Tuesday, June 17, 2014

SAHABAT IBLIS




SYARAHAN  USTAZ  ABDUL WAHID
SURAU DARULSYIFA’ - 11 JUN 2014

Umum mengetahui kisah Allah menyuruh malaikat sujud kepada  Adam, mereka patuh, namun iblis ingkar. Menurut Ibn Abbas, iblis asalnya bernama harith. Setelah dia engkar  arahan Allah, ditukar namanya menjadi iblis.  Keturunannya adalah daripada golongan jin, dan iblis diciptakan dari lidah api, sebab itulah dia merasakan dirinya lebih mulia daripada Adam yang diciptakan dari tanah.  Menurut Ibn Kathir, iblis adalah ketua daripada  makhluk yang menjaga syurga, tetapi dia marah apabila Allah melantik  Adam  menjadi  khalifah. Diriwayatkan juga,  iblis makhluk yang  memang kuat bekerja, dan banyak ilmu pula, sebab itu dia jadi takabbur dan engkar atau tidak boleh menerima suruhan Allah untuk menyembah Adam. Jadi jika manusia mengikut sifat-sifat  iblis yang tersebut di atas,  sama ada secara sedar atau tidak, maka manusia telah menzalimi diri mereka sendiri. Menurut Ibn Kathir, angkatan  iblis bergerak menawan hati manusia dengan sungguh-sungguh melalui enam ‘portfolio’: solat, perdagangan, wanita, multi media, dan rumah tangga. Sebab itulah banyak fitnah yang timbul melalui enam perkara di atas, kerana iblis dengan sungguh-sungguh,  tidak pernah henti-henti, dan tidak sedikitpun pernah kecewa atau  putus asa dalam menyebarkan hasutan agar manusia ikut serta menjadi pengikutnya nanti. Dan bila tiba masanya mengadap Allah nanti,  seperti telah disebutkan dalam AlQuran surah AlHashr, iblis lepas tangan, kitalah yang akan menanggung segala azab dan balasan sendirian

  
Di samping itu, ramai juga yang pernah mendengar bagaimana tekunnya dan bersungguh-sungguhnya iblis menyesatkan seorang pemuda Bani Israil, bernama Barsieso yang sangat istiqmah  beribadat pada setiap masa selama 40 tahun. Malangnya Barsieso akhirnya tewas kepada iblis dan telah terjerumus melakukan dosa besar, berzina, membunuh dan murtad sujud  mengikut iblis. Hancur musnah dan sia-sialah amalanya selama 40 tahun. Iblis hanya tekun dan bersungguh-sungguh dalam berpua-pura, mengikut Barsieso  beribadat. Dengan kesungguhan itulah Barsieso terpedaya dan menjadi pengikut iblis laknatullah.

Iktibar yang boleh diambil sebagai kesimpulanya ialah,
1. Manusia mestilah kuat bersatu hati dan berada dalam jamaah ke arah melaksanakan suruhan Allah dan mencegah kepada kemungkaran. Berada dalam jamaah, membolehkan kita saling tegur menegur kepada kebaikan, dalam suasana ukhwah dan persaudaraan untuk mendapat kesejahteraan di dunia di di akhirat sana nanti.
2. Langkah yang dibuat oleh iblis dalam menyesatkan manusia hingga berjaya, ialah bekerja tanpa jemu sedikit demi sedikit dan berterusan, tidak melalui jalan pintas, tapi tekun dan bersungguh-sungguh. Akhirnya dia mencapai kejayaan yang diingininya,  pada tahap maksimum.
3. Kesabaran iblis dalam melaksanakan apa jua tugas amat tinggi, dan tiada mengenal erti  putus asa, dan inilah yang  mengalahkan kita akhirnya. Jika kita tidak sabar senanglah kita digoda, dan segala masalah pun bermula dengan tiadanya perasaan sabar.
4. Lelaki dengan perempuan akan sentiasa digoda oleh iblis sehingga menimbulkan fitnah dan terjebak dengan dosa besar yang amat disukai syaitan. Jadi eloklah lelaki dan perempuan bukan muhrim tidak rapat untuk mengelakkan dihasut iblis melakukan dosa.
5.Iblis sangat bijak dan halus mengatur strategi,  sehingga semua yang buruk diberikan tafsiran oleh manusia bahawa kita berada di pihak yang benar dan betul belaka, sehingga masing-masing menegakkan benang basah yang menyebabkan berlaku pertelingkahan dan permusuhan. Sesungguhnya perselisihan manusia itulah yang sangat disukai iblis.
6. Iblis sangat suka manusia tidak bernikah kahwin, kerana perkahwinan membawa kepada kesejahteraan ummah dan mengelakkan berlakunya maksiat.
7. Perasan rasa hebat atau takabburlah, yang membuatkan iblis engkarkan suruhan Allah. Jadi iblis akan sentiasa melunakkan hati manusia supaya tanpa disedari manusia akan kagum dengan kehebatan diri sendiri, dan inilah yang memecahbelahkan manusia sehingga bermusuhan sesama sendiri dan iblis gembiralah akhirnya.

Oleh itu marilah kita sentiasa bermohon kepada Allah supaya kita dilindungi daripada fitnah iblis yang bersungguh-sungguh mahu menyesatkan kita.

No comments:

Post a Comment