Wednesday, March 26, 2014

OMAN YANG MENAWAN


17 Januari - Jumaat

Kami amat bersyukur kerana, anakanda Hasrul dan Alfian telah aturkan acara lawatan ke negeri Oman. Oman memang terkenal dengan pemandangannya yang indah dan masyarakatnya yang lebih mesra dan lembut berbanding di Dubai dan negeri Arab lain. Bertolak ke Oman pagi itu, kami melewati negeri-negeri Sharjah, Ajman, dan Ras Al Khaima. Kami tiba awal di sempadan UAE Al Dhara, sebelum memasuki sempadan Oman. Kami mengambil masa dua jam perjalanan dengan kereta dari Dubai. Tapi urusan passport dan imegresen sangat lama, kerana pegawai itu terpaksa 'key-in' maklumat passport kami satu demi satu. Selesai urusan passport barulah kami dibenarkan memasuki sempadan Oman di Tibat. Oleh kerana terlalu jemu Hayyan dan Hannah seperti biasa sudah resah gelisah kerana menunggu terlalu lama.

Akhirnya alhamdulillah, setelah selesai semuanya, urusan bayaran masuk ke Oman di Tibat, kami memasuki negeri Oman. Perjalanan ke Khasab di daerah Musandam Oman sepanjang 195 kilometer itu, sungguh mengasyikkan, dan dijangka mengambil masa lebih kurang selama sejam lebih dari sempadan. Sepanjan-panjang jalan di sebelah kiri, kami menikmati keindahan laut Teluk Arab yang membiru pekat airnya. Manakala di sebelah kanan pula bukit-bukit batu saujana mata memandang, tiada sepohon pokok pun dapat dilihat. Melihat kepada papan-papan tanda, Kami melalui jalan-jalan yang yang menunjukkan simpang ke kampung-kampung badui di pedalaman. Sesekali dapat dilihat beberapa ekor kambing makan rumput kering di tebing-tebing bukit itu, barangkali inilah yang lebih tepatnya dikatakan kambing gurun, kerana berada di gurun. 

Tiba di puncak kliff
Pemandangan di atas klifF
Gambar kenangan Opah di atas kliff yang sunnguh indah  
Kami  dibawa menikmati pemandangan indah 'off-road' di atas kliff, yang menghadap laut nan membiru. Rupanya orang Dubai suka memandu di gurun pasir yang mencabar, kerana tiada jalan cuma melalui laluan berbatu-batu, yang nyaman untuk menikmati pemandangan yang menakjubkan itu, dan menikmati cuaca yang sungguh nyaman di musim sejuk.



Selesai menikmati pemandangan indah, oleh kerana sudah tengah hari kami berhenti singgah makan  di Bukha. Sebenarnya di tepi pantai sepanjang perjalanan ke Musandam, ramai orang berhenti sama ada untuk makan-makan atau untuk menikmati suasana nyaman musim sejuk di tepi pantai yang sungguh indah, yang mengadapa ke Teluk Arab itu. Boleh dilihat di tepi-tepi pantai disediakan kemudahan asas seperti paip air, pondok rehat dan tandas untuk kegunaan pelancong yang singgah, sama ada pelancong dari dalam atau dari luar negeri.  Tambahan pula, pantainya sungguh bersih, dan pasirnya pula halus kelihatan putih berseri saujana mata memandang.

Walaupun cuaca panas terik tapi angin dari laut yang kencang di musim sejuk itu, menjadikan kami terasa sangat sejuk hingga menggigil. Jadi kami buat kopi panas untuk mengurangkan kesejukan, rupanya masih tidak tertahan juga. Oleh itu kami makan di tengah panas, jadi bolehlah tahan sedikit, kuranglah sejuknya. Seperti biasa makanlah kami dengan nikmatnya, kerana perut yang lapar dan cuaca yang dingin pula. Perjalanan diteruskan lagi selepas makan. Kami kemudiannya berhenti pula di sebuah klif, suatu tempat pemandangan indah. Dari situ kami dapat melihat ke bawah, lautnya yang biru kelihatan menakjubkan kerana dulunya kita hanya melihat kliff dalam gambar sahaja. Kini dapat dilihat sendiri dengan mata kasar, kebesaran ciptaan Allah akan alam semesta ini, masyaAllah, maha suci Allah yang menciptakan.
Membawa barang keperluan ke bilik

Di hadapan War Muzeum Khasab
Kami tiba di Khasab Musandam sudah agak lewat, jadi kami jamak asar zohor di Hotel Khasab. Kemudian petang itu kami keluar jalan-jalan sekitar bandar Khasab. Tidak banyak dapat dilihat kerana Khasab adalah bandar kecil yang didiami tentera kerana kedudukannya yang strategik, dibentengi oleh banjaran bukit yang teguh mengadap ke laut Teluk Arab.



Kami singgah ke Muzeum Perang, tapi malangnya ia ditutup selepas asar, kami boleh melihat-lihat di luarnya sahaja, jadi selepas itu, kami terus ke tepi  pantai untuk menikmati angin petang musim sejuk sambil melihat matahari terbenam.





Hayyan terpegun melihat kuda yang tangkas berlari di pantai
Rupanya sungguh ramai orang lepak-lepak di tepi pantai, ada keluarga dan ada juga penggemar pancing atau kaki pancing memenuhi pantai yang luas. Di situ juga disediakan pondok-pondok terbuka untuk kegunaan awam. Tapi ada kaki pancing yang menjadikan pondok itu sebagai persinggahan mereka berhari-hari untuk memancing

Sebelum matahari terbenam
Sedang kami asyik berbual, papa berjalan-jalan di tepi pantai pergi berkenalan dengan sekumpulan kaki pancing yang berkemah di situ. Melihat mereka kami rasa sungguh lucu kerana mereka siap bawa parabola untuk televisyen, dan siap dengan generator dan bot. Lama juga papa berbual kemudian papa bawa balik buah bidara yang dikendurikan oleh kaki pancing kepada kami. Sedang kami pula sibuk dengan keletah Hayyan, rengekan Hannah dan makan-makan
 hinggalah matahari terbenam.

Semakin hari gelap, udara semakin dingin dan kami tidak lagi dapat bertahan. Sebelum pulang ke hotel kami singgah di Pasaraya Lulu untuk menjamu mata. Kemudian kami makan malam di hotel, makanan yang dibawa dari rumah dan terus berehat. Tapi Hayyan sekejap ke bilik opah dan sekejap ke bilik wan sebelum dapat tidur dengan dedinya.

No comments:

Post a Comment