Monday, December 26, 2022

3.1. TOPKAPI PALACE (MULAI TENGAH HARI)

DAY 3 
27 NOVEMBER 2022 
SUNDAY (MULAI TENGAH HARI)




Selepas sarapan dan berehat, jam 10.00 pagi kami mula menapak melalui kedai-kedai yang sudah mula dibuka. Suasana pagi itu walaupun dah agak lewat tapi sejuknya sampai ke tulang. Kami cuba merakamkan gambar-gambar kenangan di sepanjang jalan bandar lama (Istanbul old town) di situ. Tapi tidak tahan dengan cuaca sejuk, terpaksalah dipakai sarung tangan kembali untuk menahan daripada kesejukan. Sepanjang jalan  memang banyak kedai jual souvinir, ada kedai baju, kedai karpet, kedai makan dengan ramai penginjungnya, ada juga hotel-hotel dan macam-macam lagi kedai yang kami kurang beri perhatian kerana tujuan kami untuk ke Istana Topkapi. Dalam lebih kurang 10 minit kami sudah tiba di dataran Sultan Ahmet (Hipodrome), berhadapan masjid Aya Sofiya. Dan dari dataran yang luas itu, kami sudah dapat melihat di sebelah kirinya, barisan pengunjung iaitu pelancong dari dalam dan luar Turkey, sedang dengan sabarnya menunggu giliran untuk masuk ke tempat bersejarah itu.




Kami pun turut beratur bersama pelancong lain, di hadapan pintu masuk ke istana. Melihat pintu masuk pun sudah dapat dibayangkan kehebatan  kawasan istana yang akan kami kunjungi. Pintu  Gerbang Diraja atau yang dikenali sebagai 'Gate of Royal Reception'  seperti menyambut kami dan pelancong-pelancong lain memasukinya. Kawasan istana itu mejadi bukti keagongan dan kehebatan pusat pemerintahan Zaman Empire Othmaniah. Istana yang menyaksikan ia menjadi pusat pemerintahan sultan-sultan pemerintahnya, dan juga merupakan pusat pendidikan, berfungsi lebih 400 tahun. Memang suatu yang menakjubkan, tapi dengan kelalaian manusia, Allah takdirkan kuasa besar Islam tumbang, alangkah malangnya. Begitulah tinggalan sejarah yang telah dirakamkan oleh tinggalan istana hebat itu, yang akan kami telusuri nanti. Matahari semakin tinggi tapi cuaca masih tetap sejuk. Semua pengunjung pun berpakaian tebal menahan diri dari kesejukan cuaca musim luruh. Selepas sekian lama menunggu kami tiba di pintu gerbang, memasuki lorong untuk diimbas badan dan semua barangan yang dibawa, termasuklah jaket sejuk yang dipakai.

Kemudian kami terus beratur untuk membeli tiket. Walaupun ramai tapi cepat prosesnya kerana semuanya menggunakan mesin. Selain tiket untuk masuk ke muzeum, kami disediakan satu set audio yang menceritakan dokumentari semua tempat yang terdapat dalam kawasan istana itu. 

Oleh kerana kawasan istana terlalu luas kami memilih untuk melawat Muzeum Topkapi terlebih dahulu. Muzeum ini ada dua ruang pameran, Banyak barangan dipamerkan, tapi kami lebih berminat untuk melihat tinggalan pedang 4 khalifah Islam yang agong, pedang Sayyidina Abu Bakar, pedang Saiyyidina Umar, pedang Saiyyidina Uthman dan pedang Saiyyidina Ali. Pelancong lain pun serupa jadi berpusu-pusulah pengunjung-pengunjung menunggu giliran untuk dapat turut menghayati  kebesaran tinggalan sahabat-sahabat tercinta baginda Rasulullah.  


Seterusnya ketika beratur sambil berselawat, kami turut beratur menunggu giliran untuk melihat barang-barang kepunyaan Nabi Mohamad yang kita cintai dan rindui. Dapat melihat barangan baginda pun sudah dapat dirasakan keagongan insan pilihan kekasih Allah yang tidak pernah kita lihat, tapi kita sangat mengingati Baginda pada setiap masa dan ketika Alangkah terharunya dapat menyaksikan bahan-bahan sejarah tinggalan manusia agong pujaan setiap umat yang beriman. Seperti kami semua, Ali pun turut berselawat  dengan harapan akan mendapat syafaat Nabi junjungan besar itu di alam yang kekal abadi nantinya. Ya Allah berkatilah insan pilihanMu semoga nanti Baginda dapat memberi syafaat bila masanya tiada siapa-siapa yang dapat membantu kami, selain mengharap rahim dan rahmatMu ya Allah, ya Rahman ya Rahim.



