Monday, October 12, 2020

NALURI SEJARAH YANG KUAT DALAM JIWA YB DATO' HAJI MOHD RAWI ABD HAMID

DITERBITKAN DALAM BULETIN LINDUNGAN BULAN BIL 30/2018

KELUARAN KHAS SEMPENA MESYUARAT AGONG KE-62

PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA CAWANGAN KEDAH DARUL AMAN 

 

 OLEH  HAJAH RAHINUN MOHD NOOR, BCK

 

Siapa yang tidak kenal Dato’ Rawi di negeri Kedah ini? Melihat dari susuk orangnya, beliau sangat peramah dan mesra. Sesekali berjumpa atau terjumpa dengannya, dia dapat ingat kita. Mendengar ucapannya, dapat dirasakan beliau matang dalam berbicara dan dan berupaya mengemukakan pendapat dan pandangan yang bernas pula. Amat sesuailah keistimewaannya itu dengan tugas-tugas rasmi  yang pernah disandangnya. Beliau pernah menjadi peguam di Langkawi sejak tahun 1994 hingga tahun 2006, dan juga pernah menjadi Pegawai Khas Kepada Mantan Menteri Besar Kedah YB Dato’ Seri  Mahawangsa Mahathir Khalid. Dengan Meneliti perjalanan kerjayanya, kita dengan senang hati dapat merasakan beliau sangat menguasai perkara-perkara penting berkaitan  dengan bidang tugas yang diberikan kepadanya. Begitulah sepintas lalu tentang Dato Rawi, ADUN Air Hangat, sejak tahun 2008, dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO), merangkap Pengerusi JawatanKuasa Tetap Pelancongan, Agama, Warisan, Kerja Raya, Dan Hal Ehwal Masyarakat Siam sejak tahun 2013.

 

Dato’ Rawi dilahirkan di Langkawi pada 12 April 1967, 51 tahun lalu, di Kampung Tua, Jalan Tanjung Rhu, Air Hangat. Beliau bertemu jodoh dengan Datin Azizah Nor binti Othman, dan telah dikurniakan enam orang cahaya mata yang menambahserikan lagi kehidupan berumah tangganya.  Sesuai dengan latar belakang pendidikannya pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Antarabangsa, dapat dilihat  melalui ucapan-ucapannya, Dato’ Rawi telah menunjukkan minat yang amat mendalam tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan sejarah terutamanya sejarah negeri Kedah. Dalam beberapa majlis rasmi terutamanya dalam majlis-majlis anjuran Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Beliau tidak pernah berhenti menyebut, tentang kunjugan beliau bertandang ke Tetarak Hamka di rumah Dato’ Wan Syamsuddin Yusof untuk sembang-sembang dan mencari serta menambah maklumat sejarah. Walaupun beliau kelihatan banyak ilmu tentang sejarah tapi, beliau sentiasa dengan rendah hatinya menyatakan beliau selalu ingin terus belajar dengan Pak Wan. Sedangkan beliau juga telah melanjutkan pelajaran dan mendapat Sijil Postgraduate dari Universiti Warwick, England.  Sifatnya itu ibarat padi semakin berisi semakin pula tunduknya.

 

Di samping itu cintanya pada sejarah Kedah amat tebal. Sering disebut-sebut Kedah kekurangan buku sejarah. Beliau pernah menyarankan agar  PSMCK dapat menerbitkan setiap tahun  beberapa buah buku berkaitan sejarah agar generasi muda dapat memahami dan mencintai sejarah bangsa sendiri. Kecintaanya kepada buku memang sesuai dengan kerjaya awalnya sebagai Pensyarah Undang-Undang di UIA pada tahun 1991 hingga 1992 dahulu. Beliau pernah menyarankan agar diterjemahkan buku The Blockage of Kedah karangan Osborne, kerana  buku itu banyak menyimpan maklumat sejarah yang tertulis dengan jelas dan rapinya.  Beliau sangat teruja dengan rancangan terjemahan itu, kerana dirasakan amat malang,  buku dalam Bahasa Inggeris  itu dibaca hanya di kalangan sarjana-sarjana di universiti-universiti sahaja. Sebab itulah Dato’ Rawi yang  sangat terkesan dengan aspek sejarah yang terkandung dalam buku itu, telah menyarankan agar diterjemahkan semula buku itu, supaya dapat dibaca oleh masyarakat umum tentang pensejarahan negeri Kedah ini. Di samping itu beliau juga berminat terhadap penulisan, dan sekarang sedang berusaha menulis sebuah buku tentang Tokoh-Tokoh Sejarah Langkawi.

 

Bukan itu saja, Dato’ Rawi sangat perihatin dengan perjalanan PSMCK. Oleh sebab itu telah banyak peruntukan yang disumbangkan kepada PSMCK untuk pengembangan ilmu sejarah, dan aspek penyelidikan sejarah juga. Antara aktiviti yang diberi peruntukan ialah Kaji Selidik di Setul dan Kaji selidik di Bangkok. Bukan itu saja beliau juga telah banyak memberikan sumbangan wang untuk usaha-usaha penerbitan buku, Jurnal, dan buletin persatuan. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang kajian-kajian, beliau sanggup meluangkan masa bersama AJK persatuan untuk mendengar taklimat tentang dapatan-dapatan kajian yang telah dilaksanakan. Sifat murah hati itu barangkali amat berkait rapat dengan pendidikan awalnya dari kecil hingga dewasa. Bermula dengan pendidikan menengah rendah di Sekolah Agama Raudhatul Ulum Langgar, kemudian  Maktab Mahmud Alor Setar dan seterusnya Kolej Islam Kelang, sebelum memasuki Universiti Islam Antarabangsa.

 

Seterusnya akhir-akhir ini Biro Kaji Selidik PSMCK telah banyak menjejaki makam-makam pembesar dan Sultan pula. Jadi sesuai dengan potfolio Dato’ Rawi  berkaitan Agama dan Warisan, beliau telah menunjukkan minat yang  mendalam dengan memberikan peruntukan kepada pasukan penyelidik PSMCK, untuk aktiviti kajiselidik makam-makam yang telah dijumpai. Peruntukan juga bertujuan untuk pemuliharaan makam-makam tersebut sebagai salah satu unsur warisan yang perlu dipelihara dan diketengahkan. Barangkali perhatian khusus dan peruntukan telah diberikan dengan kesedaran bahawa makam-makam tersebut penting sebagai lambang syiar Islam, dan menjadi bukti kepada kegemilangan Islam dan kedaulatan kesultanan raja-raja Kedah yang sangat panjang sejarahnya. Barangkali dengan sebab itulah  Dato’ Rawi telah menunjukkkan minat yang sungguh-sungguh dalam perkara tersebut. Bukan itu saja, sebagai penghargaan dan minat yang kuat kepada Persatuan Sejarah, Dato’ Rawi telah sudi hadir merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan PSMCK pada tahun 2017 yang lalu. Kesudian hadir ini telah menyuntikkan semangat kepada semua ahli PSMCK terutamanya Ahli Jawatankuasa, untuk terus berkhidmat melestarikan sejarah demi pembentukan jati diri bangsa dan Negara.

 

PSMCK amat terharu dengan keperihatinan dan perhatian serius yang telah diberikan oleh Dato’ Rawi. Kami mendoakan semoga beliau akan terus diberikan kekuatan dan kesejahteraan untuk terus dapat bersama-sama memperjuangkan sejarah bangsa dan memartabatkan sejarah di mata masyarakat sebagai pemangkin kepada kemajuan bangsa dan negara insya Allah.

 

No comments:

Post a Comment