Monday, October 12, 2020

ISTIADAT PEMASYHURAN RAJA MUDA KEDAH Ke-20, DATO' SERI UTAMA TUNKU SARAFUDIN BADLISHAH IBNI SULTAN SALLAHUDDIN

DITERBITKAN DALAM LINDUNGAN BULAN BIL 30/2018

KELUARAN KHAS SEMPENA MESYUARAT AGONG KE-62

PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA CAWANGAN KEDAH DARUL AMAN (PSMCK)

 

DISUSUN OLEH HAJAH RAHINUN MOHD NOOR, BCK 

 

 

Tanggal 26 November 2017, Negeri Kedah jelapang padi telah menyaksikan peristiwa bersejarah, dengan pelantikan Tuanku Sultan Sallehuddin menaiki tahta pemerintahan sebagai Sultan Kedah ke-29.  Sehubungan itu, Putera sulung Sultan Kedah, Tunku Sarafudin Badlishah, yang sebelum ini memegang jawatan Tunku Laksamana Kedah, telah dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah yang ke-20. Istiadat pemasyhuran yang penuh adat istiadat diraja itu disempurnakan oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, Alor Setar. Istiadat pemasyhuran pelantikan itu selaras dengan Perkara 28, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman,  Tengku Sarafudin menggantikan ayahandanya, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang menaiki takhta sebagai Sultan Kedah selepas kemangkatan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada bulan September. Sehubungan itu, Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat Sempena Pemasyhuran Pelantikan Raja Muda Kedah, telah diadakan di Masjid Zahir pada waktu tengah hari 24 November 2017.



Pada hari bersejarah itu, Watikah pemasyhuran telah dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Bakar Din. Kemudian  berlansung pula istiadat  Lafaz Sumpah dan menandatangani Watikah Sumpah Raja Muda Kedah, disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hashim Hamzah dan Ketua Hakim Syarie Kedah, Datuk Syeikh Abd Rahman Abdullah
. Kemudian disusuli pula istiadat pengurniaan Keris Kebesaran kepada Tuanku Raja Muda Tunku Sarafudin. Berikutnya nobat dipalu, dan sembilan das tembakan meriam gah menyempurnakan majlis yang gilang gemiang itu. Selepas itu Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadhil Awang membacakan doa bagi memohon keberkatan majlis.

Turut berangkat pada majis berkenaan ialah Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah. Turut hadir juga, ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. Semoga dengan perlantikan itu dapat menjadikan negeri Kedah semakin maju dan terus gemilang serata-rata insyaAllah. 


Sepintas lalu mengenali DYMM Raja Muda Kedah ke-20

Baginda diputerakan pada tanggal 2 Mac 1967, di Alor Setar kini berusia 51 tahun. Merupakan  putera sulung dan  mempunyai seorang adinda lelaki, Tunku Shazuddin Badlishah, yang diputerakan pada tahun 1970.

Latar belakang pendidikan

  • Maktab Tentera Diraja 1980-1985
  • Ijazah Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Brunel, Uxbrige, Middlesex, United Kingdom.
  • Barrister at Law (Inner Temple), United Kingdom

Sepintas lalu tentang Kerjaya

Baginda pernah menjadi peguam bela dan peguam cara di Mahkamah Tinggi Malaysia pada 1994. Baginda turut pernah menjawat pelbagai jawatan di beberapa agensi dan syarikat antaranya Pengarah Perundangan dan Sekretariat di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia  (MCMC) pada tahun 1999. Baginda kini adalah pengarah dan juga Anggota Lembaga Pentadbir di Asiamet (M) Sdn Bhd, Pengerusi Thong Fuan Industries Berhad, selain menjadi rakan kongsi di Kamil Hashim Raj & Lim Advocates and Solicitors.

Perkahwinan

Tunku Sarafuddin telah bertemu jodoh dengan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah Che Puan Zaheeda Binti Mohamad Ariff dan baginda berdua melangsungkan perkahwinan pada 27 Fenbuari 2003 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu seorang puteri Tunku Zara Bahiyah yang diputerakan pada 2004 dan seorang putera Tunku Sulaiman Badlishah yang diputerakan pada 2007.

Gelaran

  • 2 Mac 1967 - 15 Januari 2017 : Yang Teramat Mulia Tunku Sarafuddin Badlishah Ibni Tunku Mahmud Sallehuddin.
  • 15 Januari 2017 – 26 November 2017 : Yang Teramat Mulia Tunku Laksamana Kedah Darul Aman Datuk Tengku Sarafuddin Badlishah Ibni Tunku Mahmud Sallehuddin.
  • 26 November 2017 – kini : Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman Tunku Sarafuddin Badlishah Ibni Sultan Mahmud Sallehuddin

Penganugerahan Kurniaan Darjah

  • Dato' Setia Diraja Kedah Darjah Yang Mulia Setia Diraja (DSDK 21.1.2007) dengan gelaran Dato'.
  • Pingat Peringatan Jubli Emas (15.7.2008).
  • Darjah Utama Seri Mahawangsa Yang Amat Dihormati (DMK 26.11.2017) dengan gelaran Dato' Seri Utama

Sumber Rujukan; Berita Harian 26 Nov 2017, Utusan Malaysia 26 Nov 2017, Sinar Harian 26 Nov 2017, Wikipedia Ensaiklopedia Bebas Fb

 

No comments:

Post a Comment