalau terlalu leka dan melebihkan dunia, seolah-olah hanyut di air banjir, dan lebih teruk lagi jika tenggelam di arus banjir. Jika manusia  ‘menyelam’ dalam kehidupan dunia, banyak antara manusia di dunia ini akan sesat dan bergelumang dengan fitnah dunia. Sebaliknya air kalau sedikit akan memberi manafaat kepada kehidupan manusia, begitulah juga dunia kalau ‘sedikit’ dalam lingkungan syukur dan redha Allah, akan memberi kesejahteraan kepada kehidupan dunia atau di kehidupan kekal abadi di alam sana adanya.

Bagaimanakah menjadikan kehidupan kita menjadi baik, seperti air takungan yang  sedikit yang bermanfaat? Yang paling penting, ambillah iktibar dan ingatlah pada setiap masa dengan penuh yakin, akan amaran Allah, bahawa kita akan dihidupkan semula selepas mati untuk menerima segala balasan atas daya usaha kita yang singkat di dunia ini. Buktinya seperti yang dinyatakan dalam Surah Yasin ayat 78 yang bermaksud, Allah berkuasa menghidupkan manusia selepas mati, lagi mudah, sedangkan belum hidup pun mudah Allah menghidupkan manusia. 

Sesungguhnya Allah beri hidayah kepada semua manusia, dan Allah tunjukkan jalan melalui Rasul pilihan, jadi terpulanglah kepada kita untuk memilih, sama ada mahu  tenggelam dalam keduniaan ataupun sebaliknya. Dalam al-Quran banyak ditunjukkan pengkhianatan isteri atau anak para Nabi utusan Allah untuk menjadi iktibar kepada kita dalam memilih jalan yang benar, contohnya anak dan isteri Nabi Noh serta isteri Nabi Luth. Sebaliknya Allah tunjukkan juga dalam surah Attahrim ayat 4, bagaimana isteri Firaun beriman walaupun hidup bersama-sama  orang yang fasik lagi zalim takabbur. Jadi sama-samalah kita memohon kepadaNya agar diberi pertunjuk jalan yang benar dan hidayah, supaya kita tidak leka dan lalai lalu tenggelam di lautan dunia. Mohonlah juga agar kita mendapat redha Allah supaya dunia tidak memudaratkan kita, insyaa Allah……

Berikut dicadangkan antara amalan-amalan yang memberi  manfaat untuk diamalkan. Amalkanlah membaca  Qulhuwallah huahad 10 kali (sekurang-kurangnya) setiap hari, Allah akan bina sebuah mahligai untuk kita di syurga nanti. Di samping itu amalkan sembahyang sunat sebelum zohor 4 rakaat, selepas  zohor 2 rakaat, selepas maghrib 2 rakaat, selepas isyak 2 rakaat, dan sebelum subuh 2 rakaat, Allah akan  bina kepada kita, mahligai juga di syurga. Mudah-mudah dapat kita sama-sama amalkan amalan baik ini, di samping melaksanakan amalan-amalan wajib yang lain untuk menambahserikan lagi kehidupan kita di sana nanti insyaa Allah. Mudah-mudahan Allah redha kepada kita.


No comments:

Post a Comment