Wednesday, March 26, 2014

KE ABU DHABI


15 Januari - Rabu
Zoo Al Ain, Jebel Hafeet, dan Mubazzarah Hot Spring

Anakanda Alfian dan Yati
Pagi-pagi lagi kami telah buat persiapan untuk pergi melawat ke  Zoo Al-Ain. Kawasan ini sebenarnya tempat asal kelahiran Raja UAE Sayed Zaid Al-Nahyan. Jadi sebagai menghargai tempat bersejarah  di tengah padang pasir itu, maka dibuat zoo yang sungguh besar. Zoo ini kelihatan sungguh cantik, lanskapnya dihiasi dengan bunga kertas berwarna-warni yang kelihatan segar dan ceria. Banyak binatang di zoo ini, ada yang biasa dilihat dan terdapat di tempat kita dan ada yang tidak pernah kita nampak di sekitar kita, contohnya orix, yang kelihatan seperti kambing tapi bertanduk dua yang runcing dan tinggi mencucuk ke atas. Mereka  diletakkan di ruangan kandang yang direka khusus yang kelihatannya begitu selesa dan menarik hati pengunjung. Orang tua boleh melihat binatang di tepi pagar kandang, sementara kanak-kanak boleh melihat dengan jelas pergerakan binatang-binatang, melalui cermin yang disediakan setinggi kanak-kanak berdiri.

Seperti biasa, Hayyan dan Hannahlah yang sungguh gembira, tak henti berlari-lari dari satu tempat ke satu tempat yang lain, melihat-lihat binatang di dalam kandang. Hannah kadang didukung, kadang-kadang naik stroller, tapi Hayyan berlari menolak strollernya sendiri sambil melihat-lihat binatang. Kami rasa sungguh lucu bila tok wan kena dukung Hannah yang menangis tidak mahu bergerak dari kandang kerana dia suka tengok sejenis binatang seperti tikus yang lincah bergerak, berlari-lari dan bila berhenti dia berdiri seolah-olah melihat sekeliling. Lama dia di situ, agaknya sungguh berkenan di hatinya, binatang kecil yang lincah itu. Jadi bila wan ajak beredar, dia tak mau bergerak ke mana-mana dan dia menangis bila wan bawa dia untuk melihat binatang lain. Puas dipujuk-pujuk barulah reda sedikit menangisnya. Kemudian dia tertarik pula dengan keletah beruk-beruk yang juga sungguh aktif berebut-rebut makanan di dalam raga bertingkat-tingkat. Dia juga suka sungguh tengok monyet-monyet yang aktif dan menggelikan hati itu bermain-main, melompat-lompat sambil makan-makan. Bila diajak ke tempat lain sekali lagi dia menangis enggan bergerak.

Binatang yang digemari Hannah
Walaupun matahari sudah semakin tinggi dan cuaca sudah terasa sedikit panas, tapi budak-budak masih cergas dan cerdas meneruskan expedisi melihat-lihat pelbagai binatang di situ. Kami yang tua terpaksa merelakan dan melayan saja karenah mereka kerana mereka tidak pernah ada peluang untuk menikmati keindahan alam seperti ke zoo, semasa di rumah.  Kemudian kami singgah di kandang gorila. Dengan spontan Hayyan beri salam kepada  gorila itu. Gorila itu berpaling muka kepada Hayyan seolah-olah memberi  respon kepadanya. Sepasang pasangan Arab yang berada di situ, bertepuk-tepuk tangan gembira, sehingga terlompat-lompat melihat keletah Hayyan yang barangkali disenangi oleh gorila. Rupa-rupanya mereka telah lama cuba menarik perhatian gorila itu, tapi seolah-olah tidak dilayan dan langsung tidak menunjukkan respon walaupun dia berada benar-benar di tepi cermin. Sebaliknya dia terus berpaling kepada Hayyan selepas Hayyan memberi salam. Kami juga turut ketawa gembira dengan telatah Hayyan dan gorila yang besar itu.

Kemudian tok wan, dadi, dan ayah long Alfian bawa Hayyan dan Hanna untuk aktiviti 'beri makan zirafah'. Kononnya Hayyan tidak begitu berani dan mungkin dia berasa geli apabila melihat zirafah mengambil makanan dan menjilat jari tok wan dan dadi, selepas memberi makanan kepadanya. Selepas itu kami semua terasa dahaga dan lapar. Jadi kami makan roti dan sedikit kueh buat alas perut. Alangkah nikmatnya, kami minum jus strawberi dan jus oren untuk menghilangkan dahaga selepas sembahyang jamak zohor asar di zoo itu. Mesjid di zoo itu agak besar dan sungguh selesa, bersih dan berhawa dingin lagi. Sungguh mudah berjalan-jalan di Dubai ini, di mana saja ada mesjid yang selesa dan bersih. Alangkah baiknya jika di Malaysia keadaannya  serupa seperti ini, besar pahalanya kepada yang menguruskannya.

