Monday, December 26, 2022

3. MASJID AYA SOFIYA DAN TOPKAPI MUZEUM

DAY 3
27 NOVEMBER 2022
SUNDAY (AWAL PAGI)


Pagi itu seawal jam 4.30 pagi waktu Turkey, aku sudah terjaga dari tidur. Terasa sudah lama betul tidurnya. Malam di musim luruh ini memang sangat lama. Jam 5.30 petang  sudah gelap dan jam 7. 20 pagi baru syuruk naik matahari. Oleh kerana sangat letih dalam  perjalanan dan  banyak juga aktiviti berjalan hari sebelumnya, jadi tidur di malan yang dingin itu amat selesa dan dapat berehat dengan lama dan puas rasanya. Kami bersiap untuk ke Masjid Aya Sofiya. Kami mahu turut solat subuh bersama jemaah lain di negeri Islambul itu. Kebetulan Hotel Cevahir tidak jauh dari masjid. Jam 6.00 pagi, kami sudah keluar hotel jalan ikut kiri, kemudian belok kiri, kami terus sampai di dataran luas terbentang, di hadapan masjid yang tersergam indah. Lebih kurang 10 minit berjalan sudah sampai. Suasana dingin pagi itu sungguh menghangatkan kami dengan perasaan yang berkobar-kobar dan melonjak-lonjak untuk turut berjemaah di masjid yang bersejarah itu.  


Berada di hadapan masjid yang tersergam indah itu, tak dapat digambarkan pelbagai perasaan bercampur baur dirasakan di pagi yang syahdu ini. Walaupun udara sungguh sangat sejuk, kelihatan semua pengunjung  bersemangat  berjalan laju dengan membawa tujuan yang sama iaitu bersolat jemaah di masjid yang penuh bersejarah dan penuh kontriversi itu. Semuanya kelihatan berjalan laju. Ada yang turun dari trem, berlari-lari ke tempat orang berbaris. Dan ramai yang berjalan kaki datang dari kawasan sekitar masjid, nampak berpusu-pusu dari segenap penjuru, berjalan masuk barisan juga masya Allah, kelihatan sungguh meriah dan sungguh bersemangat. Barangkali ramai yang ingin turut serta memeriahkan masjid yang telah lama tidak diimarahkan semasa menjadi gereja dulu. Masjid ini pernah menjadi perselisihan antara dua agama Islam dan Kristian. Tapi Allah maha berkuasa. KetentuanNya juga jelas dan nyata memihak kepada kebenaran, dan keagongan agama Islam. Kini masjid ini mula diimarahkan semula alhamdulillah. Barangkali inilah semangat yang membuatkan semua umat Islam mahu merebut peluang untuk mengimarahkannya semula, sebagai lambang kepada ketinggian syiar Islam yang maha agong   


Tiba di perkarangan masjid kami semua beratur untuk melepasi security yang cukup ketat. Barangkali ini sebagai satu usaha keselamatan untuk mengelakkan kejadian bom meletup yang baru saja terjadi beberapa hari lepas. Semasa azan subuh berkumandang kami masih lagi dalam barisan, namun belum sempat habis azan kami sudah berada dalam masjid sedia dalam saf untuk solat sunat subuh. Alhamdulillah. Selepas solat sunat Tok Siak membacakan surah Al Fath, alunan suaranya yang merdu menambahkan syahdu di subuh itu. Tak tertahan air mata kesyukuran mengalir deras membasahi pipi. Ya Allah sesungguhnya Engkau maha besar dan maha halus tadbiranMu menentukan segalanya, subhanallah. Solat subuh berjalan seperti biasa, dengan bacaan Imamnya yang merdu, semoga Allah menerima solat dan semua ibadat kami pagi itu, ditempat yang bersejarah ini. 

Selepas solat imam membacakan al makthurat selepas wiridnya, sehinggalah matahari terbit. Tamat alunan almakthurat itu ruang masjid di bahagia solat lelaki dibuka untuk lawatan semua jemaah. Kami ambil peluang melihat-lihat keindahan seni bina zaman Othmaniah itu. Ambil peluang bergambar sikit sebanyak kemudian jam 8.30 pagi kami diarahkan keluar sebab mereka akan membuat persediaan untuk para pelawat yang masuk melawat selepas itu.


Di luar dataran masjid kami lihat ramai orang beratur. Kami join sekaki, rupanya ada orang mengedarkan roti dan sup panas percuma. Memang amat sesuailah makan roti dan sup panas di pagi yang sungguh dingin itu. Sup cendawan panas itu memang sedap. Kami hirup sampai habis, badan pun terasa sedikit panas lepas itu.

Sebelum balik ke hotel kami melawat kawasan dataran di hadapan masjid. Di sebelah matahari jatuh bertentangan dengan masjid Aya Sofiya tersergam indah masjid yang dikenali sebagai Masjid Biru. Ia terkenal dengan seni bina unggul berkubah enam yang kelihatan sungguh cantik dan hebat melambangkan kekuatan dan kehebatan Islam pada zaman pembinaannya. Ia menjadi salah satu lambang kemegahan zaman kegemilangan Kerajaan Othmaniah. Selesai merakamkan gambar kenangan, kami lihat gerai-gerai di sekitar dataran masih belum dibuka kerana masih awal pagi. Jadi kami pun terus bergerak pulang ke hotel untuk sarapan dan bersiap-siap untuk melawat Muzeum Topkapi selepas itu.


No comments:

Post a Comment