Sunday, December 25, 2022

1. KUALA LUMPUR ABU DHABI


DAY 1 
25 NOVEMBER 2022, 
JUMAAT


Jam 1.30 tengah hari kami bergerak ke KLIA. Oleh kerana kami berlima dan bagasi kami semuanya ada 5 beg besar, dan 5 hand luggage, maka kami ambil grab 2 buah kereta. Tiba di KLIA kami terus menuju ke Kaunter J untuk drop bagasi, kerana kami sudahpun check-in. Lama juga kami beratur di kaunter, ramai penumpang yang akan bersama kami untuk terbang dengan ETEHAD ke Abu Dhabi. Ramai yang transit seperti kami sebelum menuju ke destinasi sebenar ke bumi Turkey.

Selesai urusan bagasi, kami terus menuju Kaunter Imigresen, di situ urusan lebih pantas kerana, kami melalui laluan fast-track, tidak perlu beratur panjang. Alhamdulillah jam 5.00 petang kami sudah berada di Terminal 1, untuk international departure. Ramai sungguh penumpang di Terminal 1 itu, masing-masing dengan destinasi masing-masing. Sementara menunggu masa berlepas kami ke Noodle Stration, menjamu selera minum petang untuk lapik perut. Sedap juga menu mee kari yang kami pilih, alhamdulillah syukur ya Allah Engkau berikan rezeki dan selera kepada hambaMu yang dhaif ini.

Selesai makan kami diterjah oleh Ajid yang kebetulan bertugas di situ. Seronok juga sembang-sembang mengisi masa terluang sebelum terbang. Jam 6.00 petang penumpang  EY 411  untuk penerbangan ke Abu Dhabi diminta masuk ke Gate C 42. Ajid mengiring kami masuk ke depature hall, melalui petugas-petugas dan semua urusan sungguh lancar dan selesa, sehingga kami semua masuk ke pesawat, alhamdulillah syukur akan nikmatMu ya Allah.

Berada di atas pesawat, kami tunggu agak lama, pesawat delay. Dimaklumkan ada paper procedure yang perlu diselesaikan. Jam 7.20 malam, pesawat mula bergerak dengan bergayanya, alhamdulillah. Malam ini kami makan malam di pesawat, nasi arab dengan rendang daging, roti dan salad, dan pencuci mulut puding karamel. Semuanya ya Allah sedap-sedap belaka, masya Allah, tabarokallah. Patutlah Allah berkali-kali menyoal nikmat apa lagikah  yang kamu dustakan? Memang manusia selalu tidak bersyukur akan nikmat kurniaan Allah, ampuni kam ya Allah.


Selepas 4 jam terbang kami dihidangkan lagi makanan, murtabak dan minuman ringan. Perjalanan penerbangan hari ini  sangat lancar, tiada sebarang turbulanace, tiada sebarang goncangan. Alhamdulillah Allah berikan cuaca baik untuk perjalanan kami sepanjang 6 jam di pesawat. Sekejap tidur, sekejap jaga sehinggalah pesawat touched down di landasan sungguh lembut dan lancar, tidak terasa sedikit pun gegaran, sungguh professional dan mahir abang pilot yang mengendalikan pesawat, maha suci Allah yang memberikan ilmu kepadanya untuk berkhidmat kepada kami.

Kami mendarat di lapangan terbang Abu Dhabi tepat jam 10.25 malam waktu tempatan. Oleh kerana penerbangan ke Istanbul jam 9.30 pagi besok kami transit sebentar untuk menghilangkan lelah. Kami terkial-kial mencari imigresen, kerana laluan yang berliku-liku. 

Selepas urusan imigresen  kami check-in di Primier Inn berhampiran Terminal 3. Di bilik 329 kami 5 beranak berlabuh. Selepas bersih badan dan sembahyang jamak takkhir hampir jam 1 pagi baru kami dapat melelapkan mata. Alhamdulillah. Semoga perjalanan kami esok akan dipermudahkan dan diberi keberkatan dalam mensyukuri nikmatMu ya Allah. Aamiin.


No comments:

Post a Comment