Selesai sembahyang, dan perut pun terasa lega, kami meneruskan misi bergerak untuk melihat dan meninjau-ninjau ke Jebel Haffet. Sepanjang perjalanan ke situ, jelas kelihatan suasana padang pasir yang kering dan tandus. Cuma sesekali kelihatan beberapa kawasan dipenuhi rumput hijau dan dipenuhi pokok-pokok bunga indah. Di kiri kanan jalan nampak bukit-bukit batu yang gondol keperangan. Bila kami mula menuju ke puncak Jebel Hafeet kami dapat lihat pemandangan indah dari atas bukit. Kami sempat berhenti di pertengahan jalan, tempat tinjau pemandangan indah, yang disediakan. Dari situ kami dapat lihat dengan jelas bandar Abu Dhabi. Sebenarnya Jebel Hafeet adalah puncak tertinggi di dalam negeri Abu Dhabi. Setibanya kami di puncak, kami rasa sungguh bersyukur, kami dapat menikmati suatu pemandangan yang sungguh indah ciptaan Allah yang maha esa. Bukan saja indah tapi angin musim sejuk yang bertiup menjadikan suasana terasa dingin, sejuk hingga ke tulang.

Meninjau pemandangan indah dalam perjalanan ke Jebel Hafeet
Seperti biasa anakanda Alfian mengeluarkan peralatan berkelah - kerusi, meja, makanan dan minuman panas. Kami berkelah lagi di puncak bukit pula - makan roti, mee goreng, nasi dengan sedikit lauk pauk dan kopi panas, sungguh mengasyikkan. Kami dapat makan tengah hari itu dan berkelah di puncak bukit, tanpa keletah Hayyan dan Hannah yang nyenyak tidur keletehan, kerana terlalu lincah bergerak di zoo tadi. Demikianlah indahnya perjalanan dari zoo ke gurun dan terus ke bukit, perjalanan kami pada hari ini sungguh amat menyeronokkan, kami amat bersyukur dengan ketentuan Ilahi dan nikmat alam semesta yang indah diciptakan untuk kita nikmati, alhamdulillah........

Selepas budak-budak jaga dari tidur, kami meneruskan perjalanan turun bukit menuju ke Mubazzarah Historical Dam, Di situ ada hot spring, yang airnya masin. Kawasan itu dibina sungai mengalirkan air panas untuk pengunjungnya bersantai-santai berendam dalam air panas yang kononnya boleh buat terapi untuk menghilangkan letih dan pelbagai penyakit. Kawasan sekitar Dam itu lanskapnya cantik dihiasi bunga-bungaan yang indah. Rumput kelihatan kehijauan walaupun di situ sebenarnya kawasan padang pasir yang berlatarkan bukit batu yang gondol. Begitulah manusia jika berwang akan berupaya menukar gurun pasir menjadi kebun bunga, dengan sedikit ilmu yang diberikan oleh Allah maha pencipta. Subhanallah maha suci Allah yang mengizinkan juga mengaturkan segalanya. Syukurlah kami ditakdirkan dalam aturan Allah dapat sampai dan menikmati kebesaranNya. Kami rasa sungguh terharu dan amat bersyukur padaMu.....

Memanaskan kaki dalam kesejukan di waktu senja
Allah telah takdirkan kami duuji sedikit kerana Hannah muntah-muntah sepanjang perjalanan ke Mubazzarah itu. Jadi dia meragam dan kami mandikan dia dengan air panas agar dia kembali segar, tapi nampaknya perutnya yang meragam tidak banyak boleh dibantu, dia masih lemah tidak bermaya. Lain pula dengan Hayyan, mula-mula takut dengan air panas, lepas tu bermain tak mau berhenti pula. Opah dan mama sembahyang Maghrib di tepi sungai air panas, sementara yang lain sembahyang di mesjid Mubazzarah. Oleh kerana budak-budak terlalu letih kami terus balik  ke rumah dan makan malam seadanya di rumah.

Kami amat berterima kasih kepada anakanda Alfian dan Norhayati  yang sanggup bercuti buat hari yang kedua, menjadi 'pemandu pelancong' kami sepanjang kelmarin dan hari ini. Alhamdulillah syukur padaMu ya Allah, Engkau yang mengaturkan segalanya.......

No comments:

Post a Comment