Sunday, December 25, 2022

2. ABU DHABI ISTANBUL

DAY 2 
26 NOVEMBER 2022
SABTU

Jam 4.30 pagi aku sudah terjaga dari tidur, terasa segar bertenaga semula alhamdulillah. Seperti biasa setiap hari aku masak air dan sediakan kopi. Kami makan biskut dan kopi panas buat sarapan untuk mengalas perut. Kopi panas memang memanaskan suasana pagi yang dingin, sebelum solat subuh jam 5.25 pagi waktu tempatan. Kami dapat mendengar suara azan berkumandang sayup dari kejauhan. Inilah nikmatnya melancong di bumi negara Islam. Sungguh syahdu mendengar suara azan bila di perantauan. Selesai solat kami bersiap-siap apa yang perlu sambil menunggu anak cucu bersiap sedia. 

Along, Hajar dan Ali pun turut bersiap awal. Sedang kami berehat-rehat menunggu mereka menyiap diri, tiba-tiba along terkejut.
'Eh ni bukan seluar abang ni. Tak muat tak celuih ni.'
'Papa pakai seluar abang apa? Betui dah ni ada sikat dalam poket. Seluar abang tak dak sikat.'
'Eh ya ka? Papa pintas bangun, belek-belek seluar yang dia dah pakai.'
'Ya kaaa? Ya Allah, papa silap pakai seluar abang la pulak.'
'Patut abang pelik tadi dalam poket ada sikat. Abang tak carry sikat dalam poket.'

Kami semua tergelak kuat memecah keheningan pagi yang dingin itu. Ya Allah papa boleh tak perasan dia pakai seluar along. Memang tak perasan dan memang boleh silap pun. Seluar warna sama, tali pinggang ada. Longgar sikit ketatkan saja. Tapi along memang akan perasan dan tersedar, sebab dia lebih besar dari papa. Pakai sampai ke lutut saja dia dah tak boleh sarung lagi, sebab saiz seluar papa lebih kecil dari dia. Masya Allah ini cerita dua beranak di awal pagi.


Dalam kecoh-kecoh dengan kisah lucu itu, jam 6.30 pagi kami check-out dari Primier Inn. Kemudian kami mencari kaunter untuk checkin dan pelepasan imigresen. Di pagi yang sejuk dingin itu semua lancar. Terasa lapang dada dan bersyukur yang tidak terhingga kerana segala urusan cepat dan lancar. Alhamdulillah.

Jam 7.30 pagi selesai segala urusan, kami berjalan relek-relek ke terminal 3 Gate 43. Kami menelusuri kedai-kedai yang sudah pun buka sejak awal pagi. kedai souvinir, kedai chokelat, kedai minyak wangi dan lain-lain lagi, sungguh meriah dengan ramai pembeli yang pelbagai ragam. Kami tertarik dengan tawaran harga chokelat beli dua hadiah percuma satu. Along mula mencongak-congak harganya berbanding harga dalam ringgit Malaysia (RM). Rupanya tawaran itu tidaklah semurah harga chokelat yang boleh dibeli di Langkawi, tidak semurah yang disangkakan apabila dikira tukarannya dalam RM, malah harganya 2 kali ganda lebih mahal daripada harga di Malaysia. Masya Allah. Kami tak jadi beli, maka Alipun makan chokelat yang kami bawa bekal dari Malaysia, buat lapik perut.

Flight  kami penerbangan ETEHAD ke Istanbul terbang tepat jam 8.30 pagi. Kami dijangka tiba jam  selepas 4 jam dalam penerbangan. Kami disajikan makanan tengah hari ayam dada dan kentang putar, roti dan puding. Alhamdulillah, ada selera dan masih boleh menikmati makanan kurniaanMu ya Allah. Setiba di Istanbul urusan pasport dan imigresen makan masa agak lama, dan berjalan agak jauh. Urusan menunut bagasi juga jauh terpaksa kami berjalan. Namun kami bersyukur kerana ven untuk airport transfer ke hotel telah sedia menunggu kami. 


Berada dalam ven yang luas dan selesa serta cantik pula kami terasa amat lega. Perjalanan kami ke pusat bandar Istanbul menelusuri lebuh raya yang luas dan jauh juga, tidak terasa. Di kiri kanan jalan kelihatan bukit bukau pokoknya sudah tidak berdaun lagi. Akhir musim luruh ini kelihatan rumput kekeringan, pokok kegondolan tiada daun dan batu batan di bukit nampak kering kontang. 


Pemandu ven menceritakan dan memberitahu tentang tempat-tempat yang kami lalui. Bermula jambatan, pekan-pekan dan kedai-kedai serta jalan-jalan. Dari suasana pejalan kaki yang dilihat dapat kami rasakan cuaca agak sejuk, lebih kurang 12 degree. Kami sampai dengan selamatnya di Cevahir  Sultan Ahmad Hotel. Hotel di tengah bandar Istanbul itu dekat dengan pusat-pusat membeli belah, bazaar dan kawasan pelancongan.


Sembahyang kemudian keluar melihat-lihat di dataran, orang ramai kelihatan ada pembesar datang ke situ. Ramai orang sembahyang di masjid Aya Sofiya dan Mesjid biru. Tapi kami terus mencari kedai makan. Kedai steak kambing dan nasi TL 730. Kami melawat grand bazaar tapi oleh kerana keletihan kami tak membeli belah terus balik ke hotel untuk berehat


No comments:

Post a Comment