Tuesday, March 25, 2014

DESERT TOUR DAN DUBAI MUZEUM



14 Januari  -  Selasa

Pagi lepas minum kopi, kami bersiap-siap untuk ke Desert Tour di Lahbab. Kami buat persiapan untuk berkelah  makan  pagi di padang pasir yang luas itu. Tiba di Lahbab, lebih kurang 10 kilometer dari rumah, semua persiapan berkelah di keluarkan - meja, kerusi, dapur masak, dll. Kami memang kagum anakanda Alfian dengan sekejap telah setkan dapur, susunkan kerusi meja dan susunkan segala pinggan mangkok dan gelas untuk breakfas di tengah padang pasir di musim sejuk ini. Sungguh satu pengalaman yang unik dan tidak pernah dirasai sepanjang hayat. 


Apabila semua ready, Kami goreng cucur gandum. Wanginya sungguh memecah selera. Apalagi dalam cuaca yang sejuk, perutpun terasa lapar.  Sekali diangkat cucur dari kuali sekelip mata habis. Memang sungguh sedap makan cucur gandum panas-panas bersama kopi panas. Kami makan dengan seronoknya dalam cuaca yang dingin itu. Lepas goreng cucur, kami goreng keropok lekor pula, pun sekelip mata selesai juga.  Memang seronok berkelah makan dan minum pagi di gurun pasir. Udaranya sungguh nyaman dengan angin sepoi-sepoi bahasa yang mendinginkan, terasa  hingga ke tulang. Tapi kedinginan itu sedikit terubat dengan kopi dan kueh panas-panas yang disajikan.

Yang paling seronok sudah tentulah Hayyan yang tidak jemu-jemu bermain pasir. Panjat bukit pasir, lari-lari di pasir, dan bergolek- golek di pasir yang halus bersih dan dingin. Hannah juga tidak kurang sukanya, mula-mula tak mau jauh dari maminya tapi melihat Hayyan seperti serenok ja,  lepas itu, dia juga turut bermain pasir sama naik dengan Hayyan juga. Lama juga kami menikmati kenyamanan pagi di padang pasir. Kami tunggu sehinggalah matahari setinggi segalah kelihatan seperti bola api kemerahan di langit cerah yang kebiruan, barulah kami bersiap sedia untuk pulang.


Sebelum balik kami dibawa bermain pasir, meredah bongkah pasir atau diberi nama 'dune-bashing'.  Kami naik pacuan empat roda, dibawa merempuh padang pasir yang pasirnya sungguh halus, dan sesekali merempuh bukit pasir dengan lajunya. Dari dalam kereta bila debu pasir berterbangan tinggi, kami tidak nampak apa-apa, sehinggalah kereta kami meluncur keluar dari debu pasir yang tinggi itu. Kalau di Malaysia pacuan empat  roda dibawa merempuh hutan belantara, tapi di Dubai ia dibawa merempuh bukit-bukit pasir pula. Bagi kita yang tidak biasa merempuh pasir, agak terasa gerun, kerana ada ketikanya terasa seperti kereta akan terbalik di pasir, dan terkadang terasa seperti tayar terbenam di pasir. Tapi bagi yang biasa mereka terasa sungguh teruja. Menurut Alfian pengalaman bermain pasir yang paling teruk mereka pernah lalui ialah kereta mereka terbenam atau terbalik. Tapi mereka punya semua kelengkapan untuk mengawal keadaan. Selepas minum pagi dan bermain pasir, kami balik berehat dahulu, untuk simpan tenaga supaya dapat berjalan lagi tengah hari nanti.


Selepas berehat dan terasa lebih bertenaga, tengah hari kami ke Dubai Old Town. Tujuan kami untuk melawat ke Muzeum Dubai  di Bur Dubai. Dari luar kelihatan bangunan muzeum tidak begitu besar. Rupanya bila meninjau ke dalam, ruang pameran sebahagiannya di bawah tanah memang sangat luas dan banyak bahan pameran berkisar tentang perkembangan bandar Dubai sejak dari tahun 1930an lagi, kemudian berkembang di tahun-tahun 40an, 50an, 60an sehinggalan ke abad 21 ini. Peringkat awal perkembangan Dubai disajikan dengan gambar-gambar dan selepas itu sejak tahun 1950an dipamerkan dalam bentuk diorama yang lebih menarik perhatian lagi. Dan akhirnya Dubai moden diceritakan dengan lebih menarik melalui gambar-gambar 3d dan video-video pula. Tak sedar masa berjalan begitu pantas, kerana sibuk menikmati pameran yang sungguh mengesankan. Hayyan pun tidak banyak meragam kerana banyak yang dapat dilihat barangkali. Atau barangkali juga kerana dia dapat bergerak dengan bebas sepanjang melihat pameran di situ. Hannah lagi tidak kacau kerana tidur di stroller dengan nyenyaknya sepanjang berada di muzeum yang dingin dan selesa itu.



Kemudian selepas selesai lawatan di muzeum, kami makan pizza dan speggeti pada tengah hari itu. Sungguh nikmat makan apabila perut memang sangat lapar. Makanan semuanya terasa sungguh sedap, dan semuapun makan dengan nikmatnya dengan sekelip mata. Selesai makan kami  sembahyang jamak zohor asar, di Mesjid Besar Bur Dubai yang tersergam indah di hadapan muzeum.



Oleh kerana masa masih ada, kami berjalan kaki ke Bastakia Kompleks. Kami ingin melihat kompleks membeli belah traditional yang katanya sungguh unik. Kompleks ini sebenarnya pada masa dahulu ialah Kampung Arab Lama yang dipelihara dan dibangunkan menjadi kawasan kedai tradisional dan beberapa buah museum kecil. Kedai-kedai itu sebenarnya rumah-rumah lama yang diubahsuai, dijadikan kedai rempah ratus, kedai cenderamata, dan juga restoran. Dan terdapat juga sebuah rumah dijadikan Muzeum Coin yang sempat kami kunjungi. Dan sudah tentu papalah yang sungguh teruja berada di situ. Kami pun bersama papa melayan keterujaanya yang amat sangat. Tapi kami agak terkilan tidak dapat melawat sebuah rumah Arab Tradisi yang masih dikekalkan rupa bentuknya sama ada luaran dan dalamannya dan dijadikan muzeum untuk tontonan ramai, kerana ia ditutup selepas Asar. Nampaknya  kawasan perniagaan yang unik itu dijaga bersih dan tidak diubah bentuk dan persekitarannya, sehingga berada di kawasan itu membuatkan kita terasa seperti berada di sebuah kampung Arab lama adanya.


Apabila hari sudah semakin petang kami meneruskan perjalanan ke Souq atau pasar Naif di Diera. Pasar ini banyak menjual jubah-jubah, kain-kain ela, barang perhiasan, dan pelbagai barangan yang diperlukan, termasuklah juga tukang jahit jubah lelaki. Pasar ini dalam satu bangunan seperti sebuah kompleks membeli belah yang luas dipenuhi kedai-kedai kecil menjual bermacam-macam barangan. Kami kurang dapat melihat-lihat barangan kerana Hayyan sudah sangat letih selepas sehari berjalan-jalan. Oleh itu, selepas melihat-lihat sedikit sebanyak kami terus mencari kedai untuk makan malam. Kami  dibawa ke sebuah restoran yang popular dengan nasi briayani dan ayam panggang,  Restoren Visitors, untuk menjamu selera. Memang betul kami makan dengan sedapnya, alhamdulillah....

No comments:

Post a Comment