Monday, October 12, 2020

ISTIADAT PEMASYHURAN RAJA MUDA KEDAH

DITERBITKAN DALAM BULETIN LINDUNGAN BULAN BIL 29/2017  

KELUARAN KHAS SEMPENA MESYUARAT AGONG KE-61

PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA CAWANGAN KEDAH DARUL AMAN (PSMCK)

 

 

DISUSUN OLEH HAJAH RAHINUN MOHD NOOR, BCK


 Negeri Kedah Darul Aman telah mencatat sejarah tanah air apabila DYMM Tuanku Sultan telah berkenan dilantik buat kali kedua sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Malaysia. Seluruh rakyat jelata merafak sembah ucapan terima kasih dan menjunjung kasih di atas perkenan Tuanku berdua menjadi Payung Mahkota bagi rakyat Malaysia, bermula 13 Disember 2011 sehingga 12 Disember 2016. Sempena keberangkatan pulang, setelah 5 tahun bersemayam sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke negeri Kedah yang aman permai ini, Baginda Sultan telah berkenan menyempurnakan Majlis Pemasyhuran Pelantikan, Duli yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah. Demikianlah pada hari bersejarah itu, Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah dalam majlis penuh istiadat di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit. Istiadat Pemasyhuran Pelantikan dan Menjunjung Duli Raja Muda Kedah, diadakan pada 15 Disember 2016.
  

 

Pada majlis bersejarah itu Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah dalam majlis penuh istiadat di Balai Penghadapan. Persatua Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) merafak sembah tahniah kepada Duli Yang Teramat Mulia Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Duli Yang Teramat Mulia Tengku Maliha Binti Tengku Ariff yang dilantik sebagai Raja Muda Kedah dan Raja Puan Muda Kedah Darul Aman. Sebelum ini, Tunku Sallehuddin bergelar Yang Teramat Mulia Tengku Temenggong Kedah Darul Aman. Baginda telah dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, setelah kemangkatan kekanda baginda, Almarhum Tunku Bendahara Tunku Annuar Almarhum Sultan Badlishah pada 21 Mei 2014.  Kemudiannya baginda dilantik mengisi kekosongan jawatan Raja Muda setelah setahun kemangkatan Almarhum Tunku Abdul Malik Almarhum Sultan Badlishah.



Istiadat Pengisytiharan pemasyhuran dilakukan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, di hadapan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Haminah Hamidun. Selepas membacakan watikah Pemasyhuran Pelantikan Raja Muda Kedah, Tunku Sallehuddin melafaz sumpah dan menandatangani watikah sumpah Raja Muda Kedah. Istiadat pemasyhuran itu turut dihadiri Tunku Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan beberapa kerabat Diraja lain. Tunku Sallehuddin, 74, yang juga adinda Sultan Kedah, kemudiannya melafazkan taat setianya untuk melaksanakan tanggung jawab secara jujur dan ikhlas malah akan sentiasa patuh dalam menjunjung titah Paduka Sultan Kedah. Majlis disaksikan Ketua Hakim Syarie Negeri, Datuk Syeikh Abdul Rahman Abdullah dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hashim Hamzah.


 

 

No comments:

Post a Comment