Wednesday, December 28, 2022

5. MAIN SALJI DI ERCIYES

DAY 5 
29 NOVEMBER 2022
TUESDAY

Celebis Cave House

Kami bangun awal pagi ini dalam kedinginan cuaca musim luruh di Cappadocia. Menginap di Celibis Cave House, terasa sungguh kelainannya. Ia sungguh klasik dan unik. Memasuki Cave House dari tangga, kami  turun  ke ruang tamu dan bilik tidur utama dan seterusnya satu lagi bilik tidur kedua. Untuk ke bilik air kami perlu naik tangga ke tingkat mezanin pula. Berbeza dengan bilik tidur, aku kurang selesa dengan hiasan diding di hujung katil bilik tidur. Lukisan Mary dan Jesus sungguh menjengkelkan perasaan aku. Hiasan dinding bilik tidur utama itu membuatkan aku kurang selesa, ia bertentangan dengan aqidah. Akhirnya along ambil kain dan sangkutkan di depan lukisan itu, barulah rasa lebih tenang dan selesa. Rupanya mereka suka sungguh dengan lukisan-lukisan klasik sebab di satu lagi bilik tidur, dilukiskan lukisan khayalan mereka Jesus last supper. Tak berkenan sungguh hiasan yang menjengkelkan itu. Yang lain semuanya sungguh menarik, hiasannya dan settingnya ialah rumah dalam gua sebenar seperti masyarakat purba mereka zaman dahulu kala. Suatu pengalaman yang sungguh berlainan dan unik.

Jam 4.30 pagi kami sudah puas tidur, bangun dan bersiap diri untuk aktiviti lawatan pagi ini.  Selesai siap diri kami keluar ke dataran di depan bilik, untuk menikmati pemandangan sekitar di pagi sedingin itu. Kami memang tak sempat langsung melihat-lihat di halaman dan kawasan sekitar sejak hari pertama masuk kelmarin, kerana padat dengan aktiviti lawatan berkejar untuk mengikuti Jeep Tour petang kelmarin. Lepas tu balik pula, hari dah mula gelap, ditambah pula dengan kepenatan yang amat sangat, kerana sehari perjalanan dan lawatan, kami terus masuk bilik, tanpa melihat sekeliling.

Kami menikmati suasana awal pagi yang cantik dan damai tapi dinginnya terasa amat mencengkam. Kebetulan sarapan disediakan di roof-top. Kami terus memanjat tangga. Ya Allah yang maha mengetahui, yang maha besar, sungguh amat cantiknya suasana matahari hampir terbit di restoran roof-top di Cappadikia itu. Rasa berbaloilah dengan harganya lebih kurang RM 700 per night. Nikmat manakah lagi yang kami dustakan ya Allah? Memang Engkau maha pemurah dan maha penyayang, syukur alhamdulillah, dengan takdir yang diaturkan, hanya kami  saja yang kurang bersyukur. 

Matahari menonjolkan sinarnya yang kekuningan sedikit demi sedikit sehinggalah tinggi segalah. Besar sungguh ciptaanMu sehingga tiada perkataan yang dapat diungkapkan lagi. Sungguh tak terkatakan apa-apa lagi, cuma dapat bertasbih tak henti-henti dengan segala nikmat yang diaturkan untuk kami lima bercucu. Alhamdulillah. Suasana menjadi lebih ceria dengan hiasan di rooftop itu dipenuhi dengan permaidani turkey, dan dilengkapi pula dengan bantal-bantal yang berwarna warni, menyambut kami di kedinginan pagi itu.  Oleh kerana kami nak cepat kami memulakan breakfast dengan roti yang telah terhidang di kaunter. Tak tau pula sajian breakfast pagi itu sungguh istimewa, served breakfast. Bila Toyyib naik dia pun terkejut kami dah start makan. Tergelak besar kami atas kekeliruan itu. Kami ingat dah boleh makan, kami ambillah  roti-roti, dan cheese spread. Toyyib terus menghidangkan  pelbagai makanan lain, ditambah roti  pelbagai bentuk dan rasa, dan ditambahi dengan telur dadar dan telur separuh masak pula.  Disajikan juga pelbagai jenis salad, pelbai jenis buah zaiton dan macam-macam jenis buah-buahan dan pelbagai jenis manisan dan pencuci mulut. Seterusnya diserikan lagi dengan kopi dan teh panas, jadi pagi yang dingin menjadi lebih panas dan ceria. Alhamdulillah syukur akan nikmatnya.