Selesai hajat kami melihat barangan Rasul junjungan dan sahabat-sahabat, barulah kami ke destinassi seterusnya. Kami teruja untuk melihat kawasan istana sultan-sultan  yang memerintah dalam zaman keagongan Empayar Othmaniah dalam jangka masa beratus tahun. Keseluruhan kawasan istana merupakan kawasan larangan dikenali sebagai 'The Harem'. Di situ ia lengkap  terdapat kamar-kamar kediaman Sultan, kediaman Ibu baginda, bilik-bilik Permaisuri dan putera masing-masing, asrama wanita-wanita milik sultan, asrama pembantu lelaki (Eunuchs), dan pembantu perempuan (dayang-dayang) yang melaksanakan pelbagai tugas menguruskan Sultan, dan kaum keluargnya serta hamba sahaya yang dimilikinya. Kawasan ini dilengkapi balai mengadap, bilik-bilik istirehat, masjid, mahkamah, dan bilik hukuman, perpustakaan dan bilik pembelajaran untuk pendidikan hamba sahaya. Hamba-hamba istana belajar pendidikan formal, yang bijak dan pandai nanti akan berkhidmat kepada sultan, dan membantu dalam pentadbiran. Untuk menyerikan kehidupan, setiap kamar dan bilik dilengkapi taman-taman indah untuk memberikan keseronokan dalam kehidupan masyarakat dalam istana. Masya Allah, Allah hu akbar, Engkaulah yang maha mengetahui akan perjalanan hidup hamba-hambaMu.


Melihat segala ukiran dan hiasan dinding yang indah dalam kawasan istana The Harem itu, memang sangat mengkagumkan. Allah telah mentakdirkan diberikan kebesaran dan kekuasaan yang melimpah ruah kepada sultan-sultan Empayar Uthmaniah itu, sehingga mereka lupa daratan dan dikalahkan dengan teruk sekali. Teringat adegan-adegan Sultan Sulaiman dengan permaisuri dan gundik-gundiknya yang berlumba-lumba memenangi hati Raja agar mendapat tempat istimewa, jika seseorang itu berjaya menambat hati Raja dan hati ibu baginda. Sungguh insaf di hati kerana memang ternyata Allah memberikan manusia kuasa dan Allah juga yang menarik kembali kuasa jika Dia kehendaki. 

Dah selesai meninjau-ninjau The Harem, kami ke kawasan taman bunga utama di kawasan belakang kompleks Istana Topkapi itu. Ya Allah berada di atas dataran taman bunga itu, masya Allah cantiknya pemandangan yang Allah ciptakan untuk kawasan terpilih itu. Kedudukannya yang  menghadap ke muara Sungai Tunca itu, sungguh indah dengan dihiasi di kejauhan, kelihatan kapal-kapal belayar. Ya Allah, Allah maha besar. Syukur padaMu ya Allah engkau takdirkan juga aku sampai di bumi Mu yang cantik dan indah ciptaan Mu setelah sekian lama tertangguh. Ya Allah teguhkan hati kami supaya kami terus bertaqwa kepadaMu. Sesungguh amat ngeri melihat balasan kepada orang-orang yang lupakan Engkau ya Allah. Hindari kami supaya kami  tidak lalai dan kami tetap menjadi hamba yang mensyukuri nikmatMu sehingga ke akhirnya insyaAllah aamiin.

Matahari sudah condong ke barat, kaki kami pun sudah mula berat melangkah dek lamanya menapak di kawasan Istana Topkapi. Kami melangkah longlai meninggalkan kawasan yang sungguh hebat suatu masa dahulu, walaupun orang ramai masih berpusu-pusu memasuki muzeun terbuka itu. Selamat tinggal Topkapi, entah bila kami boleh ke sini lagi. Sampai di luar istana, matahari sudah terbenam. Lampu-lampu dijalan sudah terang benderang dan berwarna warni. Kami sudah mula rasa lapar jadi kami terus mencari kedai makan. Kami makan malam. Menu hari ini steak kambing dan roti serta sup panas. Sedap juga dan lega rasanya bila perut dah penuh. Kami berjalan pulang ke hoterl untuk berehat demi mengumpul tenaga bagi perjalanan esoknya pula insyaAllah.


 


No comments:

Post a Comment