Belum sempat selesai makan, kami dipanggil kerana Mustaffa  dari Alpino Travel, yang kami tempah urusan perjalanan untuk main salji, telah sampai di depan hotel. Kami memulakan perjalanan jam 9.30 pagi dengan ven ke Erciyes untuk main salji. Ali sungguh teruja kerana kami tidak perlu lagi pergi ke Gunung Uludag yang agak jauh untuk main salji. Perjalanan ke Erciyes lebih kurang satu setenah jam saja, dan kami tidak perlu bermalam di sana. Sepanjang jalan  keadaan berkabus saja kerana cuaca sejuk. Ladang-ladang jagung dan rumput kelihatan kering sebab musim sejuk hampir tiba. sesekali ada juga ladang-ladang yang akan dituai kelihatan menghijau dan banyak kambing biri-biri sedang makan dengan asyiknya. Kami juga adapat lihat ladang aprikot yang luas sudah gondol daunnya, semua dah luruh.

Jam 10.30 kami sampai di Kayseri, kami melalui kawasan perindustrian yang membuat perabut barang-barang seramik, untuk kelengkapan bilik mandi. Menurut mustaffa di Turkey satu-satu kawasan industri khusus untuk pengeluaran satu jenis barangan. Mereka menyediakan barangan keperluan sendiri tidak perlu diimport dari luar, ini keistrimewaan mereka, self suffucient. Di sampingt itu mereka eksport barangan keluaran mereka. 

Selepas sejam perjalanan, kami mula nampak salji yang memutih  membaluti  bukit bukau di sepanjang jalan itu. Kaki Gunung  Erciyes ialah kawasan kawah gurung berapi yang telah mati ialah Ali seronok, teruja dan tak sabar lagi untuk merasai dan main salji.  Jam 11.30 pagi kami sampai di Gunung Erciyes,  yang memutih kelihatan sangat gepu bercahaya, depan, belakang, kiri dan kanan semuanya salji meliputi kawasan gunung itu. Rupanya Erciyes meriah hanya pada hari minggu. Hari ini Selasa maka suasana sangat sunyi. Semua kedai tutup, cable car tidak beroperasi dan kaunter tiket pun tiada pengoperasinya. Gunung Erciyes kami sekeluarga yang punya, ya Allah seumur hidup aku tidak pernah merasai suasana salji, apatah lagi  memegang salji. Ya Allah cantik tadbiran Mu, Engkau takdirkan kalau tidak kerana cucuku Ali, tidaklah aku dapat merasai pengalaman baru ini. Itu aturanMu yang sudah tertulis. Dah umur 65 tahun baru boleh pegang salji. Tok wan lagilah dah cecah umur 70 baru dapat, Ali memang  bertuah, 9 tahun dah dapat rasa salji dan main salji.  Ali bergolek-golek, berkali-kali tidur atas salji yang putih bersih itu. 

Sesekali ternampak satu keluarga lain empat orang anak beranak juga bermain salji macam kami. Tapi kami tak hiraukan sangat dan tiba-tiba kami nampak mereka sudah tiada di situ. Mustafa kalut ajak Ali buat snowman. Dia mula gulung lapisan salji menjadi satu bulatan yang besar untuk buat badan. Kemudian dia gulung lagi lapisan lain untuk bulatan yang kecil sedikit, untuk dijadikan  kepala, akhir sekali dia dia suruh Ali cari ranting untuk buat tangan. Along letak mata, hidung dan mulut, dah selesai buat snowman. Bergambarlah kami merayakan kejayaan buat snowman. Ya Allah kami tiada pengalaman ini, di Malaysia cuaca yang Engkau jadikan sangat berbeza. Kami sangat bersyukur dengan kepelbagaian ciptaanMu. Subha nallah maha suci Engkau ya Allah. Alhamdulillah Engkau berikan kami peluang menikmati kebesaran ciptaanMu yang tak terhingga.

Jam 12.30 kami mula perjalanan turun Gunung Erciyes untuk melawat ke tempat lain pula. Perut kami sudah mula berkeroncong, jadi kami singgah di Hacilar untuk beli pizza. Kedai pizza Firin Kayseri sangat unik penyediaannya, semua jenis piza iaitu lahmacun bulat, dan pide bujur bentuknya, dibakar dalam dapur arang yang besar. Kami beli 2 keping pide. Oleh kerana kami sangat lapar memang terasa semuanya sedap-sedap belaka. Lepas lapik perut dengan pizza, kami singgah di masjid  Melvava Camii  (Maulana Jamek) di Hacilar. Masjid agak besar tersergam indah dengan seni khat dan lampu-lampunya yang kelihatan cantik dan gah pula. Selepas itu kami meneruskan perjalanan ke destinasi selanjutnya.

Kami balik ke Grome untuk seight seeing. Jam 1.30 Kami singgah di Deverent Hill. Kami berhenti di atas klif, dan kelihatan ramai bas dan ven juga berhenti untuk menikmati pemandangan di situ yang di panggil juga Imagination Valley. Memang betul jika dilihat di sekeliling kawasan itu semua bentuk batu batan di situ boleh dibayangkan apa yang dilihat mata sendiri. Sesetengah batu, nampak seperti kuda, seperti ibu menyusu anak, seperti orang menari dan pelabagai lagi. Masya Allah, begitulah kebesaran Allah yang menciptan sesuatu dengan kehendakNya.



Kami singgah sebentar di Volcanic stone shop di Avanos. Kedai batu permata itu penuh dengan barang kemas daripada emas dan perak yang dibuat dari batu permata dari batu volcano. Batu permata itu sungguh cantik dan menakjubkan kerana ia dapat berubah warna mengikut cahaya yang menyinarinya. Kami tidak membeli barangan yang mahal itu, sekadar melihat-lihat keindahannya sahaja sudah memadai dan jamu mata pun sudah rasa seronok. Kemudian kami terus ke Love Valley, kawasan tinjau. Kami dapat melihat kawasan Grome dari puncak clif di Uchisar. 


Akhir sekali kami dibawa meninjau-ninjau ke sebuah cave restoren. Didalamnya ada 5 tingkat atau 5 lantai. Lantai pertama dapur restoran dan ruang makan dan minum. Lantai 2 dan 3 untuk ruang tamu makan dan minum juga, tapi lebih kecil. Selepas meninjau-ninjau restoran kami turun ke bawah dan menjamu mata di kedai cenderamata. Dapat juga kami borong dua tiga barang perhiasan buat souvinir untuk anak cucu, harganya pun berpatutan. Such a good buy sangat berpuas hati, alhamdulillah.

Kami bertolak balik meninggalkan cave restoran,  matahari sudah hampir terbenam. Badan pun sudah sangat letih dan perut pun mula berkeroncong. Kami singgah makan di Restoren India. Boleh makan nasi dengan kari ayam, dan lauk goreng, memang dalam cuaca sejuk sangatlah sedap dan enak. Alhamdulillah selepas itu kami meredah malam ke Celibi  Cave House untuk berehat melepaskan lelah. Syukur alhamdulillah diberikan kekuatan dan kesihatan untuk menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan Mu ya Allah. Subha nallah, Maha suci Allah, Engkau maha pengasih dan Engkau maha penyayang, nikmat mana lagikah yang kami dustakan ya Allah. Sesungguh kami saja yang kurang bersyukur, ampuni kami ya Allah.
 


No comments:

Post a Comment